Meskipun telah mempunyai lesen menyelam skuba, namun disebabkan kekangan masa, dia tidak dapat melakukan aktiviti kegemarannya itu.

Bagaimanapun minat lelaki berasal dari Kajang, Selangor itu terhadap sukan air berkenaan tidak pernah luntur sama sekali.

Disebabkan minat tersebut, Mohd. Zamri terpanggil untuk kembali aktif melakukan aktiviti menyelam skuba sambil menikmati keindahan hidupan laut.

Justeru, Mohd. Zamri telah memilih untuk menyelam skuba di Pulau Tioman, Pahang kerana ia adalah tempat dia mendapatkan lesen menyelam skuba sekitar tahun 2011.

Memandangkan sudah lama tidak menyelam, dia berasa gentar untuk melakukan aktiviti berkenaan kerana sudah lupa cara mengendalikan peralatan dan cara berkomunikasi ketika berada dalam air.

Menyedari hakikat itu, Mohd. Zamri elah menyertai kursus Ulang Kaji Selam Skuba (RSD) dengan Masktank Scuba di Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8, Putrajaya.

Kursus selama tiga jam itu berjaya membantu lelaki bekerja sebagai usahawan itu untuk mengingati semula teknik mengendalikan peralatan pernafasan, bahasa isyarat dalam air dan teknik pernafasan yang betul.

“Ini kali pertama saya datang kursus RSD anjuran Masktank Scuba. Saya memilih lokasi ini kerana ia berdekatan dengan rumah.

“Diharapkan menerusi kelas ini saya akan mendapat semula keyakinan untuk berada di dasar laut,” katanya ketika ditemu bual Horizon di kolam rendah, Kelab Tasik Putrajaya baru-baru ini.

Masktank Scuba merupakan sebuah organisasi yang bertanggungjawab menawarkan pelbagai kursus menyelam skuba di kolam Kelab Tasik Putrajaya.

Pengasas Bersama Masktank Scuba, Shamsuri Senawi berkata, matlamat pihaknya mewujudkan pusat menyelam skuba di Putrajaya adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat merasainya.

Syarat penyertaan

Jelasnya, menerusi inisiatif tersebut penduduk yang tinggal di sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu tidak perlu ke kawasan lain untuk melakukan aktiviti tersebut.

“Pusat menyelam skuba ini mula dibuka pada awal tahun lalu. Masktank Scuba merupakan satu-satunya pihak yang menawarkan aktiviti berkenaan di Putrajaya.

“Kami harap dengan adanya pusat ini lebih ramai orang sekitar terpanggil untuk terlibat dalam aktiviti menyeronokkan ini,” katanya.

Masktank Scuba dikendalikan oleh dua orang jurulatih terlatih dan berpengalaman luas dalam menyelam skuba iaitu Shamshuri dan Farhan Zakaria.

Aktiviti menyelam skuba boleh disertai oleh semua individu berusia 10 tahun ke atas yang sihat dari segi mental dan fizikal. Ia boleh dilakukan di dalam kolam atau laut terbuka.

Masktank Scuba menawarkan tiga kursus utama iaitu (RSD), Kenali Selam Skuba (DSD) dan Lesen Selam Laut Terbuka (Open Water).

Menurut Hafiz, kursus DSD memberi peluang kepada individu yang ingin merasai pengalaman menyelam skuba pada kedalaman tidak melebihi 12 meter.

Tambahnya, kursus RSD pula bertujuan membantu penyelam yang telah mempunyai lesen untuk mengingati semula kemahiran menyelam selepas lama meninggalkannya.

“Kursus RSD dan DSD ini dijalankan dalam kolam sahaja dengan kos serendah RM150 untuk tempoh selama tiga jam. Peserta bebas memilih waktu kursus,” jelasnya.

Masktank Scuba juga menawarkan kursus untuk mereka yang berhajat mengambil lesen menyelam terbuka yang dikeluarkan oleh Persatuan Jurulatih Selam Skuba Profesional Antarabangsa (PADI),” katanya.

Aktif

Bagi kursus lesen, ia ditawarkan pada kos serendah RM1,500 termasuk pakej menyelam di laut terbuka seperti Pulau Perhentian, Terengganu; Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Payar, Kedah.

Dia menjelaskan, proses pembelajaran menyelam skuba dijalankan dalam kolam di Kelab Tasik Putrajaya sebelum melengkapkan proses pensijilan di laut terbuka.

Dalam pada itu, Hafis memberitahu, Mastank Scuba juga aktif menganjurkan aktiviti menyelam skuba di laut terbuka sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Setiap bulan, ada sahaja aktiviti menyelam yang kami anjurkan. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat menyertainya dengan tawaran harga berpatutan.

“Aktiviti menyelam secara beramai-ramai menjadi wadah terbaik kepada penggemar aktiviti ini berkongsi pengalaman dan mengeratkan silaturahim,” jelasnya.

Seorang peserta, Dzulhilmi Hazih, 36, memaklumkan, dia sangat selesa mempelajari teknik menyelam skuba dengan Mustank Skuba.

Lelaki berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu menambah, penerangan yang diberikan oleh jurulatih di situ sangat jelas dan berkesan.

Dzulhimi yang bekerja di sektor swasta itu sebelum ini pernah mengambil lesen bersama Farhan pada tahun lalu sebelum melakukan RSD sebagai persiapan menyelam skuba di Pulau Tioman.

“Saya memilih Mustank Scuba kerana berasa selesa dengan jurulatih di sini. Pembelajaran yang diberikan sangat jelas dan lengkap.

“Lagi pula, peralatan menyelam di sini serba lengkap serta kemudahan kolam yang luas dan selesa,” jelasnya.