Dengan memakai cermin mata realiti maya atau lebih dikenali sebagai Virtual Reality (VR) sambil memegang selaras raifal, Aiman menembak tanpa henti ke arah sekumpulan zombi yang menyerangnya.

Hakikatnya Aiman bukan berada di medan pertempuran tetapi sebaliknya dia sedang bermain permainan Zombie Jail di sebuah taman interaktif VR iaitu VAR Live yang bertempat di pusat beli-belah MyTown, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

“Bermain permainan video di telefon pintar selalunya tidak mendebarkan kerana tertumpu kepada skrin sahaja.

“Bagaimanapun, permainan VR jauh berbeza kerana sebaik sahaja memakai cermin mata yang dikhaskan, anda akan berasa seperti berada dalam situasi sebenar yang penuh kejutan dan mendebarkan,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Selesai permainan itu, Aiman dan rakan-rakannya mencuba Crazy Rush atau lumba kereta.

“Ternyata berlumba dalam permainan VR sangat mengujakan.

“Bukan sahaja memberikan perasaan seperti berada dalam dunia realiti malah saya turut berasa pening apabila kereta berpusing-pusing akibat perlanggaran,” katanya.

VAR Live dengan keluasan 929 meter persegi yang dibuka pada 23 Disember tahun lalu merupakan antara lokasi tarikan terbaharu yang menawarkan pengalaman permainan VR empat dimensi kepada pengunjungnya. Ia juga paling terbesar di Malaysia.

Pengunjung yang mencuba permainan itu bukan sahaja akan berada dalam persekitaran realiti maya malah termasuklah simulasi keadaan sekeliling seperti getaran, angin dan bunyi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif VAR Live Global Limited, Steve Ngu, taman interaktif VR yang bertemakan Dream With Your Eyes Open itu menawarkan 13 jenis permainan yang terdiri daripada tiga kategori iaitu menembak, bukan menembak serta hiburan yang sesuai dimainkan secara berkumpulan.

“Bagaimanapun, daripada 13 permainan, hanya 10 yang ditawarkan kepada pengunjung kerana baki selebihnya masih dalam proses pemasangan,” katanya.

Di VAR Live, pengunjung akan disajikan dengan pengalaman berbeza seperti menembak sambil dikejar oleh kumpulan mayat hidup atau zombi yang datang dari setiap arah dalam permainan Zombie Jail dan Zombie Way.

Memburu roh

Mahu merasai pengalaman mencari harta karun sambil menempuh cabaran? Pastikan anda juga bukanlah seorang yang takut kepada ketinggian kerana semua itu akan diuji dalam permainan Azuwa.

Sementara bagi mereka yang mahu menguji kemampuan bekerjasama dalam pasukan boleh mencuba permainan Over Kill yang memerlukan dua pasukan saling berbalas tembakan antara satu sama lain.

Sementara itu, untuk mereka yang sukakan kepantasan pula boleh berlumba bersama rakan-rakan dalam permainan Crazy Rush. Pengunjung bukan sahaja akan merasakan pengalaman seperti sedang memandu tetapi turut merasakan kesan sampingan lain seperti gegaran akibat berlanggar dan deruan angin kerana memecut laju.

Adakah anda seorang yang cukup berani? Tidak takutkan hantu? Jika ya, cabar diri anda untuk berlawan renungan mata dengan hantu yang ingin memburu roh dalam permainan The Others.

Buat pengunjung kanak-kanak, mereka mungkin agak takut dengan permainan yang agak ekstrem seperti itu tetapi ia tidak menjadi masalah kerana permainan yang bersesuaian dengan usia mereka turut disediakan seperti Viking Craft dan Mystery House.

Untuk bermain permainan tersebut, pengunjung akan dipakaikan alat kelengkapan seperti cermin mata VR, fon kepala dan senjata.

Tambah Steve, objektif pembukaan VAR Live adalah untuk meluaskan lagi prospek permainan terutamanya yang berbentuk VR selaras dengan era baharu pengembangan teknologi visual.

“VR adalah mengenai menjadikan sesuatu yang mustahil itu sebagai realiti.

“Setiap permainan yang ada di sini merupakan hasil ciptaan kumpulan kami sendiri dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi pengunjung, Ruzaidi Amin, 27, kunjungannya hari itu merupakan pengalamannya kali pertama dalam mencuba permainan berbentuk VR.

Jelas riak wajahnya menunjukkan keterujaan apabila dapat mencuba beberapa permainan yang ditawarkan.

“Permainan berbentuk VR adalah jauh berbeza jika dibandingkan bermain permainan video biasa.

“Adakalanya anda akan menjerit, melompat, mengelak malah terkejut sehingga membuatkan terlupa seketika bahawa itu hanyalah permainan semata-mata,” katanya.