Perjalanan dari Surabaya di Jawa Timur, Indonesia ke garaj Kaldera Adventure itu mengambil masa sekitar dua jam kerana ia terletak di daerah Malang.

Semasa dalam kenderaan menuju ke destinasi itu, fikiran Omar Sharif mula memikirkan cabaran yang bakal ditempuhi bersama tiga lagi rakannya.

Tujuan pemuda dari Sungai Petani, Kedah itu berkunjung ke Malang adalah untuk menjelajah Taman Nasional Bromo Tengger Semeru dengan menunggang motosikal jenis motocross.

Kebiasaannya, kebanyakan pelancong akan menggunakan jip untuk menjelajah taman nasional itu terutamanya jika hendak ke Gunung Bromo yang terletak kira-kira 53 kilometer dari Malang.

Namun, berbeza dengan Omar Sharif dan rakan-rakannya yang memilih motosikal bagi mencabar adrenalin diri.

“Kami tiba di garaj Kaldera Adventure sekitar pukul 1.30 pagi. Sebaik sampai, kami kemudiannya diberi peralatan seperti pelindung lutut, lengan, sarung tangan dan topi keledar.

Matahari terbit

“Sebaik sahaja peralatan tersebut disarungkan ke tubuh, kami kemudiannya diberi penerangan oleh pemandu arah cara-cara untuk mengendalikan motosikal itu,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu.

Kos untuk menyewa motosikal dari Kaldera Adventure itu adalah sebanyak RM150 yang merangkumi peralatan serta jurupandu arah.

Sebelum bergerak ke taman nasional itu, mereka diberi penerangan tentang penggunaan gear yang betul ketika melalui laluan mendaki yang sukar.

Tepat pukul 2 pagi, Omar Sharif dan teman-temannya bersama dua pemandu arah bergerak menuju ke Gunung Bromo.

Destinasi pertama mereka di taman nasional itu adalah Gunung Penanjakan.

Mereka perlu ke Gunung Penanjakan terlebih dahulu bagi melihat keindahan matahari terbit yang berlatarbelakangkan Gunung Bromo.

Omar Sharif mengakui, pada awalnya agak sukar untuk dia mengendalikan motosikal jenis Honda CRF itu kerana ia menggunakan klac tangan.

Namun, kesukaran itu berjaya dihadapi pada awal perjalanan tetapi lama-kelamaan semakin serasi mengendalikan motosikal itu.

Selepas hampir setengah jam perjalanan, Omar Sharif dan rakan-rakannya bertemu dengan keadaan jalan yang mempunyai selekoh tajam.

Ia menyukarkan mereka untuk mengendalikan motosikal itu.

“Keadaan pada malam itu sangat gelap dan hanya berpandukan lampu hadapan motosikal, kami meredah kesejukan malam menuju ke Gunung Penanjakan.

“Keadaan jalan ke kawasan itu semakin mengecil dan curam. Kami terpaksa mengikut arahan jurupandu untuk menggunakan gear satu dan dua sahaja ketika mendaki,” katanya.

Tambahnya, sewaktu menunggang motosikal, mereka perlu berhati-hati kerana adakalanya akan bertembung dengan jip yang turut membawa pelancong ke destinasi sama.

Selepas satu setengah jam perjalanan, mereka akhirnya tiba di Gunung Penanjakan.

Keadaan di gunung itu amat sejuk dan suhu pada ketika itu mencecah tujuh darjah Celsius.

“Tidak dapat dinafikan, keadaan suhu pada pukul 3.30 pagi sangat sejuk. Cuaca dingin di kawasan pergunungan sangat mencengkam tulang, sehelai baju tebal tidak cukup untuk menahan kesejukan ini.

“Ada masanya saya dan rakan-rakan perlu duduk rapat antara satu sama lain bagi mengurangkan rasa kesejukan itu,” tegas Omar Sharif.

Sekitar pukul 5.15 pagi, matahari pagi mula menyinari kawasan itu dan pemandangan Gunung Bromo sangat menakjubkan.

Omar Sharif menjelaskan, setelah cahaya matahari menerangi kawasan puncak tinjau, para pengunjung yang berada di kawasan itu kelihatan terpukau dengan keindahan Gunung Bromo pada waktu pagi.

Asap putih

“Semuanya tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan berlatarbelakangkan Gunung Bromo,” jelasnya.

Jika dilihat dari Pananjakan, puncak gunung tertinggi di lokasi itu adalah Gunung Semeru yang berketinggian 3,676 meter (m) dari aras laut manakala paling hadapan dikenali sebagai Gunung Batok (2,400m).

Antara Semeru dan Batok terdapat Gunung Bromo, Gunung Widodaren serta Gunung Watangan yang lebih rendah.

Setelah matahari pagi menyinari bumi, Omar Sharif dan rakan-rakannya meneruskan perjalanan ke puncak kawah Bromo bagi menyaksikan sendiri bagaimana asap putih tebal keluar dari perut bumi.

Sementara itu, rakan kepada Omar Sharif iaitu Mohd. Zulhilmi Jufri Zakaria yang merupakan salah seorang kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjelaskan, pengembaraan ke Gunung Bromo dengan menunggang motosikal merupakan satu pengalaman yang menarik.

Jelasnya, bukan mudah untuk menunggang motosikal di laluan yang sukar dan kami semua perlu berhati-hati mengawalnya bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini.

“Sebaik sahaja turun dari Gunung Penanjakan untuk menuju ke Gunung Bromo, kami perlu melalui kawasan savana ataupun padang pasir.

“Untuk mengawal motosikal di jalan yang berpasir bukanlah sesuatu yang mudah. Saya sendiri hampir terjatuh tetapi hasil tunjuk ajar jurupandu, saya boleh mengendalikannya dengan baik,” tegasnya.

Selepas itu, mereka meletakkan motosikal masing-masing dan merentasi kawasan padang pasir hitam dengan berjalan kaki untuk mendaki anak tangga bagi menuju ke kawasan puncak kawah gunung berapi tersebut.

Sepanjang perjalanan itu, mereka dipelawa oleh penduduk tempatan yang menyediakan khidmat menunggang kuda untuk membawa pelancong sehingga ke kawasan anak tangga bagi mendaki Gunung Bromo.

“Setelah berjalan kaki hampir 40 minit, kami berjaya sampai ke puncak Gunung Bromo. Saya berasa amat puas apabila melihat sendiri bagaimana asap putih tebal keluar dari kawah tersebut yang menjanjikan pemandangan menakjubkan apabila dilihat dari jauh,” kata Mohd. Zulhilmi.

Setelah hampir 20 minit berada di puncak Gunung Bromo, mereka kemudiannya turun untuk meneruskan perjalanan seterusnya ke Padang Savana Bromo.

Ia adalah satu kawasan yang mempunyai hamparan padang rumput yang sangat luas sebelah selatan Gunung Bromo.

“Kunjungan kami ke Bromo pada waktu itu jatuh pada musim kemarau. Sepatutnya kami dihidangkan dengan panorama hamparan padang rumput berwarna hijau tetapi kerana kemarau, kawasan tersebut bertukar menjadi warna coklat kerana banyak tumbuhan sudah kering.

“Walaupun pada ketika itu musim kemarau, sapaan angin bayu di kawasan tersebut amat mendinginkan. Kami langsung tidak berasa panas walaupun matahari menerangi seluruh kawasan itu,” katanya.

Setelah hampir 11 jam menerokai beberapa kawasan di sekitar Gunung Bromo dengan menunggang motosikal, mereka akhirnya pulang ke Malang untuk beristirahat.