Sementara menunggu, Muhammad Haziq Ali Hisyam mengambil kesempatan dengan menelusuri beberapa lorong di celah-celah kedai lama di sekitar bandar itu.

Sewaktu melalui laluan tersebut, anak mata Muhammad Haziq tertarik kepada sebuah lukisan mural besar yang menampilkan motif seekor naga merah sedang terbang.

Remaja berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu mengambil masa selama beberapa minit untuk menghayati maksud tersirat di sebalik mural yang dilukis pada dinding belakang sebuah kedai di situ.

“Ini kali pertama saya berpeluang menjelajah kawasan sekitar Seremban. Saya sangat tertarik dengan bangunan-bangunan lama di sini.

“Dengan adanya mural-mural seperti ini, saya yakin ia mampu menjadikan ia lebih menarik dan ceria,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Mural tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pelancongan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) menerusi Projek Street Art Back Alley Re-Enhancement (SABAR).

Usaha tersebut juga membabitkan kerja-kerja menghidupkan dan mencantikkan kawasan sekitar bazar malam Benteng Walk Seremban.

Muhammad Haziq yang juga anak bongsu daripada empat beradik memberitahu, dia juga tidak melepaskan peluang berswafoto dengan setiap lukisan mural yang dilihatnya.

“Mural ini sangat rare. Susah hendak jumpa di tempat lain. Jadi, saya tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar sebagai kenangan,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehudin berkata, Projek SABAR diwujudkan bagi menjadikan pusat bandar Seremban sebagai destinasi tarikan pelawat.

Jelasnya, projek berkenaan juga bagi mengindahkan lorong belakang rumah kedai di sekitar Benteng Walk Seremban yang sebelum ini dilabelkan sebagai lokasi kegiatan tidak bermoral.

“Berdasarkan konsep bandar selamat, semua lorong di belakang kedai ini sedang diperindahkan dengan mewujudkan lebih banyak lukisan mural pada dinding.

“Usaha ini diharap mampu memberi imej baharu dengan kemudahan lampu jalan dan aspek kebersihan turut dipertingkatkan,” katanya.

Kembali seri

Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Oktober ini dan turut mendapat sokongan kerajaan negeri membabitkan peruntukan lebih RM450,000.

Projek SABAR merangkumi lebih 30 lukisan mural, pembinaan tempat busking, pintu gerbang, mengecat semula bangunan rumah kedai dan menambah lampu jalan.

Kebanyakan lukisan mural yang ditampilkan menerusi Projek SABAR mengetengahkan budaya, alam sekitar dan rutin harian masyarakat setempat.

Menariknya, lukisan mural berkenaan dilukis dan diwarnakan oleh para pelukis yang bertapak di sekitar Negeri Sembilan.

Menurut Zazali, pihaknya berharap projek berkenaan mampu menarik lebih ramai pelancong ke bandar Seremban terutamanya mereka yang meminati seni jalanan.

Jelasnya, kehadiran pelawat luar juga mampu memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi setempat terutamanya peniaga-peniaga kecil di Seremban.

“Lukisan mural ini mampu menjadi ikon baharu Seremban. Ia juga merupakan medium pendidikan generasi baharu tentang seni impak,” ujarnya.

Zazali berharap, orang ramai terutama pemilik premis di kawasan berkenaan dapat mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan memastikan lukisan mural pada dinding tidak dirosakkan.

Pemain busker di bazar malam Benteng Walk Seremban, Zakir Amir, 52, berkata, Projek SABAR telah berjaya menaikkan kembali ‘seri’ lorong-lorong di sekitar Seremban.

Lelaki berasal dari Jelebu itu mendapati, lukisan mural berjaya mencuri perhatian setiap individu yang melalui lorong-lorong di belakang rumah kedai tersebut.