Seawal pukul 8 pagi, Abdul Rahim bersama rakan-rakannya sudah terpacak di Jeti Marina bagi menunggu ketibaan bot yang akan membawa mereka ke salah satu tarikan utama Labuan iaitu Pulau Papan.

Walaupun masih mengantuk dan cuaca yang agak sejuk, ia tidak menjadi penghalang buatnya memandangkan sudah lama menantikan percutian tersebut.

Apatah lagi perjalanan dari jeti ke Pulau Papan itu hanya memakan masa lima hingga 10 minit sahaja.

Abdul Rahim, seorang kakitangan bank dan rakan-rakannya telah merancang percutian itu sejak beberapa bulan lalu.

“Kesibukan bekerja di ibu kota membuatkan kami jarang dapat berkumpul beramai-ramai. Jadi, kami putuskan untuk keluar bercuti ke Labuan memandangkan suasananya yang nyaman dan jauh daripada hiruk-pikuk bandar.

“Pulau Papan sememangnya menjadi destinasi yang wajib dilawati memandangkan kebanyakan rakan yang sudah melancong ke sini menyarankan kami ke lokasi ini,” katanya.

Sebaik sahaja bot berlabuh di pesisir pantai pulau tersebut, jelas kelihatan matanya terpaku pada sebuah perahu dengan layar yang terbuka luas serta beralun-alun ditiup angin.

Luah anak kelahiran Kampar, Perak itu, ia merupakan pengalaman indah buatnya apabila berpeluang mencuba pelbagai aktiviti air seperti snokerling dan menaiki perahu layar yang jarang-jarang ditemui.

Selain itu, dia juga bertambah bersemangat apabila pihak pengurusan membawanya mengelilingi kawasan pulau tersebut sambil menceritakan mengenai sejarah-sejarah yang terdapat di pulau tersebut.

“Pada mulanya saya menyangkakan bahawa lokasi ini hanyalah tempat untuk berseronok tetapi tidak menyangka bahawa ada sejarah tersembunyi di sini seperti kisah pelarian dan Perang Dunia Kedua.

Pulau Papan merupakan salah satu daripada pulau di pesisiran pantai Sabah dan merupakan tempat tumpuan pelancong untuk beriadah dan berehat bersama keluarga di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tambah menarik ialah pulau itu dikelilingi pantai berpasir dan air yang jernih untuk para pengunjung berkelah serta bermandi-manda bersama keluarga.

Pada mulanya, pulau milik kerajaan itu diselenggara sepenuhnya oleh pihak Perbadanan Labuan sebelum diserahkan kepada syarikat swasta bagi membantu merancakkan lagi aktiviti di pulau tersebut.

Sejarah

Ketua Pegawai Eksekutif Pro LVY Enterprise, Zamrie Jeffrey berkata, ramai orang khususnya yang tinggal di luar Labuan tidak mengetahui bahawa pulau tersebut mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Antara kesan tinggalan sejarah yang masih kukuh di pulau seluas 10.52 hektar itu sehingga ke hari ini ialah rumah api pertama yang dibina dalam tahun 1895 sebelum dinaik taraf pada tahun 1902.

“Menjelang Perang Dunia Kedua, rumah api tersebut bertindak memberi isyarat jika terdapat kapal tidak dikenali memasuki pelabuhan Victoria iaitu nama lama bagi Labuan.

“Selepas perang itu tamat, pihak Tentera Bersekutu telah mendirikan lokap tahanan sementara bagi tentera Jepun di pulau tersebut sehinggalah tragedi itu selesai sepenuhnya,” katanya selaku pengurus di pulau tersebut.

Jelasnya, pulau tersebut juga dikenali sebagai bekas pulau pelarian kerana pernah menerima kehadiran kira-kira 100 orang pelarian dari Vietnam pada tahun 1970.

Dalam pada itu, Zambrie berkata, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dicuba bagi mereka yang berkunjung ke pulau tersebut.

Bagi pengunjung yang menyukai alam sekitar, mereka boleh meneroka hutan pulau tersebut sambil diiring petugas yang akan membawa mereka melihat lokasi-lokasi tumpuan dan bersejarah di lokasi tersebut.

Parahu larai

Selain dapat melihat hasil peninggalan pelarian seperti perigi serta melawat rumah api bersejarah itu secara dekat, pengunjung juga akan dibawa ke lokasi terbaik untuk merakamkan gambar dengan latar belakang yang memukau.

Selain itu, antara yang sering mendapat sambutan ialah aktiviti air seperti snorkeling, jet ski, kayak dan yang paling istimewa dan dinanti-nanti pengunjung ialah perahu layar.

“Perahu layar atau nama tradisionalnya iaitu parahu larai dahulunya merupakan satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan Labuan dengan negeri-negeri lain.

“Merentasi lautan dengan menaiki perahu layar merupakan aktiviti yang wajib dicuba bagi sesiapa yang berkunjung ke sini. Pengunjung akan dapat menikmati lautan luas secara terbuka sambil menaiki perahu tradisional yang bergerak dengan tiupan angin,” jelasnya.

Masa yang dicadangkan untuk menaiki perahu ialah pada waktu pagi bagi mengelakkan bahang tengah hari atau ketika lewat petang sambil menyaksikan pandangan matahari terbenam.

Jika ada pengunjung yang merasakan sehari ke sana tidak mencukupi, mereka boleh bermalam di pulau tersebut kerana terdapat tiga buah calet yang boleh disewa pada harga RM450 satu malam.

Bagi pengunjung yang gemar cabaran, mereka boleh berkhemah di tapak yang disediakan untuk aktiviti barbeku dan menyuluh ketam.

Bercakap tentang kemudahan, Zambrie memberitahu, pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan penginapan tetapi pelbagai kemudahan lain seperti tandas, surau, restoran serta gelanggang bola tampar dan sepak takraw.

Dengan semua kemudahan yang disediakan, sudah pastinya ia merupakan lokasi terbaik bagi percutian seisi keluarga.

Sementara itu, seorang pelancong, Emily Lowe Poh Choo, 43, turut meluahkan kegembiraannya selepas berpeluang menikmati keindahan dan berseronok di pulau tersebut.

Peniaga online itu memberitahu, keunikan yang ada di pulau tersebut sememangnya menjadi penarik kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke Labuan.

“Dengan keindahan persekitaran yang memukau seperti air laut yang jernih, udara segar serta pemandangan yang mengasyikkan, ia sememangnya lokasi yang sesuai untuk dikunjungi.

“Tidak perlu ke luar negara, Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai lokasi menarik yang masih terpelihara,” ujarnya.

Selain menikmati keseronokan aktiviti air seperti snokerling dan perahu layar, pengunjung juga berpeluang mengetahui pelbagai tinggalan sejarah di Pulau Papan.