Jurina Saad, 50, memerhatikan keadaan sekeliling dengan penuh rasa teruja. Dia kemudian mengeluarkan telefon pintar iPhone untuk merakamkan beberapa keping gambar pemandangan yang terbentang luas tidak ubah seperti sebuah padang pasir.

Kata Jurina, dia paling tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke The Pinnacles yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Perth, Australia.

“Meski pun perjalanan ke utara Perth mengambil masa selama lebih dua jam, namun ia bagaikan tidak terasa apabila dapat melihat pemandangan landskap cantik dan unik ini. Sungguh menakjubkan, saya amat terpegun dengan keindahan dan keajaiban tempat ini.

“Saya menghabiskan banyak masa di sini dengan mengambil pelbagai posisi gambar. The Pinnacles adalah pilihan lokasi yang berbaloi untuk dilawati,” katanya teruja.

Kawasan seluas 190 hektar itu terletak bersebelahan bandar Cervantes dan dalam landskap gurun Taman Negara Nambung. Lokasi itu dipenuhi dengan pelbagai formasi batu kapur. Fosil setinggi lima meter itu tegap berdiri walaupun sudah berpuluh dekad dibiarkan.

Landskap alam yang menakjubkan itu terbentuk daripada kerang laut selama jutaan tahun hingga menyerupai menara-menara batu kapur menjulang tinggi di atas gurun pasir kuning.

Bentuknya ada yang bergerigi, runcing dan bertaburan menyerupai batu nisan raksasa.

Perjalanan ke The Pinnacles perlu dilakukan dengan menyewa kenderaan. Bayaran yang dikenakan ialah AUD13 (RM40) bagi sebuah kenderaan. The Pinnacles dibuka pada pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Suasana tenang

Seawal pukul 6 pagi lagi, Jurina bersama rakannya, Sazlina Mohd. Ismail, 34, telah bersiap-siap untuk ke The Pinnacles. Mereka turut membawa bekal untuk dimakan dalam perjalanan.

Kehadiran mereka ke bumi Kanggaru itu merupakan kunjungan kedua mereka selepas Melbourne pada Mei 2017. Sebelum ini, mereka pernah bersama-sama ke Singapura, Macau, Beijing dan Hong Kong.

Walaupun bukan kali pertama ke Australia, wanita berkulit hitam manis itu berasa amat selesa dan mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling bandar raya Perth.

Ditambah pula, mereka memilih syarikat pelancongan Trip Adik Beradik (TAB) sebagai ejen yang berperanan merealisasikan impian percutian tersebut, jadi segala-galanya menjadi begitu mudah.

Kehadiran mereka turut disertai 40 ahli lain yang bersama-sama bercuti pada musim sejuk. Selain The Pinnacles banyak tempat menarik dan wajib dikunjungi turut dilawati antaranya Bukit Pasir Lancelin, Taman Botani Kings, Taman Hidupan Liar Caversham, Fremantle, Pantai Cottosloe dan sebagainya.

Perth merupakan ibu negeri Australia Barat. Tidak seperti bandar-bandar besar lain yang terletak di bahagian timur Australia seperti Sydney, Melbourne, Brisbane dan Adelaide, suasana di Australia Barat kelihatan agak sunyi dan tenang.

Banyak tempat menarik yang boleh dilawati oleh para pelancong tanpa mereka perlu meredah kesesakan lalu lintas. Ketenangan bandar raya Perth membuatkan ramai pelancong terutamanya dari Malaysia yang ingin ke sana.

Tambah Jurina lagi, selain The Pinnacles, terdapat sebuah lagi tempat yang ingin dilihatnya iaitu Blue Boat House, rumah bot berwarna biru yang terletak di pinggir tasik Sungai Swan.

“Menurut maklumat yang ditulis, rumah bot ini telah dibina pada 1930 dan telah beberapa kali mengalami pengubahsuaian. Pada asalnya ia adalah rumah nelayan sebelum dibeli dan dimiliki oleh beberapa orang pemilik.

“Ia menjadi lokasi popular kerana sering menjadi tumpuan utama para pelancong untuk merakamkan momen-momen indah dan memuat naik di Instagram,” ujarnya yang menghabiskan masa 30 minit di lokasi berkenaan.

Blue Boat House terletak tidak jauh dari bandar Perth. Untuk tiba di lokasi itu, pelancong boleh menggunakan kereta atau bas. Namun, pemilihan tempat letak kereta harus dilakukan dengan berhati-hati kerana petak parkir agak terhad.

Dalam pada itu, Sazlina memberitahu, setiap kali melancong, dia gemar membeli-belah dan mencuba pelbagai jenis makanan di sesebuah negara itu.

Burung camar

“Pada hari pertama menjejakkan kaki ke Perth, saya berpeluang merasai makanan kentang goreng dan ikan yang amat popular di jeti pelabuhan Fremantle yang menempatkan banyak bot kecil dan besar.

“Selain makanan yang sedap, pemandangan di jeti itu turut menarik perhatian. Sambil makan, boleh melihat kawasan sekeliling yang dipenuhi burung camar yang tidak henti-henti mencuba mengambil makanan pelanggan,” katanya sambil menikmati hidangan di restoran Cicerello’s.

Nama Fremantle diambil bersempena nama seorang Pegawai Tentera Laut, Charles Fremantle. Di situ terdapat beberapa tarikan lain seperti penjara Fremantle, muzium maritim, pasar Fremantle dan kedai memancing. Kawasan itu wujud kerana ia menjadi lokasi pelabuhan kapal tentera dan dagangan suatu ketika dahulu.

Dalam pada itu, kedatangan pelancong ke Australia diibaratkan tidak lengkap jika tidak berjumpa dengan haiwan ikoniknya, kanggaru. Lawatan bagaikan tidak sempurna jika tidak ke Taman Hidupan Liar Caversham.

Bagi mereka yang meminati haiwan, banyak masa boleh dihabiskan di sini. Tiket masuk ke Taman Hidupan Liar Caversham ialah AUD29 (RM87) bagi dewasa dan AUD13 (RM40) bagi kanak-kanak. Ia dibuka dari 9 pagi hingga 5.30 petang.

Percutian lima hari ke Perth bagaikan tidak terasa apabila masing-masing masih tidak puas mengenali di antara satu sama lain dengan lebih rapat. Namun, apa boleh buat kerana sesuatu yang bermula itu pasti akan berakhir.

“Hari ini merupakan hari terakhir saya di Perth. Jadi saya mahu membeli-belah sebagai ganjaran diri. Terasa begitu berbaloi apabila wang hasil titik peluh dapat dibelanjakan kepada benda yang kita minat.

“Pada masa akan datang, saya bercadang ke Osaka, Jepun pula. Teringin juga melihat negara mereka yang dikatakan amat maju dalam segala hal,” ujarnya sambil membayar dua buah beg tangan berwarna hitam.

Australia Barat yang kelihatan agak sunyi dan tenang menawarkan percutian menakjubkan merangkumi keindahan padang pasir, tasik, kanggaru dan pelabuhan yang menempatkan bot dan kapal.