Sebuah kota dengan jumlah penduduk melebihi sejuta orang, Amsterdam boleh disifatkan sebagai satu bandar artistik yang kaya dengan pelbagai khazanah seni daripada sejarah, struktur bangunan, gaya hidup mahupun penduduk kota itu sendiri.

Rata-rata pengunjung ke Amsterdam pasti berhasrat melihat kepelbagaian warna bunga Tulip yang mekar, putaran kincir angin, mencari rahsia penulis diari Anne Frank ataupun melewati karya seni pelukis-pelukis tersohor dunia seperti Vincent Van Gogh.

Namun, bukan hanya itu, sebaliknya hampir semua yang berkaitan Amsterdam akan tersemat rapi dalam ingatan dan inilah antara kota terbaik di Eropah.

Kelainan Amsterdam sudah pun dirasai seawal mendarat di Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol lagi.

Mana tidaknya, meskipun dibina di atas tanah paya yang ditebus guna selain terletak lima meter bawah aras laut, tiada apa yang kurang dengan lapangan terbang itu.

Dibangunkan dengan konsep terminal besar tunggal yang dibahagikan kepada tiga balai pelepasan, lapangan terbang utama Belanda itu tersenarai sebagai lapangan terbang kelima tersibuk di Eropah dan ke-14 di dunia pada tahun lalu.

Sebaik memasuki bandar Amsterdam, dapat disaksikan banyak terusan berbentuk canal ring. Pusat bandar Amsterdam terletak di tebing Sungai Amstel iaitu lokasi sebuah empangan yang dibina.

Mula dikenali sebagai Dam in the Amstel dan bertukar kepada Amsterdam. Terdapat 1,500 jambatan yang dibina melintasi terusan.

Keunikan terusan, keindahan reka bentuk bangunan bercirikan seni bina medieval menjadikan Amsterdam dikenali sebagai Venice of the North.

Sememangnya, terusan diwujudkan di kota itu berselang-seli dengan beberapa barisan blok bangunan bagi mengimbangi kedudukan darat kota Amsterdam yang lebih rendah daripada paras laut.

Terusan ini juga menjadi jalan air buat penduduk, tidak sahaja dilalui bot persendirian tetapi bot pesiaran turut membawa pelancong mengelilingi bandar.

Tulisan ikonik

Seperti tulisan Hollywood di Hollywood Hills, Los Angeles, di Amsterdam juga tidak ada ikon lebih jelas untuk menunjukkan anda berada di Amsterdam selain tulisan I amsterdam yang menjadi satu ikon wajib foto.

Ada empat lokasi tulisan ikonik yang boleh ditemui di Amsterdam iaitu di Lapangan Terbang Schipol, Rjikmuseum, Amsterdam Museum dan Vondelpark.

Museumplein atau Museum Square adalah dataran yang terletaknya beberapa muzium dan bangunan penting seperti Rijkmuseum, Van Gogh Museum, Stedlijk Museum, Muzium Berlian serta Royal Concertbouw.

Di kawasan itu terdapat taman yang lapang untuk istirehat, kanak-kanak bermain mahupun menikmati makanan ringan yang dijual. Selain itu, di dataran Museumplein juga sering diadakan persembahan jalanan sebagai hiburan kepada para pengunjung.

Satu lagi informasi menarik tentang Amsterdam ialah terdapat lebih 100 muzium yang menjadi tarikan pelancong saban tahun.

Melihat kepada sekurang-kurangnya 10 muzium yang tersenarai, berasa mustahil untuk menghabiskan kunjungan ke semua lokasi itu.

Dengan masa yang suntuk, cuma Rijkmuseum dan Van Gogh Museum sempat kami kunjungi.

Mengagumi karya seni pelukis agung Vincent Van Gogh sejak di bangku sekolah, saya rasa teruja untuk melihat sendiri karya asal pelukis terkenal dari Eropah itu.

Muzium itu menempatkan lebih 600 karya lukisan dan 700 pucuk surat Van Gogh kepada adiknya (Theo) selain mempunyai bahagian sejarah pelukis hebat dunia yang mengecapi populariti selepas kematiannya. Sepanjang hayatnya, hanya satu karya lukisan miliknya terjual.

Antara karya asal Van Gogh yang berada di lokasi itu ialah Sunflowers, Irises, Poppies, The Bedroom, Blossoming Almond Tree, The Mulberry Tree, The Night Cafe dan The Potato Eaters.

Sementara itu, antara perkara yang pasti diketahui ramai adalah penggunaan basikal secara meluas, sekali gus menjadi pengangkutan utama majoriti penduduk Amsterdam.

Di setiap pelosok bandar Amsterdam memang cukup riuh dengan deringan loceng basikal oleh penunggangnya yang barangkali memberi isyarat kepada pejalan kaki atau penunggang basikal lain kerana mereka adalah king of the road.

Dalam pada itu, Volendam yang berada tidak jauh dari Amsterdam merupakan sebuah pekan nelayan kecil yang mencorakkan kanvas indah dengan hamparan langit dan laut biru. Kapal nelayan pasti berjajar rapi di pinggir laut tersebut.

Terasa seperti berada dalam babak cerita Beauty and The Beast, pekan kecil itu juga sentiasa sibuk dengan aktiviti penduduk setempat.

Keju klasik

Tidak lengkap jika ke Volendam tanpa mengunjungi Cheese Factory. Reka interior kilang keju itu sangat klasik dengan kelengkapan tradisional pembuatan keju terbaik dunia.

Tidak hanya sekadar mengetahui proses pembuatan keju, peluang mencuba pelbagai rasa keju sejak berabad tahun juga antara momen terbaik.

Selain itu, kesempatan berada di Zaanse Schans pula memberikan gambaran tepat tentang kehidupan masyarakat Belanda pada abad ke-17 dan 18.

Terdapat lebih 600 kincir angin dibangunkan di daerah sekitar Zaanse Schans yang menciptakan zon industri pertama.

Kincir angin digunakan antara lain untuk menggiling rempah, memotong kayu, menghasilkan coklat dan cat serta membuat minyak.

Sebahagian besar kincir angin itu masih ada dan dapat dikunjungi. Pengunjung juga dapat melihat mesin bertenaga angin itu secara keseluruhan.

Namun, makanan halal pasti menjadi kebimbangan umat Islam ketika berada di luar negara. Di Amsterdam tidak susah untuk mencari makanan halal kerana terdapat pelbagai restoran Indonesia.

Terdapat juga pelbagai restoran Malaysia mahupun Pakistan. Namun, penulis dan rakan sekeluarga tidak mempunyai masalah tentang makanan kerana kami memilih untuk masak sendiri.

Pengalaman sepanjang berada di Amsterdam pastinya disimpan kemas dalam kotak fikiran penulis. Apa lagi merakamkan momen-momen indah ini bersama rakan baik sejak 17 tahun lalu.