Hebat juga pemandangan di utara Semenanjung Malaysia itu. Panorama kebun-kebun bunga melur, sawah padi terbentang luas, berlatarbelakangkan bukit kapur yang dikelilingi kepulan awan putih, tasik luas terbahagi dua direntasi landasan ETS sangat memukau.

ETS tiba di Padang Besar pada pukul 12.35 tengah hari. Sebaik selesai pemeriksaan imigresen, kami dijamu makan tengah hari dengan masakan Thai seperti tom yam, som tam dan paprik.

Pemandangan di sepanjang jalan dengan jolokan negara Gajah Putih itu tidak banyak beza dengan Malaysia. Disebabkan Raja Thailand baru sahaja mangkat, terdapat banyak papan tanda ucapan takziah diletakkan di sepanjang jalan.

Arca gajah dan hidupan laut pelbagai gaya menyambut kehadiran kami di Trang Andaman Gateway. Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki taman yang persekitarannya dikelilingi hutan itu. Ia sangat sesuai untuk singgah berswafoto dan melepaskan lelah sambil menikmati kopi bersama kudapan ringan.

Jalan yang dilalui untuk ke Krabi itu disebut bukit kadpa atau lipat kain kerana keadaan jalan raya yang berlipat-lipat dan banyak selekoh umpama melipat kain.

Selesai daftar masuk di Hotel Krabi Town, kami turun semula untuk menjelajah persekitaran. Kawasan di lokasi itu sangat strategik dan meriah. Di sebelah kanan hotel dan pasar malam Krabi manakala di sebelah kiri iaitu kira-kira 100 meter pula, sungai Krabi yang menawarkan pemandangan indah berlatarbelakangkan bukit kapur. Pengunjung juga berpeluang melihat ikon Krabi iaitu Arca Gangsa Ketam Batu bersama anak-anaknya.

Menelusuri sejarahnya, mudah untuk kami membuat andaian. Perkataan Krabi diambil daripada perkataan Inggeris iaitu Crab.

Bagaimanapun, menurut legenda, Krabi adalah pedang panjang yang ditemui semasa aktiviti penggalian, sebelum kota itu didirikan. Dari situlah Krabi mendapat namanya.

Bentuk lampu trafik yang unik, ada yang berbentuk king kong, anjing laut dan lain-lain, sekali gus menambahkan lagi daya tarikan Krabi.

Pulut ayam



Pelbagai formasi stalagmit dan stalaktit seperti kaki gajah, aiskrim, payung dan cendawan boleh ditemui di Gua Le Khao Kob, selatan Thailand.

Pasrah dengan hujan yang turun, kami terpaksa berlari anak untuk singgah di gerai di hadapan hotel yang menjual pulut ayam dan pelbagai gerai buah-buahan. Kami bersarapan di Chili Halal Food yang menawarkan makanan masyarakat pantai timur Malaysia.

Pertemuan itu sangat manis kerana pemilik gerai berasal dari Setiu, Terengganu tapi telah lama bermastautin di sana.

Bagaikan saudara, kami dipelawa ke rumahnya yang terletak di belakang restoran dan sebelum berangkat kami dibekalkan pula dengan limau bali.

Destinasi pertama kami ialah menjelajah Pulau Phi-Phi dan Maya Bay iaitu lokasi filem The Beach. Akur dengan fenomena alam dan keadaan laut yang agak bergelora, Phaison, pemandu pelancong kami menukar haluan destinasi ke pulau-pulau berhampiran dan berteluk atau lagun untuk tujuan keselamatan.

Walaupun agak kecewa, aktiviti yang dilakukan di Pulau Loa La Ding dan Pulau Phak Bia tetap sama. Pemandangan indah khazanah hutan yang masih terpelihara di pulau itu tidak kurang hebatnya.

Pesisiran pantai yang putih, laut yang hijau kebiru-biruan, berlatarbelakang deretan bukit batu kapur yang mengunjur ke laut, sangat memukau pandangan.

Selesai menikmati keindahan dan aktiviti bersnorkel, kami dibawa pula untuk menikmati makan tengah hari di Pulau Hong. Terdapat dua aktiviti boleh dilakukan di situ iaitu bermandi-manda atau meneroka Taman Negara Thanbok Khorani.

Di pantai Ao Nang, tidak sah rasanya jika ke Krabi tidak cuba menikmati keenakan penkek pisang coklat, Nutella, strawberi dan beraneka perisa.

Deretan kedai urut, restoran, pub, kedai cenderamata, spa dan lain-lain banyak terdapat di Ao Nang untuk tarikan pelancong.

Suasana malam di Krabi sangat meriah. Selepas makan malam di Rabeab's Kitchen Inter-Buffet Halal yang menawarkan hidangan barbeku, stimbot dan makanan tradisi Thailand, kami singgah di pasar malam Krabi yang dibuka pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Suasananya hampir sama seperti di Malaysia, bezanya cuma terdapat persembahan jalanan seperti tarian rambong dan gamelan oleh sekumpulan kanak-kanak.

Banyak cenderamata dan baju T Krabi di jual, harganya sangat berpatutan serta lebih murah daripada yang dijual di Ao Nang.

Selepas daftar keluar hotel, kami bersarapan pagi di restoran Bangnara Roti & Coffee yang turut menawarkan makanan pantai timur dan roti canai.

Istimewanya nasi kerabu di sini, selain terdapat banyak ulaman, taburan ikan bilis goreng garing yang dikisar kasar menambah perisa hidangan tersebut.

Lokasi persinggahan seterusnya ialah di Gua Le Khao Kob yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pekan Krabi di Huai Yot di Wilayah Trang. Gua itu boleh diakses dengan perahu kayu yang boleh memuatkan lima hingga enam orang.

Aktiviti yang pada mulanya sangat santai, berubah menjadi mencabar dan agak menggerunkan.

Perahu menyusuri sungai sehingga sampai ke mulut gua dan kami diminta untuk merendahkan diri kerana bumbung gua dipenuhi stalagmit dan stalaktit yang berceracak.

Kami menikmati keindahan pelbagai formasi stalagmit dan stalaktit yang berbentuk seakan-akan kaki gajah, aiskrim, payung, cendawan dan lain-lain.

Kemudian kami diminta menaiki perahu semula dengan posisi berbaring, kerana bumbung gua yang semakin rendah, dipenuhi batu berceracak yang menggerutu. Dalam kalangan tempatan ramai yang menggelarkan lokasi itu perut naga.

Suasana sekitar cukup gelap, dingin dan hanya berpandukan cahaya lampu suluh. Kedengaran cuma jerit pekik di dalam gua yang bergema, bersahut-sahutan, sekali gus menyebabkan hati tertanya-tanya apa yang terjadi.

Gambaran perasaan waktu itu hanya Allah yang tahu. Terasa insaf dan beristighfar tanpa henti umpama berada di dalam lubang kubur.

Gelap, sempit dan semakin jauh perahu masuk ke dalam, dinding gua semakin menghimpit dan bumbung gua yang menggerutu bertambah rendah sehingga adakalanya hanya berjarak beberapa sentimeter dari badan dan muka.

Cahaya matahari yang menerobos melalui celahan dinding gua melegakan kami, sekali gus menamatkan pengembaraan yang penuh cabaran.

Pelancong dinasihati agar tidak mencuba aktiviti itu selepas hujan kerana air sungai yang meningkat menyebabkan perahu santak ke bumbung gua serta boleh mengakibatkan kecederaan.

Meneruskan perjalanan ke Hatyai, kami singgah di Nora Plaza yang menawarkan barangan kulit seperti tas tangan dan tali pinggang. Tidak lengkap rasanya kunjungan ke wilayah ini tanpa kami singgah pula membeli kudapan seperti gajus, pes tom yam dan kerepek.

Kebudayaan



Penulis (depan dua dari kanan) merakam gambar kenangan bersama rakan-rakan yang mengikuti percutian ke Krabi, Thailand baru-baru ini.

Suasana malam di Klonghea Floating Market sangat meriah dengan persembahan kebudayaan, nyanyian dan lawak jenaka di samping jualan makanan Thailand yang beraneka jenis.

Menariknya, peniaga berniaga di atas sampan dan segelintir memakai busana tradisional. Makanan akan diisi di atas daun pisang yang dibentuk seperti sampan dan dihulur menggunakan galah yang berjaring. Malam masih bersisa, banyak gerai jualan di depan Hotel Grand Plaza Hatyai masih beroperasi dan kami mencuba pulut mangga, durian serta beberapa makanan signatur Thailand seperti padthai.

Keesokannya, kami bersarapan di Tamrab Muslim Hatyai yang menawarkan kepelbagaian makanan seperti set nasi minyak, roti canai, nasi kerabu, nasi dagang dan kari hijau.

Sepanjang empat hari, kami dapati sarapan pagi di Thailand sangat berat, sama seperti makan tengah hari di Malaysia.

Sebagai penamat pengembaraan, kami merasai pula pengalaman menaiki tuk tuk dan membeli-belah untuk menghabiskan wang Thailand yang masih bersisa.