Bersesuaian dengan statusnya sebagai pusat komersial, Jepun menjadi salah satu kuasa ekonomi teratas dunia hasil arus pemodenan yang begitu deras mengalir.

Bangunan pencakar langit melitupi muka bumi Tokyo dan papan-papan iklan digital berserta sinaran lampu neon menerangi setiap pelosok bandar raya itu.

Penulis berpeluang menjejakkan kaki di Tokyo pada pertengahan musim bunga dan musim panas lalu.

Biarpun kehangatan dapat dirasai pada waktu siang, ia hanyalah ‘sapaan’ manja musim panas tetapi masih lagi nyaman.

Cuaca yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk itu memang cuaca yang paling saya senangi.

Tidak perlu bersarung tangan dan berbaju berlapis-lapis. Dua lapis sahaja sudah memadai untuk mengekang angin yang kadangkala bertiup kencang.

Oleh kerana saya dan rakan-rakan tiba pada waktu malam, kami terpaksa bergegas ke hotel yang lokasinya tidak terlalu jauh dari lapangan terbang kerana waktu semakin larut.

Hotel pertama kami bernama Mimaru Akasaka yang berkonsepkan pangsapuri sangat menyenangkan dan berdekatan dengan stesen kereta api bawah tanah serta mudah untuk dituju.

Biliknya juga sangat selesa dan masih ada unsur-unsur asli Jepun yang dapat dinikmati oleh tamu yang berkunjung.

Oleh kerana konsep biliknya seperti pangsapuri, kami mempunyai dapur lengkap yang boleh digunakan untuk memasak selain ruang tamu bagi keselesaan bersama.

Ini juga menjadikannya sebagai sebuah hotel yang sangat sesuai untuk tetamu berkeluarga atau kumpulan yang besar.

Ia juga hanya beberapa minit perjalanan dari stesen kereta api bawah tanah Akasaka dan memudahkan pergerakan kami untuk menjelajah Tokyo.

Seperti beberapa restoran di Malaysia, Tokyo juga ada tempat-tempat makanan tempatan yang masih beroperasi pada lewat malam.

Oleh kerana berasa lapar, kami tetap keluar mencari tempat makan walaupun sedar bahawa sudah lewat malam.

Makanan halal

Selesai meletakkan barang di hotel, kami berjalan di luar dan mendapati masih ada restoran-restoran kecil serta kedai-kedai 24 jam yang buka.

Saya tidak ragu-ragu untuk memesan makanan kerana kebanyakan masakan Jepun adalah berasaskan ikan serta makanan laut.

Ia memudahkan pelancong Muslim yang mencari makanan halal. Perkara yang paling menarik ialah bayarannya tidak semahal yang disangkakan.

Saya juga sempat mencuba hidangan ramen halal di restoran yang terletak di Shinjuku Gyoen Ramen Ouka.

Selain hidangan Jepun yang halal dan sangat lazat, mereka juga menjual mochi perasa pisang dan teh hijau halal dalam bungkusan khas untuk dijadikan hadiah cenderamata Jepun.

Pada keesokan harinya, saya dan rakan-rakan tidak sabar hendak menjelajahi kota Tokyo.

Kami ingin melihat bagaimana persekitarannya pada waktu siang. Selesai makan tengah hari, kami terus mengambil keputusan untuk berkunjung ke kawasan pusat kota.

Jadi, kami berpindah hotel Candeo Tokyo yang berada kawasan Roppongi yang mempunyai kedudukan strategik.

Kemudian kami ke Stesen Tokyo yang merupakan stesen kereta api utama di situ. Struktur bangunan sangat cantik dan ia terletak di Marunouchi dengan dikelilingi gedung-gedung perniagaan terkemuka.

Sekiranya anda turun di kawasan Marunouchi, anda boleh berjalan ke Taman-Taman Diraja sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Jalanan utama Ginza yang dipenuhi kedai-kedai jenama mewah pula mengingatkan penulis kepada persiaran Champs-Elysee di Paris, Perancis.

Ia dihiasi pokok-pokok yang dirias lampu dan kelihatan begitu mengagumkan pada waktu malam.

Selain kawasan Ginza, saya dan rakan-rakan juga tidak melepaskan peluang ke kawasan tumpuan orang ramai iaitu Shinjuku serta Shibuya.

Kawasan Shinjuku memang meriah serta padat kerana dipenuhi hotel-hotel mewah dan di situ terletaknya kawasan ‘lampu merah’ Tokyo.

Shibuya pula merupakan kawasan yang terkenal dengan gadis-gadis berpakaian aneh yang dikenali sebagai harajuku.

Ia merupakan satu konsep fesyen yang lahir di Jepun dan mempunyai pengikut sendiri.

Di kawasan inilah saya dan rakan membeli-belah, memilih gaya pakaian terkini Jepun.

Pusat fesyen

Seperti yang kita ketahui, Jepun juga sebuah pusat fesyen dan pereka mereka seperti Kenzo serta seumpamanya merupakan perintis kepada gaya fesyen Asia dan dunia.

Tidak harus dilupakan juga adalah kawasan permainan video Akihabara yang terang bersinar pada waktu malam dengan pelbagai promosi jenama permainan video tersohor.

Selepas puas berbelanja dan bersiar-siar, kami juga sempat berseronok di Tokyo DisneySea. DisneySea hanya terdapat di Tokyo dan merupakan taman tema Disney yang dibina di atas air serta mempunyai aneka permainan bertema Disney.

Perjalanan ke sana sangat mudah dengan menaiki kereta api. Namun, perlu diingatkan bahawa, anda harus beratur untuk waktu yang lama sebelum menaiki setiap permainan yang menjadi tarikan di lokasi itu.

Jadi, nasihat saya kepada anda yang pernah ke Disneyland lain, lebih baik anda berkunjung ke DisneySea Park sahaja kerana ia berbeza daripada taman tema Disney lain di dunia.

Secara amnya, suasana bersiar-siar sambil membeli-belah di Tokyo memang mengasyikkan.

Saya menikmati setiap detik makan sushi asli di restoran, sambil menikmati pemandangan gah Tokyo yang dihiasi lampu dan pelbagai papan iklan digital mereka.

Saya yakin, bagi individu yang tidak pernah ke Tokyo, anda pasti terpegun dengan kehebatannya dan saya akan kembali lagi jika diberi peluang.