Tambahan pula, kawasan perumahan yang terletak 10 kilometer dari bandar Seremban itu masih lagi dalam proses pembinaan.

Begitupun, keadaan itu berubah sama sekali pada 24 September lalu selepas ratusan kenderaan memenuhi sisi jalan sekitar kelab tersebut sehingga menimbulkan sedikit kesesakan.

Ini kerana, kawasan itu menjadi lokasi acara Matrix Titan Challenge (MTC) yang dianjurkan oleh Matrix Concept Holdings Bhd. (Matrix Concept).

MTC merupakan cabaran inflatable terbesar di Malaysia yang dilengkapi tujuh halangan sukar dan menguji ketahanan fizikal serta mental para peserta.

Inflatable merupakan getah yang dikembungkan menggunakan campuran gas hidrogen, helium dan nitrogen.

Salah seorang peserta, Mohd. Helmi Zahari, 31, berkata, dia sangat teruja kerana dapat menyertai acara yang dianggapnya sangat menarik dan unik itu.

Jelas lelaki dari Bandar Seri Sendayan, Seremban itu, MTC menawarkan cabaran yang berbeza sama sekali dengan acara lasak lain seperti Spartan Race atau Viper Challenge.

“Saya merupakan seorang penggemar acara berbentuk cabaran dan sering menyertainya jika ada kelapangan. Saya tertarik untuk menyertai acara ini kerana ia sangat menarik dan tidak terlalu lasak.

“Lagi pula, cabaran-cabaran yang ditawarkan adalah berbentuk inflatable. Kalau jatuh pun tidak sakit,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

MTC dipecahkan kepada dua iaitu pertandingan utama dan bukan pertandingan (fun run). Acara pertandingan pula dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita.

Pemenang tempat pertama pertandingan itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,800 manakala kedua dan ketiga masing-masing RM1,300 serta RM1,000.

Matlamat

Mohd. Helmi yang merupakan seorang jurutera menambah, walaupun hadiah yang ditawarkan agak lumayan, matlamatnya menyertai acara itu bukanlah untuk mengejar kemenangan.

Sebaliknya, ia lebih kepada meluangkan masa dan beriadah bersama ahli keluarga.

“Saya sertai acara ini bersama kakak dan abang ipar. Matlamat kami bukan untuk menang tetapi, lebih kepada berseronok dan mengisi masa lapang pada hujung minggu,” terangnya.

Selain acara itu, penganjur turut menyediakan inflatable khusus buat kanak-kanak iaitu bungee trampolin dan memanjat dinding.

Acara itu turut dimeriahkan lagi dengan gerai permainan, melukis muka dan tidak ketinggalan jualan cenderamata serta trak makanan.

Ketua Kumpulan Jualan dan Promosi Matrix Concep, Lim Kok Yer berkata, penganjuran MTC merupakan salah satu usaha pihaknya mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, MTC juga diharap dapat memberi keseronokan dan pengalaman unik kepada para penggemar sukan lasak di sekitar negeri itu.

“Kami sangat berbangga kerana dapat membawakan cabaran inflatable terbesar buat pertama kali ke negara ini. MTC menawarkan tujuh halangan inflatable bertaraf dunia yang pasti tidak dapat dilupakan oleh para peserta,” terangnya.

Setiap peserta diwajibkan membayar yuran sebanyak RM80 untuk menyertai pertandingan utama dan RM50 untuk bukan pertandingan. Yuran itu termasuk baju-T, medal penamat dan gelang getah.

Menurut Kok Yee, sebahagian daripada hasil kutipan yuran penyertaan MTC akan disalurkan kepada badan-badan amal yang memerlukan.

Pihaknya bersetuju untuk membantu tiga buah pertubuhan amal iaitu Persatuan Penyakit Lisosom, Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak dan Yayasan Sindrom Down Kiwanis (Kluang, Johor).

“Acara ini bukan sahaja untuk bersuka ria tetapi kami juga mengajak para peserta menyumbang sesuatu kepada badan-badan kebajikan berkenaan.

Sambutan

“Pengerusi Matrix Concept, Datuk Logendaran Narayanasamy turut berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada setiap pertubuhan,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan peserta dalam acara itu, Kok Yee memaklumkan pihaknya tidak menyangka sama sekali MTC mendapat sambutan cukup menggalakkan.

Katanya, dianggarkan seramai 1,600 peserta mengambil bahagian dalam acara tersebut iaitu 45 peratus daripadanya dari Negeri Sembilan manakala selebihnya lain-lain negeri.

Pihaknya turut menerima sambutan menggalakkan daripada para peserta negara jiran, Singapura.

“Kami tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan MTC sebagai acara tahunan di Bandar Seri Sendayan selepas melihat kepada sambutan yang cukup menggalakkan pada hari ini.

“Penganjuran ini sedikit sebanyak dapat mempromosi kawasan sekitar, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung melawat Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, peserta MTC, Siti Nurleza Ali, 26, memaklumkan, acara tersebut membawanya menjejakkan kaki ke negeri yang terkenal dengan adat Perpatih itu buat kali pertama.

Gadis yang menetap di Ipoh, Perak itu berkata, dia bersama dua lagi rakannya berkunjung ke situ adalah untuk menyertai acara tersebut selain melawat beberapa tempat menarik di sekitarnya.