Riak wajah masing-masing ceria dan sekali-sekala, kelihatan mereka berbual mengenai karakter kedua-dua watak adi wira tersebut.

Tidak cukup di situ, kelibat kanak-kanak itu dilihat menuju ke kawasan pameran bagi melihat produk lain seperti kemeja-T, beg dan barang cenderahati yang turut bercorak adi wira tersebut.

Bapa kepada kanak-kanak tersebut, Amirul Aliff, 33, berkata, kedatangannya ke KLIA adalah untuk menghantar ahli keluarganya yang akan menaiki penerbangan pada hari itu.

“Saya membawa anak-anak untuk melihat keadaan keliling sebelum melihat ramai orang berkumpul berhampiran kawasan pentas di aras lima lapangan terbang ini.

“Kami menghampiri kawasan pentas dan alangkah gembiranya anak-anak apabila melihat patung adi wira kegemaran di sini,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Tambah Amirul, inisiatif dilakukan pihak KLIA itu dilihat satu perkara yang amat baik terutama bagi mereka yang membawa anak kecil.

“Kebiasaannya kita perlu datang ke lapangan terbang lebih awal beberapa jam. Bagi kanak-kanak, mereka mudah bosan dan cepat merengek tetapi dengan adanya pameran seperti ini, ia membuatkan mereka lebih teruja dan tidak bosan,” ujarnya.

Bersempena siaran filem Studio Marvel, Avengers: Endgame yang bermula 24 April lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dengan kerjasama The Walt Disney Company Malaysia dan Maybank telah melancarkan kempen Marvel Super Heroes Have Landed di KLIA.

Koleksi

Kempen yang bermula 12 April hingga 16 Jun itu akan membawakan beberapa aktiviti menarik seperti sesi bermain, bergambar dan jualan.

Menurut Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Mohammad Nazli Abdul Aziz, pihaknya sangat gembira kerana dapat membawa ikon adi wira ke KLIA dan berharap ia dapat memberikan pengalaman berharga buat pengunjung.

“Kami mahu mengubah persepsi orang ramai tentang apa yang ada di lapangan terbang.

“Melalui inisiatif seperti ini, kami percaya ia akan dapat mengubah persepsi orang ramai mengenai lapangan terbang daripada lokasi hab pengangkutan semata-mata menjadi destinasi beli-belah dan pelancongan,” ujarnya.

Sepanjang kempen itu berlangsung, pengunjung berpeluang mencuba beberapa permainan seperti Iron Man Shooting Range, Thor’s Hammer Game atau bergambar bersama patung figura Iron Man, Captain America dan Thor serta pesawat Avengers Quinjet.

Dalam pada itu, bagi pelanggan Maybank pula, mereka berpeluang untuk mendapatkan koleksi edisi terhad dengan berbelanja sekurang-kurangnya RM120 dengan menggunakan kad Maybank di kesemua lapangan terbang antarabangsa yang dikendalikan oleh MAHB.

Penebusan boleh dibuat di KLIA, KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Tambah Nazli, pihak MAHB akan sentiasa berusaha untuk terus relevan dan berdaya saing dalam menyediakan yang terbaik buat para pelancong dan tetamu di lapangan terbang.

“Selaras dengan matlamat untuk terus maju ke hadapan, MAHB yakin dapat menarik ramai pelancong melalui pelancaran kempen menarik, memanfaatkan pasaran luar talian dan dalam talian, konsep peruncitan, inovasi digital dan sokongan cemerlang daripada peruncit serta rakan kongsi.

Sementara itu, wakil selebriti yang turut serta, Alif Satar berkata, pameran bertemakan Avengers sangat bersesuaian dan kena pada masanya kerana semua orang tahu filem Studio Marvel, Avengers: Endgame boleh ditonton di pawagam.

“Pameran ini bukan sahaja akan menjadi tumpuan kepada mereka yang sememangnya mempunyai urusan di KLIA tetapi mampu menarik peminat filem Avengers untuk mendapatkan barangan eksklusif yang turut dijual.

“Bagi mereka yang memang sering ke KLIA pula, mereka juga boleh berjalan-jalan sambil mencuci mata berbanding duduk sahaja sambil menunggu penerbangan yang sudah pastinya membosankan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alif turut menjemput orang ramai untuk datang berkunjung dan memeriahkan lagi pameran yang akan berlangsung selama hampir 10 minggu itu.