Perjalanan yang hanya memakan masa kira-kira satu jam setengah dari Kuala Lumpur itu dipenuhi rasa keterujaan memandangkan pekerja swasta itu dan rakan-rakannya sudah agak lama tidak merasai suasana dingin tanah tinggi tersebut.

Menurutnya, kunjungan mereka ke Genting Highlands itu merupakan kali kedua setelah kali pertama mengunjunginya kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya tahu bahawa di sini mempunyai beberapa tarikan terbaharu, namun belum berpeluang berkunjung,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ketika ditemui di kompleks beli-belah SkyAvenue, RWG baru-baru ini.

Noor Athirah dan rakan-rakannya pada waktu itu asyik menonton persembahan animasi Jungle Jam yang ditayangkan di ruang Sky Symphony berupa skrin besar di aras satu kompleks itu.

SkySymphony ialah orkestra unik visual, audio dan pemprograman grafik dengan permainan lampu berwarna-warni.

Cerita Noor Athirah, ketika asyik bersiar-siar di RWG, mereka menyedari orang ramai sedang menumpukan perhatian pada skrin besar itu.

Justeru, Noor Athirah dan rakan-rakannya turut serta menyaksikan tayangan muzikal tersebut yang boleh disaksikan oleh sesiapa sahaja yang berada di situ.

Ternyata keletah-keletah haiwan dalam animasi itu berjaya mencuit hati mereka.

“Saya suka apa yang diusahakan oleh RWG ini kerana sambil berjalan-jalan, kami dapat menyaksikan tayangan secara percuma,” katanya.

Tambahnya, tayangan persembahan seperti itu suatu tarikan yang baik dan menjadi nilai tambah untuk para pengunjung yang bersiar-siar di dalam kompleks yang besar itu.

“RWG bukan sekadar dikunjungi oleh orang muda tetapi juga mereka yang berkeluarga. Jadi, persembahan seperti itu mampu memberikan nilai tambah kepada pusat beli-belah ini. sambil berjalan-jalan boleh juga menyaksikan animasi aksi-aksi haiwan itu,” katanya.

Setiap hujung tahun, RWG sentiasa menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung yang bertandang ke pusat peranginan popular di Malaysia itu.

Istimewa untuk Disember ini, RWG membawakan tarikan baharu iaitu pertunjukan animasi muzikal haiwan, Jungle Jam yang ditayangkan di ruang tontonan percuma, SkySymphony.

Menari

Naib Presiden Kanan Operasi Hotel RWG, Datuk Edward Holloway berkata, pertunjukan tersebut diadakan bagi memberi lebih hiburan kepada pengunjung-pengunjung Genting Highlands.

Jungle Jam ialah produk animasi janaan komputer (CG) yang diuruskan oleh Genting Studios. Tayangan Jungle Jam adalah untuk tontonan semua pengunjung yang datang ke RWG.

“Watak yang diperkenalkan melalui animasi CG itu, lebih menekankan kepada keindahan alam di hutan sambil menari dengan alunan lagu asli,” ujarnya.

Antara watak yang dimainkan adalah Tabby (harimau), Allice (gajah), Joe (orang utan), Geno (dinosaur) dan dua watak Benny (penghibur) serta Callie (naga).

“Pada tahun 2019 nanti, kami akan buat penambahbaikan iaitu dari segi isi kandungan dan watak-watak maskot,” jelasnya.

Durasi animasi Jungle Jam di SkySymphony adalah selama dua jam yang ditayangkan beberapa kali dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Malah turut ditayangkan juga pertunjukan Ocean Groove, Urban Symphony Forest dan Goddes di SkySymphony yang siarannya berselang setiap 30 minit dengan Jungle Jam.

Selain itu, RWG menerusi pawagamnya, Bona Cinema turut mengumumkan pelancaran penambahan dewan tayangan IMAX dan Gold Class yang dilengkapi teknologi D-Box baru-baru ini.

Dengan adanya dewan tayangan IMAX, para penonton dijanjikan kepuasan untuk menyaksikan filem terbaharu menerusi skrin paparan besar yang tampak lebih nyata. Bagi yang mahukan suasana privasi serta mewah, dewan tayangan Gold Class adalah pilihan terbaik.

Tambah Holloway, penambahan dewan tayangan itu yang dibuat sejak 1 Disember lalu itu adalah untuk memberi lebih kepuasan kepada para penonton.

Sementara itu, seorang pengunjung, Izzul Islam Mohamed, 27, berkata, tayangan di SkySymphony itu dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat bagus.

Menurutnya, sambil menunggu rakan-rakan yang lain berbelanja dan memilih barang, dia dapat menghabiskan masa dengan menyaksikan tayangan tersebut.

“Dengan adanya tayangan itu, dapat juga mengisi masa sekiranya kebosanan menunggu rakan membeli barang,” katanya.

Tambahnya, dengan lebih banyak tarikan terbaharu seperti itu, sudah pasti RWG akan terus menjadi lokasi tumpuan pelancong dari dalam mahupun luar negara.