Setiap umat Islam pasti mempunyai hasrat untuk dijemput menjadi tetamu Allah sama ada bagi mengerjakan ibadat haji dan umrah di Tanah Suci.

Malah, Allah juga berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”

Berbanding ibadah haji yang hanya boleh dilakukan dalam musimnya, umrah pula boleh dibuat pada bila-bila masa.

Urusan untuk umat Islam mengerjakan umrah juga semakin mudah kerana banyak syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd., (Andalusia) merupakan antara syarikat utama di Malaysia yang menawarkan pakej itu.

Bersempena dengan penganjuran Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula esok hingga 9 September ini, Andalusia menawarkan potongan harga bermula RM50 hingga RM300 bagi pakej-pakej terpilih.

Ketua Projek Andalusia untuk MATTA Fair, Nurul Nadzirah Nasir berkata, potongan harga yang ditawarkan itu adalah untuk pakej-pakej umrah bagi bulan September sehingga Disember tahun ini.

Kebiasaannya, Andalusia akan mengambil deposit sebanyak RM300 untuk setiap pakej umrah.

“Namun, pada MATTA Fair kali ini, kami hanya mengambil deposit sebanyak RM50 serta menawarkan potongan harga istimewa kepada pengunjung.

Harga rendah

“Kami juga membuka gerai di dewan tiga di PWTC bagi memudahkan urusan para pelanggan untuk mendaftar pakej yang diinginkan,” jelasnya.

Tambahnya, bagi pakej umrah, Andalusia menawarkan harga serendah RM5,390 untuk tempoh selama 12 hari 10 malam.

Dalam pada itu, selain pakej umrah, Andalusia turut menawarkan pakej umrah serta ziarah kepada para pelanggan mereka.

Nurul Nadzirah menjelaskan, bagi individu yang berhasrat untuk mengerjakan umrah dan dalam masa yang sama mahu melancong, mereka boleh memilih pakej umrah serta ziarah yang ditawarkan.

“Kami menawarkan banyak lokasi yang boleh dilawati oleh pengunjung sebelum mereka melakukan ibadah umrah.

“Antara pakej yang kami tawarkan adalah umrah serta ziarah di Muscat, Oman; umrah serta ziarah di Abu Dhabi, Dubai; umrah serta ziarah di Maghribi dan umrah serta ziarah di Istanbul, Turki,” katanya.

Tegasnya, pengunjung boleh hadir ke gerai mereka di MATTA Fair itu untuk melihat destinasi-destinasi pakej umrah serta ziarah yang ditawarkan.

Gerai Andalusia pada MATTA Fair itu bernombor 3099, 3100, 3110 dan 3102.

Bagi pengunjung yang mengunjungi gerai Andalusia pada MATTA Fair, mereka juga berpeluang untuk mendapatkan hadiah percuma edisi khas Andalusia.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Andalusia, Wan Norasikin Wan Ibrahim menjelaskan, setelah beroperasi lebih 10 tahun, Andalusia sering menjadi pilihan ramai untuk mendapatkan pakej umrah dan pelancongan.

“Pada tahun 2017, seramai 65,000 orang telah mengambil pakej umrah dan 8,000 orang mengambil pakej pelancongan daripada Andalusia.

“Andalusia menjadi satu kaunter hub pelancongan dan pengunjung cuma perlu datang dan nyatakan destinasi yang ingin dilawati. Kami akan cuba dapatkan,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini Andalusia menawarkan pakej pelancongan ke 28 destinasi di serata dunia.

Dalam pada itu, Wan Norasikin menjelaskan, bagi pakej umrah serta ziarah, Andalusia menggunakan mutawif dari Malaysia yang berpengalaman.

“Mutawif-mutawif ini kami latih sendiri dan mereka juga diberi kursus. Dalam masa sama, mereka ini turut diberi ujian. Hanya mutawif yang melepasi ujian dibenarkan untuk mengiringi jemaah ketika melakukan umrah,” jelasnya.

Sementara itu, Wan Norasikin menambah sempena, MATTA Fair kali ini, pihaknya juga ada memperkenalkan pakej pelancongan ke destinasi terbaharu seperti Iran, Uzbekistan dan Kazakhstan.