Namun alam tidak akan berlama-lama menduga anak-anaknya. Ada ketika, insiden yang berlaku boleh sahaja dianggap amaran kepada semua pihak untuk sentiasa beringat bahawa manusia tidak akan mampu berdepan dengan kehendak semesta biar sekuat mana pun kita mencuba.

Pada masa sama, alam juga sentiasa membuka pintu-pintu sentosa agar banyak lagi khazanah dan misterinya terus menjadi anugerah dan manfaat kepada manusia.

Perasaan sedemikian yang dirasai saat kali pertama menjejakkan kaki di Panalaban atau umumnya disebut Laban Rata pada ketinggian 3,272.7 meter dari paras laut di Gunung Kinabalu, Sabah.

Lelah, seriau dan perasaan di awang-awangan (sememangnya sesiapa pun yang kali pertama berada di lokasi tersebut seperti berada di atas awan) yang bergulung-gulung meronai segenap pancaindera pantas terubat.

Saat tubuh yang serasa hampir berkecai direbahkan ke katil empuk di penginapan tersedia di Panalaban, kepenatan pendakian selama hampir enam jam bermula dari Timpohon Gate bukan lagi suatu penderaan fizikal, sebaliknya bonus untuk sebuah persinggahan sementara yang mengujakan.

Istimewa, sepanjang pendakian yang dilepaskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah, William Baya pada 1 April lalu, sebahagian tetamu gunung tertinggi di Asia Tenggara tersebut adalah undangan khas Taman-Taman Sabah (TTS) sebagai simbolik pelancaran dua buah hostel baharu di Panalaban iaitu Hostel Mokodou dan Kinatoki.

Ketika pendakian, seramai 49 pendaki termasuk 24 rakan media Sabah dan Semenanjung turut membuat liputan pelancaran hostel baharu kendalian TTS tersebut.

Penulis bersama empat lagi wartawan Kosmo! yang menyertai pendakian sehingga ke Low’s Peak pada ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut turut berpeluang merasai pengalaman mengagumkan yang pastinya akan tersimpan sampai mati. Lebih bermakna, penerbangan kami ke Kota Kinabalu turut mendapat tajaan daripada AirAsia.

Signifikan

“Mokodou dan Kinatoki mampu memuatkan seramai 50 pendaki dalam satu-satu masa. Namun buat masa ini, TTS akan membuka dan mengehadkan seramai 30 pendaki dahulu bermula hari ini (1 April). Kemudian, akan menambah 10 lagi slot pada masa akan datang menjadikan seramai 175 pendaki.

“Bilangan itu akan bertambah menjadi 185 slot apabila kedua-dua hostel ini beroperasi sepenuhnya,” katanya pada majlis Makan Malam Pendakian Bersama Rakan Media Sempena Pembukaan Hostel Panalaban, Gunung Kinabalu 2019 di kaki gunung tersebut baru-baru ini.

Pembinaan penginapan baharu yang menelan kos sebanyak RM12 juta dan mengambil masa selama dua tahun tersebut turut menempatkan pejabat operasi TTS dan tempat bagi peralatan kesihatan. Bilik penginapan malim gunung dan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) turut disediakan. Di Panalaban terdapat satu tempat pemeriksaan baharu untuk pendaki yang naik dan turun.

“Penginapan di Laban Rata ada yang dikendalikan oleh Sutera Santuary Lodge (SSL), Pendant Hut dan Mountant Torq.

“TTS pula ada tiga hostel iaitu Lemaing Hostel yang mempunyai 25 katil yang kekal khusus untuk pendaki Malaysia dan dua blok lagi iaitu yang baharu ini, Hostel Mokodou dan Hostel Kinatoki masing-masing mempunyai 25 katil,” tambah Jamili.

Salah seorang pendaki, Eviannie Kin merangkap Pegawai Jabatan Penerangan Sabah berasa cukup bertuah kerana menjadi salah seorang pengunjung pertama yang bertamu ke penginapan baharu di Panalaban.

“Kedudukan penginapan ini benar-benar berlatarkan Gunung Kinabalu.

“Hostel baharu ini membuktikan kesungguhan TTS mempromosikan Gunung Kinabalu sebagai salah satu lokasi wajib dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Kelestarian fasiliti baharu di Panalaban ternyata bukan hanya demi keselesaan pendaki, bahkan melengkapkan survival kelompok penting yang memastikan kelancaran sepanjang pendakian. Perkara tersebut diakui Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan.

Pembinaan dua hostel tersebut disifatkan signifikan dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 290 malim gunung di situ.

“Lebih ruang dan penambahan slot pendaki akan menawarkan lebih permintaan terhadap malim. Malim gunung juga ada tempat selesa untuk istirehat sebelum meneruskan pendakian,” kata Junaydie yang berpengalaman lebih 10 tahun berkhidmat sebagai malim Gunung Kinabalu.