Para pengunjung datang ke situ untuk melihat tarikan yang terdapat di negara Kemboja iaitu kuil-kuil bersejarah Khmer, Angkor Wat.

Kunjungan pelancong yang ramai di situ juga telah menyebabkan banyak kuil mengalami kerosakan dan sebagainya.

Tetapi tidak bagi kuil Beng Maelea yang tersembunyi di dalam hutan di Siem Reap.

Beng Mealea yang terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari timur kuil-kuil utama Angkor Wat ditadbir oleh Aspara Authority iaitu sebuah agensi kerajaan yang mengawasi kuil-kuil di Angkor. Angkor ialah sebuah bandar di wilayah Siem Reap.

Pun begitu, kuil Beng Mealea tidak tersenarai sebagai salah satu kuil Angkor. Maka, pelancong perlu membeli tiket asing untuk masuk ke kawasan itu.

Harga tiket untuk masuk ke kuil tersebut adalah sekitar AS$5 dolar (RM 20) dan ia lebih murah berbanding mengunjungi Angkor Wat di mana tiket masuk adalah sebanyak AS$37 dolar (RM150).

Tidak seperti mengunjungi kuil-kuil terkenal di Angkor yang banyak kemudahan pengangkutan awam seperti bas, teksi dan tuk-tuk ke situ, perjalanan ke kuil Beng Mealea terasa asing.

Untuk mengunjunginya, para pelancong perlu melalui jalan berlubang dan berdebu. Jika musim hujan, jalan itu bahkan tidak dapat dilalui.

Dalam perjalanan ke situ, pengunjung akan dihidangkan dengan pemandangan aktiviti tradisional Khmer di mana para petani menggunakan kereta lembu untuk menuju ke ladang.

Di sepanjang jalan juga akan turut kelihatan anak-anak kecil bermain di tepi jalan.

Kebanyakan pelancong jarang untuk datang ke kuil Beng Mealea kerana ia memerlukan satu jam perjalanan dari Angkor Wat.

Dalam masa yang sama mereka mungkin tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk datang ke sini setelah melawat kuil-kuil di Angkor.

Beng Mealea mempunyai struktur seni bina yang sama dengan kuil-kuil lain di Angkor dan telah dibangunkan oleh Raja Suryavarman pada abad ke-12.

Usia kuil itu kini adalah sekitar 900 tahun.

Meskipun para sejarawan menganggap kuil itu mempunyai hubungan dengan kuil-kuil terkenal lain di Angkor tetapi informasi dan maklumat tentang asal-usulnya masih belum jelas.

Galeri

Di kuil itu, beberapa ukiran bermotifkan agama Hindu dan Buddha telah ditemui.

Kuil Beng Mealea adalah satu tempat yang sangat istimewa untuk dikunjung

Di situ terdapat ruang-ruang galeri serta perpustakaan yang dibangunkan selain kuil itu dikelilingi oleh parit besar.

Kesan runtuhan juga memberi gambaran seolah-olah kawasan itu telah dilanda gempa bumi suatu masa dahulu.

Kelihatan batu-batu besar yang merupakan sisa-sisa daripada bangunan tinggi yang runtuh terdampar di kuil itu.

Lumut juga tumbuh menghiasi dinding-dinding kuil tersebut. Berhampiran kawasan itu pula terdapat pohon-pohon beringin yang rendang.

Ketika berada di kuil itu, saya juga sempat melihat bagaimana reaksi terpukau oleh pasangan dari India yang menemui pokok-pokok yang tumbuh menjulang di atas dinding-dinding kuil itu ketika mereka menelusuri lorong-lorong kuil tersebut.

Disarankan supaya pengunjung menggunakan khidmat pemandu arah ketika mengunjungi kuil tersebut untuk melihat keseluruhan tempat runtuhan.

Pengunjung juga akan menghabiskan masa beberapa jam untuk memanjat batu-batuan sebelum menyelami keindahan panorama kuil tersebut yang telah diselimuti akar-akar pokok.