Farhaanah Mohamed sering menghabiskan masa terutamanya pada cuti hujung minggu untuk mendaki gunung setinggi 825 meter (m) dari aras laut.

Pada hari itu, buat julung-julung kalinya, Farhaanah menggunakan jalan sepanjang 6 kilometer (km) tersebut bagi menuju ke Kampung Jkin (KJ) Resort Extreme Park.

Kunjungannya ke kawasan tersebut bukanlah untuk menginap di resort sebaliknya mahu mencabar diri melakukan pelbagai aktiviti ekstrem yang disediakan di Extreme Park tersebut.

Salah satu aktiviti yang dilakukan oleh wanita berasal dari Paroi, Negeri Sembilan itu adalah ATV (All-terrain Vehicle) sejauh 1.2km.

Sepanjang perjalanan, Farhaanah terpaksa melalui laluan khas ATV yang berbukit, berair, berlopak dan berbatu bagi memberi keseronokan kepada pengunjung.

“Saya sangat teruja dapat mencuba aktiviti ATV di sini. Biasanya, saya datang ke kawasan ini untuk mendaki Gunung Angsi bersama rakan-rakan.

“Saya yakin KJ merupakan satu-satunya tempat yang menawarkan aktiviti lasak ini kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Selain ATV, KJ Resort turut menawarkan aktiviti lasak lain seperti flying fox, buaian ekstrem, mendaki dan memanjat batu serta berbasikal bukit.

Farhaanah yang juga kakitangan sebuah syarikat swasta di Seremban berkata, KJ Extreme Park menawarkan banyak permainan ekstrem menarik dan terkini.

“Aktiviti ekstrem yang ditawarkan di sini sangat menepati cita rasa penggemar sukan lasak. Ia pastinya lebih seronok apabila dapat dilakukan bersama rakan-rakan,” jelasnya.

Mula dibuka secara rasmi pada tahun lalu, KJ Resort Extreme Park yang berkeluasan 4 hektar itu menawarkan pelbagai aktiviti riadah berkaitan ekopelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jefri Ramli berkata, dia dan rakan-rakannya mendapat ilham untuk membuka KJ Resort Extreme Park selepas bercuti ke Jogjakarta, Indonesia.

Jelasnya, pelancongan berkonsepkan ekosistem sangat laris dan mendapat permintaan tinggi daripada pelancong termasuk dari negara ini.

“Tidak banyak resort yang menawarkan konsep seperti ini. Berbekalkan modal lebih RM100,000, kami ambil keputusan untuk membuka tempat ini,” ujarnya.

Menurut Jefri, pihaknya menawarkan ATV di kawasan antara 1.2km sehingga 2.8km bergantung kepada pakej diambil pelanggan.

Pakej

Jelasnya, pihaknya menawarkan enam pakej ATV buat pengunjung iaitu fun ride, extreme ride, full extreme, trip extra dan extreme (night).

“ATV ini sesuai untuk semua termasuk kanak-kanak. Bagi memastikan keselamatan pelanggan terjamin, kami turut menyediakan jaket keselamatan dan topi keledar,” katanya.

Selain ATV terdapat aktiviti lain yang boleh dilakukan pengunjung di kolam buatan semula jadi iaitu monkey zip-line, bermain gelongsor dan buaian.

Aktiviti lain yang terdapat di situ adalah menyusur jeram, memanjat bukit dan menangkap ikan menggunakan tangan.

“Semua aktiviti yang terdapat di sini boleh dilakukan secara berkumpulan sekali gus dapat mengeratkan lagi silaturahim,” ujarnya.

Selain itu, KJ Resort turut menawarkan empat jenis penginapan dengan harga sangat berpatutan termasuk sarapan pagi.

Ujar Jefri, penginapan yang disediakan adalah rumah pokok, rumah hobbit, asrama dan calet.

Rumah pokok

“Menariknya, kami mempunyai tiga unit rumah pokok. Ia dibina menggunakan pokok sebenar sebagai tiang dan pengunjung akan merasa terbuai apabila ditiup angin.

“Rumah pokok yang dibina sepenuhnya daripada kayu ini lengkap dengan katil, tilam dan bekalan elektrik,” terangnya.

Rumah hobbit pula adalah sebuah rumah kecil yang dilengkapi dengan katil, televisyen, kipas dan tandas. Ia boleh didiami sehingga enam orang pada satu-satu masa.

Pengunjung yang datang dengan jumlah melebihi 15 orang boleh memilih untuk menginap di penginapan asrama.

Bagi pengunjung yang mementingkan keselesaan, KJ Resort menyediakan penginapan calet yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, tempat berkhemah, barbeku serta mini zoo.