Keinginan untuk ke negara itu adalah disebabkan oleh pengaruh drama-drama Korea yang dimainkan di kaca televisyen.

Setelah menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Sains Dietetik, penulis mengambil keputusan untuk menjelajah ibu kota Korea Selatan iaitu Seoul bersama kakak pada September tahun lalu.

Umum mengetahui bahawa negara itu mempunyai pelbagai destinasi menarik dan sering menjadi lokasi percutian bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Selain itu, antara faktor yang menarik pengunjung datang ke negara itu ialah kuil-kuil Buddha kuno, perkampungan nelayan, pulau-pulau tropika bandar berteknologi tinggi seperti di ibu kotanya, Seoul.

Ia juga cukup sinonim dengan muzik K-pop, drama-drama romantik, tempat membeli-belah, pulau yang cantik dan kepelbagaian makanan.

Sebagai seorang pakar pemakanan, pengembaraan saya ke Seoul selama 10 hari adalah bertemakan kulinari. Dengan erti kata lain, percutian kali ini ialah dengan menikmati pelbagai jenis makanan istimewa di Seoul.

Setibanya di Seoul, sudah masuk waktu makan tengah hari. Jadi, penulis dan kakak segera menuju ke Dongdaemun untuk makan tengah hari.

Menu yang kami pilih ialah ikan bakar di Dongdaemun Grilled Fish Street.

Terdapat sekurang-kurangnya 14 buah kedai menjual ikan bakar di lorong yang dikhaskan menjual menu istimewa itu. Sebaik tiba di lorong itu, kami di sapa mesra dalam bahasa Melayu oleh pemilik kedai.

Kami memesan ikan tenggiri saba bakar dan sundubu jigae iaitu sup tauhu pedas.

Tidak sampai lima minit, kami dihidangkan dengan nasi berserta banchan iaitu sejenis kimchi dan sayur-sayuran yang telah dicampur perasa.

Ikan bakar yang dihidangkan juga sangat ringkas. Hanya diletakkan garam dan dibakar segar di atas arang. Ternyata, aroma yang terhasil itu membangkitkan selera.

Dalam pada itu, pengembaraan kulinari penulis ke Seoul juga tidak lengkap sekiranya tidak mengunjungi Myeongdong.

Selain terkenal sebagai tempat membeli belah, Myeongdong juga menjadi lokasi yang menjual banyak makanan jalanan. Suasananya seperti pasar malam di Malaysia.

Di situ penulis dan kakak membeli gyeran pang iaitu roti telur stim sebagai alas perut sebelum kami ke restoran Busan-Jib yang menyediakan makanan halal untuk makan malam.

Kelas masakan

Di restoran itu kami berdua menikmati makanan seperti odeng iaitu sup kek ikan, tteokbokki iaitu kek beras dengan sos pedas dan manis serta hotteok yang merupakan lempeng manis.

Kunjungan penulis ke Seoul bukan sekadar mahu mencuba pelbagai jenis makanan tetapi ingin juga menyertai kelas masakan halal di negara itu.

Kepada yang meminati bidang masakan, Korea Selatan menawarkan pelbagai kelas masakan halal.

Penulis memilih untuk menyertai kelas masakan Ome Cooking Lab yang diasaskan oleh seorang wanita bernama Kim Minseon.

Penulis dan beberapa peserta lain berkumpul di stesen kereta api bawah tanah Jegidong untuk menemui Minseon dan pembantunya.

Setelah berkumpul, kami bergerak ke pasar awam berdekatan iaitu Pasar Gyeongdong.

Minseon memperkenalkan kami dengan minuman herba tempatan yang dikatakan dapat meningkatkan kesihatan. Kami juga mencuba sejenis teh herba yang rasanya pahit tetapi menyegarkan.

Kami terus membeli bahan-bahan mentah termasuk sayur-sayuran seperti tauge, ubi taro dan minyak bijan yang diproses segar.

Ia merupakan satu pengalaman baharu bagi penulis kerana terpesona dengan pelbagai barangan yang dijual.

Selesai urusan jual beli di pasar, kami bergerak ke menuju ke sebuah rumah kecil yang terletak di lorong kecil.

Rumah kecil yang diberi nama Ome Cooking Lab itu merupakan tempat kelas masakan yang dikendalikan oleh Minseon.

Penulis kagum dan terpesona dengan ruang dalam rumah itu, ia dihiasi dengan kemas dan ruang rumah tersebut kecil tetapi nyaman seakan-akan ruang peribadi yang mampu menenangkan minda.

Kami mulakan kelas masakan dengan menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak hamuel pajeon iaitu lempeng makanan laut, mibimbap (nasi campur), kongnamul guk (sup taugeh), kimchi-jeon (lempeng kimchi), myeolchi bokkem (ikan bilis manis) dan dak galbi (ayam pedas).

Kami memasak bersama-sama dan Minseon menerangkan proses memasak tersebut.

Kelas masakan yang mengambil masa dua jam itu berakhir dengan makan tengah hari bersama-sama dan sesi fotografi.

Penulis juga sempat meminta Minseon menandatangani buku resipinya yang telah saya beli beberapa hari sebelum kelas tersebut.

Selain Seoul, kami turut mengunjungi Jeonju yang merupakan bandar ke-16 terbesar di Korea Selatan.

Perjalanan ke Jeonju menaiki Korea Train Express (KTX) dari Stesen Seoul mengambil masa kurang lebih satu jam.

Setibanya di sana, penulis dan kakak ke Hanok Village sebelum ke sebuah restoran untuk makan tengah hari.

Hidangan yang sinonim dengan Jeonju ialah bibimbap iaitu nasi campur.

Masak sendiri

Kami memesan bibimbap jeonju yang didatangkan dengan banyak banchan dan telur kukus.

Sewaktu berada di Korea juga penulis tidak melepaskan peluang untuk mencuba tteokbokki yang sangat sinonim sebagai makanan kegemaran warga Korea.

Tteokbokki adalah kek beras yang dimasak bersama sos pedas manis, sayur-sayuran, kek ikan dan telur rebus dan ia dihidangkan bersama ramen dan dumpling goreng yang dipanggil robokki.

Kawasan Sindang-dong dikenali sebagai tteokbokki town dan terdapat banyak restoran yang menawarkan hidangan tersebut kepada pengunjung.

Kami mengunjungi salah satu restoran tersebut dan menikmati keenakan rabokki yang dimasak panas di atas meja.

Jika di Malaysia, semua proses memasak itu dilakukan oleh pelayan restoran tetapi di Korea ia dilakukan sendiri oleh pelanggan.

Maka, pelanggan mempunyai kebebasan untuk menentukan berapa lama rabokki itu dimasak.

Pengalaman kulinari ke Seoul kali ini memuaskan hati penulis tetapi dalam masa yang sama penulis merasakan banyak lagi perkara yang boleh diterokai di negara itu.

Apa yang boleh penulis katakan, pengembaraan kulinari kali ini berjaya dan penulis ingin mengulanginya sekali lagi dengan mencuba lebih banyak lagi makanan Korea.

Sepanjang berada di Seoul apa yang penulis perhatikan pemakanan orang Korea adalah dalam setiap hidangan ia mesti disertakan dengan sayur.