KMKK merupakan sebuah karnival kecergasan yang dianjurkan oleh pihak pengurusan pusat beli-belah Wangsa Walk dengan kerjasama Studio Funky Fresh (FF).

Tarian zumba kecergasan yang berlangsung selama dua jam dikelolakan oleh tiga orang jurulatih berpengalaman di atas pentas sambil diiringi muzik rancak.

Ia dilakukan secara terbuka sekali gus berjaya mencuri perhatian para pengunjung lain di pusat beli-belah berkenaan.

“Selalu saya datang ke sini untuk membeli-belah atau menonton wayang. Namun hari ini berbeza, saya ke sini bersama rakan-rakan untuk melakukan tarian zumba kecergasan.

“Ia satu pengalaman yang menarik apabila dapat melakukan aktiviti secara beramai-ramai di dalam pusat beli-belah,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Beberapa rutin tarian yang dilaksanakan sepanjang tarian kecergasan berlangsung termasuk zumba, hip hop serta salsation dan U-Jam.

Eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara itu menambah, selain dapat menyihatkan tubuh badan, aktiviti berkenaan juga mampu mengisi masa lapang.

“Karnival ini sangat baik kerana ia mengajak orang ramai untuk berjinak-jinak dengan senaman sekali gus dapat memelihara kesihatan,” terangnya.

Penganjur KMKK, Siti Hadzrah Abd. Rahim berkata, karnival berkenaan bertujuan memperkenalkan dan mempopularkan tarian kecergasan kepada pelanggan setia Wangsa Walk.

Resit pembelian

Jelasnya, ia juga diharap dapat menggalakkan lagi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat bermula daripada peringkat umur kanak-kanak.

“Ini kali pertama kami bekerjasama dengan Wangsa Walk bagi menjayakan KMKK. Sepanjang karnival ini, kami berjaya menarik seramai 500 orang peserta.

“Ia satu angka yang tidak dijangka sama sekali. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa tarian kecergasan mempunyai penggemarnya tersendiri,” katanya.

Antara acara yang dianjurkan sepanjang KMKK adalah zumba kanak-kanak, sesi zumba kecergasan, hip-hop kardio dan kecergasan u-jam fitness, salsa serta persembahan koreografi oleh Faruq Suhaimi.

Semua program tersebut boleh disertai secara percuma oleh para pelanggan Wangsa Walk yang membuat pembelian resit bernilai RM30 dan ke atas.

Setiap resit pembelian yang dibuat di mana-mana kedai dalam pusat beli-belah pada 1 hingga 10 Mac boleh digunakan untuk penebusan seorang peserta.

Menurut Siti Hadzrah, para peserta boleh memilih untuk menyertai mana-mana aktiviti yang ditawarkan sepanjang berlangsungnya KMKK.

“Langkah diambil olah pusat beli-belah Wangsa Walk ini sangat baik kerana ramai tidak ada masa untuk ke studio melakukan aktiviti ini.

“Dengan adanya karnival seperti ini, orang ramai boleh mengeluarkan peluh dan ia sekali gus dapat menyihatkan tubuh badan mereka dengan melakukan tarian kecergasan di dalam pusat beli-belah,” katanya.

Karnival berkenaan dimeriahkan lagi dengan pertandingan tarian kecergasan yang disertai oleh enam kumpulan yang bersaing merebut hadiah juara berupa wang tunai RM1,000 dan hamper.

Pertandingan tersebut terbuka secara berkumpulan dengan tiga hingga lima ahli yang berusia 13 tahun dan ke atas.

Jelasnya, sebanyak enam kumpulan tarian kecergasan sekitar Lembah Klang mengambil bahagian dalam pertandingan Tarian Kecergasan 2019.

Seronok

“Matlamat pertandingan ini bukanlah sekadar mencari kumpulan terbaik sebaliknya mahu menunjukkan betapa seronoknya melakukan aktiviti ini secara berkumpulan.

“Ini secara tidak langsung dapat mempopularkan lagi tarian kesihatan sekali gus dapat menarik lebih ramai orang menyertainya,” katanya

Siti Hadzrah berharap, lebih banyak pusat beli-belah di negara ini dapat mengikut jejak langkah Wangsa Walk dengan menganjurkan program seumpama itu.

Salah seorang peserta, Nurul Amira Sayfinas Mohd. Amir, 28, berasa sangat teruja apabila berpeluang menyertai sesi zumba kecergasan tersebut.

Gadis berasal dari ibu negara itu memaklumkan, dia berpeluang menyertai KMKK selepas menebus resit pembelian di pusat beli-belah Wangsa Walk.

“Saya bukanlah seorang yang terlalu aktif melakukan senaman. Dengan adanya karnival ini, ia memberi peluang kepada saya untuk mencuba aktiviti tarian kecergasan.

“Ia sangat seronok dan menyihatkan. Karnival ini juga memberi peluang kepada saya untuk berkenalan dengan mereka yang aktif dengan aktiviti ini,” ujarnya.

Pekerja swasta di ibu negara itu menambah, dia tidak menolak kemungkinan untuk aktif dengan tarian kecergasan selepas ini disebabkan keseronokannya.