Dua minit kemudian dia menghembus nafasnya secara perlahan-lahan.

Langkah itu dilakukan beberapa kali sebelum dia turun ke kolam yang terletak di Glenmarie Golf and Country Club di Shah Alam, Selangor bagi mengikuti kelas menyelam bebas.

Setiap hujung minggu Wai Hong yang bertugas sebagai jurutera di syarikat Malaysia Airlines Bhd. (MAB) akan mengunjungi kolam renang tersebut bagi mendalami aspek teknikal yang betul untuk menyelam bebas.

Menyelam bebas merupakan salah satu cabang dalam aktiviti menyelam skuba.

Apa yang membezakan kedua-duanya adalah dari segi penggunaan tangki oksigen.

Bagi aktiviti menyelam bebas ia tidak menggunakan tangki oksigen sebaliknya penyelam akan menahan nafas seberapa lama yang boleh ketika berada di dalam air.

“Sebelum ini saya bermula dengan aktiviti menyelam skuba sekitar tahun 2013. Saya juga banyak pergi menyelam skuba di beberapa pulau untuk melihat keindahan dasar laut.

“Namun sampai satu tahap saya merasakan menyelam skuba itu tidak begitu memberi cabaran dan saya cuba mencari sesuatu yang baharu,” jelas anak jati Kuala Lumpur itu.

Wai Hong kemudiannya melayari internet bagi sesuatu aktiviti air yang mampu memberi cabaran kepadanya.

Dari situ dia mula membaca tentang aktiviti menyelam bebas dan secara kebetulan ketika mengunjungi Ekspo Menyelam yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 2016 dia bertemu dengan Syafidatul Azua Shafii, 33, yang merupakan salah seorang jurulatih menyelam bebas di Malaysia.

Setelah mendengar penerangan tentang menyelam bebas itu, Wai Hong tidak menunggu lama untuk mendaftar diri bagi mengikuti kelas tersebut.

Kini setelah hampir dua tahun mengikuti kelas menyelam bebas, Wai Hong telah mendapat sijil tahap dua yang membolehkannya menyelam bebas sehingga kedalaman 20 meter.

“Menyelam bebas ini begitu mencabar dan penyelam perlu memastikan diri mereka sentiasa cergas serta tidak memiliki berat badan yang berlebihan selain perlu menahan nafas lama.

“Sebagai contoh untuk turun ke dasar laut saya perlu pastikan diri tidak terlalu gemuk. Jika badan penyelam itu gemuk ia akan sukar untuk turun ke dasar laut dan memerlukan bantuan pemberat,” tegasnya.

Percaya

Dalam pada itu, Syafidatul Azua menjelaskan, menyelam bebas adalah satu aktiviti yang boleh dilakukan di kolam renang ataupun laut dalam.

Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan di laut dalam kerana penyelam boleh menghayati keindahan dasar laut.

“Menyelam bebas ini memerlukan seseorang itu menahan nafas seberapa lama yang boleh di dalam air. Aktiviti ini sememangnya mencabar minda dan fizikal.

“Namun rasa percaya pada diri sendiri ketika berada dalam air adalah perkara paling penting yang perlu ditekankan kepada individu yang ingin mencuba sukan tersebut selain mempelajari teknik pernafasan dengan betul,” jelasnya yang juga merupakan pemilik Apnea Odyssey.

Apnea Odyssey merupakan salah satu syarikat yang memberi latihan dan pengiktirafan menyelam bebas di Malaysia.

Sekiranya seseorang itu mendalami teknik serta latihan yang betul mereka mampu untuk menyelam dalam satu tempoh yang lama di dalam dasar laut.

Bagi mereka yang ingin mendalami teknik menyelam bebas ia terbahagi kepada tiga peringkat.

Pada peringkat pertama ataupun permulaan penyelam perlu menahan nafas minimum selama dua minit dan perlu turun pada kedalaman tidak melebihi 10 meter (m).

Teknik penting

Peringkat kedua iaitu pertengahan penyelam perlu menahan nafas minimum selama dua minit setengah dan menyelam pada kedalaman tidak melebihi 20m.

Bagi peringkat ketiga penyelam perlu menahan nafas minimum tiga minit setengah dan menyelam pada kedalaman 30m.

“Kesemua peringkat ini akan didedahkan dengan berapa teknik yang penting terutamanya dalam mengawal pernafasan.

“Untuk menyelam bebas penyelam perlu menguasai teknik merehatkan badan terlebih dahulu untuk mengawal denyutan jantung.

“Selain itu penyelam juga akan diajar cara untuk menarik nafas panjang untuk membawa sebanyak mungkin oksigen ke dalam badan,” jelas Syafidatul Azua.

Tambahnya, penyelam juga akan didedahkan dengan kemahiran untuk mengelak daripada berlaku pitam ketika timbul di permukaan.

Kebiasaannya bagi mereka yang mendalami teknik betul untuk menyelam bebas, penyelam boleh berada di dasar laut untuk tempoh antara dua hingga lima minit bergantung kepada individu.

Syarat penting bagi seseorang penyelam untuk melakukan aktiviti tersebut ialah mereka seharusnya mempunyai teman. Ia merupakan langkah keselamatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan sewaktu berada di dasar laut.

Walaupun nampak mudah, menyelam bebas merupakan sukan yang berisiko. Tanpa latihan intensif dan teknik pernafasan yang betul, tidak mustahil seseorang penyelam berdepan dengan maut.

Sementara itu, Syafidatul Azua menjelaskan, syarat utama bagi mereka yang ingin mengikuti kelas menyelam bebas seseorang itu perlulah tahu untuk berenang dan tidak takut dengan air.

“Semua aktiviti yang melibatkan air seseorang itu harus tenang dan tidak mudah panik. Jika seseorang itu panik ia akan mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri,” katanya.

Berbanding dengan menyelam skuba, aktiviti menyelam bebas ini lebih mudah dan ia tidak memerlukan begitu banyak peralatan.

Apa yang penyelam perlukan adalah sepasang kaki itik, topeng muka dan pemberat.

Dalam pada itu, bagi seorang penyelam bebas yang mahu dikenali sebagai Najihah berkata, dia mengikuti kelas itu setelah diajak oleh rakannya.

“Saya pada mulanya hanya sekadar mahu menemani rakan untuk mengikuti kelas ini pada tahun lalu. Namun setelah menguasai teknik-teknik untuk menyelam bebas saya rasa begitu seronok melakukan aktiviti ini.

“Menyelam bebas ini memberi satu kepuasan bagi saya kerana berpeluang untuk melihat keindahan dasar laut dan berenang bersama ikan,” jelasnya.

Tambahnya, paling lama dia mampu untuk bertahan menyelam di dasar laut buat masa kini adalah selama dua minit.