Kebiasaannya, suhu di kawasan Gurun Danakil itu boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius.

Gurun Danakil yang terletak di bahagian timur laut Ethiopia adalah kawasan terpencil yang memegang gelaran sebagai tempat paling panas di Bumi.

Purata suhu sepanjang tahun di kawasan itu adalah 34 darjah Celsius dan seperti dimaklumkan oleh Dawit kawasan itu dikenali sebagai Pintu Masuk ke Neraka.

Sesetengah orang berfikir kawasan gurun yang mempunyai tanah yang keras dan gersang itu mesti tidak dikunjungi apalagi dihuni oleh manusia.

Bagaimanapun, penduduk di Gurun Danakil itu masih mengamalkan tradisi dan budaya yang hampir hilang iaitu kafilah unta yang mengangkat garam melalui padang pasir yang dipimpin oleh suku Afar yang hidup berpindah-randah.

Gurun Danakil terbentuk daripada pelanggaran beberapa plat tektonik di sempadan Ethiopia, Eritrean dan Djibouti.

Gurun itu bukan hanya mempunyai kawasan kawah yang panas tetapi juga tempat yang menakjubkan bagi pencinta geologi.

Kebanyakan pelancong yang datang ke situ adalah untuk melawat Erta Ale iaitu sebuah gunung berapi berketinggian 600 meter dan sangat aktif serta mengandungi tasik lava terbesar di dunia.

Orang-orang suku Afar telah mendiami kawasan dataran yang gersang itu selama berabad-abad dan mereka bertahan hidup dengan menyuling garam dari tasik Danakil yang sarat dengan mineral dan mengangkat dengan melintasi kawasan padang pasir menggunakan kafilah unta.

Sama seperti suku kaum Kurdi, mereka mendiami kawasan yang merangkumi beberapa negara, tetapi tidak mempunyai hak politik atau sempadan yang boleh panggil milik sendiri.

Suku kaum di situ terkenal dengan perangai yang garang, angkuh, bangga diri dan tidak terlalu ramah mungkin kerana pengaruh lingkungan mereka yang keras.

Sehingga ketika pendudukan Itali di kawasan itu semasa Perang Dunia Kedua, mereka terkenal kerana amalan mengetuk buah zakar pendatang asing sebagai bentuk ucapan.

Upah

Walaupun itu tidak berlaku lagi, kumpulan kemerdekaan pemberontak telah menculik sekumpulan pelawat beberapa tahun yang lalu, sehingga memaksa tentera Ethiopia datang untuk mengamankan kawasan tersebut.

Dawit menghantar kami dengan kenderaan pacuan empat roda ke Tasik Assal yang terletak di sebelah timur Gurun Danakali yang menjadi tempat untuk sekelompok orang Afar memuat barang-barang ke atas punggung unta.

Di situ urusan perdagangan garam dilakukan dan pekerja hanya menggunakan alat pencungkil dan kapak bersaiz sederhana untuk memotong bongkah garam dalam keadaan cuaca yang sangat panas dan mengenakan upah sekitar AS$5 (RM20) sehari.

Ketika berada di situ kami didatangi oleh seorang pemuda suku Afar iaitu Mohammed untuk meminta rokok daripada Dawit.

Sambil menghembus asap rokok, dia bercerita yang ayahnya mampu untuk memotong 150 bongkah garam sehari dan layak untuk mendapat bonus kerana rata-rata pekerja di situ hanya mampu untuk memotong sekitar 120 bongkah.

Berbanding ayahnya, Mohammed memilih untuk melakukan pekerjaan yang lebih mudah dengan kadar upah yang sedikit.

Dia bekerja memuat bongkah-bongkah garam yang telah dipotong itu ke punggung unta dan kemudiannya mengiringinya ke pekan kecil Berahile.

Selalunya dia akan mengiringi 15 hingga 20 ekor unta untuk satu perjalanan dengan menempuh jarak sejauh 80 kilometer yang mengambil masa sehingga dua hingga tiga hari sekali perjalanan.

Untuk sekali perjalanan kadar upah yang dikenakan adalah sekitar AS$112 (RM460) tetapi sebahagian besar hasil tersebut diserahkan kepada pemilik unta dan Mohammed dan pembantunya hanya dibayar pada jumlah yang agak kecil.

Kafilah unta dahulunya digunakan untuk mengangkut garam sampai ke ibu kota Mekele yang terletak di bahagian barat Ethiopia.

Mekela menjadi tempat pengumpulan garam yang kemudiannya dihantar ke wilayah-wilayah lain di Ethiopia dan di Tanduk Afrika iaitu kawasan semenanjung di Afrika Timur yang meliputi negara Somalia, Djibouti, Ethiopia dan Eritrea.

Kini tadisi itu semakin berkurang setelah jalan raya untuk ke Berahil dibina dan lori-lori boleh pergi untuk mengangkut bongkah-bongkah garam.

Malah perubahan yang lebih besar juga berlaku.

Pasukan pembinaan sedang membina jalan dari Berahile ke Hamid Ela yang terletaknya Tasik Assal, lokasi garam terhasil.

Berapa lamakah lagi suku Afar mengangkut garam dengan kafilah unta itu dapat dilihat dan bertahan masih menjadi persoalan?