Sebagai seorang yang berasal dari negara yang terletak berhampiran garisan Khatulistiwa, penulis mengimpikan untuk ke negara empat musim dan ingin merasai musim sejuk.

Disebabkan bahagian utara Thailand mengalami musim sejuk antara bulan November hingga Februari, ia menjadikan wilayah ini mengalami waktu puncak dengan kehadiran ramai pelancong dari serata dunia.

Taman Negara Doi Inthanon merupakan puncak tertinggi di Thailand. Penulis perlu menempuh perjalanan selama dua jam sebelum tiba ke puncak setinggi 2,565 meter (m) dari aras laut itu.

Suhu paras beku

Taman negara tersebut meliputi kawasan hutan hujan, hutan campuran dan hutan pain. Suhunya sejuk sepanjang tahun lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Malangnya penulis dan kumpulan tiba agak lewat ke puncak menyebabkan kami terlepas peluang untuk menyaksikan fenomena mae kha ning atau bunga beku.

Dalam perjalanan ke puncak, pengunjung disajikan dengan pemandangan kawasan padi bukit dan beberapa tapak perkhemahan di sepanjang laluan, malah ada juga yang terletak di tepi sungai. Ia menunjukkan komitmen pihak berkuasa yang menyokong aktiviti ekopelancongan seperti itu.

Selepas melalui tempat pemeriksaan pertama kami terus menuju ke puncak. Suhu yang dicatatkan di kawasan lapang itu sangat sejuk iaitu sekitar 8 darjah Celsius manakala di dalam hutan pula serendah 6 darjah Celsius. Malah, adakalanya suhu boleh turun sehingga mencapai paras beku iaitu 0 darjah Celsius. Tiket untuk masuk ke sini ialah THB300 (RM37) bagi dewasa manakala kanak-kanak pula THB150 (RM19). Kenderaan pula dikenakan bayaran THB30 (RM4).

Setelah mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan penulis terus masuk ke dalam hutan melalui laluan kayu yang disediakan. Pendek sahaja laluannya menyebabkan penulis berasa tidak puas hati lalu masuk pula ke dalam Ang Ka Nature Trail. Nama lainnya ialah Michael’s Trail sempena nama ahli biologi kanada, Michael Walsh yang pernah menjadi sukarelawan dan Pegawai Penterjemah dan Pemuliharaan Taman di situ.

Walsh juga mengkaji dan mereka laluan kayu sepanjang 360m yang melalui hutan lumut.

Penulis kemudian menuju ke Kew Mae Pan Nature Trail. Panjang sebenar laluan itu ialah 3.2 kilometer (km) tetapi penulis hanya mendaki setinggi 1km sahaja sehingga untuk ke satu lokasi yang menyajikan panorama indah seolah-olah berada setinggi awan.

Kepada mereka yang menyukai aktiviti treking atau mendaki bolehlah menghabiskan baki laluan yang ada. Perjalanan dengan mendaki tangga agak meletihkan, justeru bolehlah menggunakan laluan di denai.

Untuk melalui trek hutan, pengunjung wajib menggunakan khidmat malim gunung dengan bayaran sebanyak THB200 (RM25) seorang.

Air terjun

Setiba di lokasi, penulis terpegun kerana ia sangat cantik memukau. Dapat dilihat awan yang berarak perlahan di depan mata seolah-olah kita berada di dalamnya.

Usai mengagumi keindahan kawasan pergunungan tertinggi di bumi Gajah Putih, penulis menuju ke Pagoda Berkembar Diraja pula. Pagoda Phra Mahathat Naphamethanidon ini disiapkan oleh Royal Thai Air Force sempena memperingati Hari Keputeraan ke-60 King Rama kesembilan pada 5 Disember 1987. Kemudian Phra Mahathat Naphapholphumisiri pula dibina untuk Permaisuri Sirikit pada tahun 1992.

Dalam perjalanan turun, penulis singgah sebentar di gerai tepi jalan di perkampungan Orang Asli Hmong. Ada yang menjual cenderamata, sayur-sayuran, buah-buahan segar dan buah-buahan kering. Kebanyakan bungkusan bersaiz sederhana dan berharga antara TBH100 hingga THB150 (RM12 hingga RM18).

Air Terjun Wachiratan menjadi persinggahan terakhir pada hari tersebut. Terdapat tiga air terjun utama di Doi Inthanon dan ia tidak kering sepanjang tahun. Tingginya lebih kurang 40 meter dan mempunyai arus deras sehinggakan percikan airnya menyebabkan kawasan berhampiran basah. Bagaimanapun, pengunjung tidak dibenarkan mandi di atas faktor keselamatan.

Disebabkan terasa lapar, penulis dan rakan memilih untuk makan malam di sebuah restoran halal, Baan Pi Huen Nong yang terletak berhampiran hotel. Restoran tersebut beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 10 malam. Menariknya, sekitar pukul 7.30 malam pengunjung dihiburkan dengan persembahan kebudayaan selama satu jam.

Meskipun restoran ini menyediakan kerusi dan meja, namun penulis memilih untuk duduk bersila sambil memilih menu signatur utara Thailand. Selain rasanya yang sedap, cara nasi dan pulut dihidangkan dalam ruas buluh juga agak istimewa.

Pendek kata, lawatan ke Chiang Mai khususnya ke Taman Negara Doi Inthanon telah memenuhi sebahagian impian penulis untuk bercuti di negara empat musim.