Bagi menikmati percutian santai sambil menikmati keindahan semula jadi, sudah tentu kawasan berdekatan dengan pantai ataupun hutan menjadi pilihan pengunjung dari ibu kota.

Di Kuala Rompin misalnya, Lanjut Beach and Golf Resort yang terletak di kawasan Kampung Lanjut menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk menenangkan fikiran sambil bercuti.

Lokasinya yang berdekatan dengan Pantai Lanjut juga memberikan peluang untuk pencinta pantai dan laut beriadah bersama keluarga dan tersayang.

Jika anda memandu kereta, dalam masa 15 minit anda sudah tiba di Kampung Orang Asli Deraman dan berpeluang untuk mengikuti aktiviti bersama masyarakat di sana. Jangan lupa untuk membeli makanan laut yang segar seperti udang galah dan ketam yang dijual penduduk tempatan pada harga berpatutan.

Resort ini begitu istimewa apabila terletak di kawasan meliputi keseluruhan Kampung Lanjut yang memperoleh namanya daripada sejenis pokok dengan buah mirip seperti gajus.

Menurut Pengurus Besarnya, Hizam Shah Omar, Lanjut Beach and Golf Resort yang bertaraf tiga bintang mempunyai 196 buah bilik dan suite.

Katanya, terdapat tiga jenis bilik suite di sini iaitu Executive, Studio dan Junior dengan reka bentuk apartmen yang sesuai untuk keluarga yang mahukan keselesaan.

“Kita juga menyediakan pilihan bilik lain terdiri daripada Superior Twin, Superior Triple dan Family Connecting Superior Room.

“Kami turut menawarkan harga yang berpatutan untuk keluarga selain pakej hari keluarga bagi syarikat dan keluarga yang ingin meluangkan masa bersama-sama dalam suasana yang meriah,” katanya.

Kemudahan

Tambah Hizam Shah, setiap biliknya mempunyai perhiasan yang moden dan sangat praktikal. Kesemua bilik lengkap dengan sambungan Wi-Fi percuma, televisyen LCD dan seni reka yang unik dengan sentuhan yang minimal.

Menurutnya, bagi mengelakkan pengunjung berasa serabut dengan hiasan yang terlalu mewah dan banyak, pihaknya telah memastikan penggunaan warna dan hiasan yang ringkas tetapi selesa untuk didiami.

Setiap bilik mempunyai suis automatik yang mana dengan satu sentuhan sahaja mampu mengawal lampu dan peralatan elektrik tanpa perlu bergerak jauh daripada katil.

Bagi makanan pula, Lanjut Resort menawarkan restoran Anjung Brasserie Coffee House yang dibuka bermula seawal pukul 7 pagi hingga 10 malam dengan seleksi pilihan makanan seharian berasaskan menu tempatan dan antarabangsa.

“Kami mendapat bekalan makanan laut yang segar dari jeti nelayan yang berada hampir dengan Kampung Lanjut dan pelanggan boleh menikmati pelbagai sajian makanan laut seperti udang, ikan, ketam dan sotong dengan resepi istimewa disediakan cef terkemuka kami.

“Jika pelanggan mahu merasai makanan pencuci mulut, Kafe Strada turut menghidangkan pelbagai aneka kek, manisan dan roti yang dibuat sendiri oleh cef pastri sambil bersantai di lobi resort,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hizam berkongsi, terdapat juga kemudahan lain seperti surau, gimnasium, spa dan bilik permainan.

Jika mahu bersantai sambil bermain air, pihak resort turut menyediakan kemudahan kolam renang yang terletak di hadapan lobi.

“Resort Lanjut juga mempunyai kemudahan empat ruang mesyuarat yang boleh memuatkan kira-kira 120 orang dan sebuah dewan utama yang boleh memuatkan 1,200 pengunjung dalam satu-satu masa,” tuturnya.

Secara keseluruhannya, resort ini sesuai buat pengunjung yang sukakan ketenangan dan mahu lari daripada kesibukan kota.