Sebelum ini, apabila pulang ke kampung halaman dia akan menginap di rumah pusaka datuknya yang menjadi tempat tinggal bagi kedua-dua orang tuanya.

Kini, rumah pusaka itu didiami oleh keluarga bapa saudaranya.

Baginya rumah itu mempunyai banyak nostalgia terutamanya ketika menyambut hari raya.

“Setiap kali hari raya, saya tetap pulang ke kampung untuk menjenguk saudara-mara. Tidak dinafikan rumah pusaka itu akan menjadi tumpuan setiap kali hari raya dan ia dipenuhi dengan sanak saudara,” jelasnya.

Keadaan itu, katanya, menimbulkan keadaan yang kurang selesa kepada keluarganya.

“Bagi memberi keselesaan kepada keluarga, saya memutuskan untuk tinggal di resort atau hotel berhampiran,” jelasnya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Selangor.

Konsep pulang beraya ke kampung, namun tinggal di hotel atau resort telah menjadi trend dalam kalangan rakyat Malaysia dengan ramai yang memberikan alasan atas faktor keselesaan.

Jumlah ahli keluarga yang terlalu besar, anak-anak yang masih kecil atau tiada rumah ibu bapa di kampung menyebabkan sesetengah hotel atau resort di negara ini hampir penuh pada minggu pertama Aidilfitri.

Sempena Aidilfitri kali ini, Azrul Naim menginap di sebuah resort iaitu Keriang Hill yang terletak di Gunung Keriang Alor Setar.

Rumah tradisional

“Tahun-tahun sebelum ini, saya memilih untuk tinggal di hotel. Saya pilih Keriang Hill kerana konsep resort ini begitu menarik.

“Bilik penginapan di sini berkonsepkan rumah tradisional lama dan saya berasa umpama berada di kawasan perkampungan lama,” jelasnya.

Mula beroperasi sejak tahun 2015, Keriang Hill menjadi antara salah satu resort di negeri Jelapang Padi itu yang sering menerima kunjungan pelancong.

Penolong Pengurus Keriang Hill, Norsuhada Baharudin berkata, Keriang Hill terletak di kaki Gunung Keriang dengan berparonamakan gunung batu kapur serta hamparan sawah padi.

Terletak hampir 10 kilometer dari bandar Alor Setar, resort yang berkeluasan empat hektar itu mempunyai 15 pondok berkonsepkan rumah kampung tradisional yang dibina menggunakan kayu dan berbeza reka bentuk.

“Terdapat dua jenis pondok iaitu Standard dan Keluarga. Pondok Standard selesa untuk dua atau tiga orang penghuni dan Keluarga pula boleh memuatkan empat atau lima orang.

“Setiap pondok ini mempunyai ruang tamu tersendiri, sekali gus membolehkan pengunjung melayan tetamu,” jelasnya.

Tambahnya, tiga buah pondok berhadapan dengan pemandangan sawah padi yang terbentang luas.

Norsuhada menjelaskan, pada tahun ini kesemua pondok penginapan mereka penuh pada minggu pertama Aidilfitri.

“Selalunya pengunjung akan menempah pada sehari sebelum raya sehingga raya ketiga atau keempat. Kebanyakan mereka merupakan perantau yang pulang beraya ke kawasan berdekatan resort ini.

Kuih-muih

“Di setiap pondok kami turut menyediakan kuih-muih di ruangan ruang tamu bagi membolehkan pengunjung meraikan sahabat handai atau saudara-mara yang melawat mereka,” katanya.

Bagi membangkitkan suasana raya, pelita turut dipasang pada sebelah malam untuk menerangi suasana.

Selain itu, pada hari raya juadah-juadah seperti lemang, ketupat dan rendang turut disediakan kepada pengunjung untuk bersarapan sebelum keluar beraya.

Dalam pada itu, Norsuhada menambah, untuk musim perayaan pihaknya juga menerima tempahan untuk menganjurkan rumah terbuka.

“Kami mempunyai tempat khas untuk pengunjung menganjurkan rumah terbuka bagi meraikan sahabat handai atau saudara-mara,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika luar musim perayaan, Keriang Hill turut menjadi pilihan pelancong dari luar dan dalam negara.

Sementara itu, Norsuhada menjelaskan, Keriang Hill merupakan lokasi ideal bagi pengunjung yang ingin merasai kehidupan suasana kampung.

Jelasnya, kawasan itu masih terpelihara keindahan alam semula jadi dan banyak pokok meredupi kawasan sekitar dan pengunjung juga dapat merasai kesejukan angin yang bertiup dari sawah padi.

“Walaupun berkonsepkan penginapan ala-ala kampung namun resort ini mempunyai kemudahan lain seperti kolam renang, gimnasium, bilik mesyu­arat, kedai cenderamata, surau dan balai untuk kemudahan pengunjung,” katanya.

Tambahnya, kawasan lapang yang luas di hadapan setiap pondok juga membolehkan anak-anak kecil bebas berlari.

Di samping itu tidak lengkap kunjungan pengunjung di Keriang Hill jika tidak mengunjungi Rumah Lindungan Raja yang terletak di resort tersebut yang menempatkan koleksi barangan peribadi Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Dalam pada itu, Norsuhada menjelaskan, antara tarikan lain yang terdapat berdekatan dengan Keriang Hill adalah Muzium Padi dan Gunung Keriang.

nTerletak di kaki Gunung Keriang

nTerdapat 14 buah pondok yang berkonsepkan rumah kampung tradisional

nTerletak 10 kilometer dari bandar Alor Setar

nMula beroperasi pada tahun 2015

nTelefon: 04-730 5232

Mula beroperasi sejak tahun 2015, Keriang Hill, Alor Setar antara salah satu resort di negeri Jelapang Padi yang menjadi pilihan pengunjung menginap pada musim perayaan.

Oleh FARID AHMAD TARMIJI