Kesempatan berkunjung ke bangunan lama yang dibina pada tahun 1937 dan pernah menjadi ibu pejabat Oversea Chinese Bank Corporation (OCBC) itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Leon Kiew Zhen An, 21, dan beberapa orang rakannya yang terdiri daripada pelajar tahun dua jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina, Universiti UCSI Kuala Lumpur.

Kumpulan anak muda itu teruja kerana menjadi antara pengunjung terawal pada hari pertama penganjuran Kampung Bandar Sedunia sempena Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9.

Tahun ini Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Forum Bandar Sedunia bermula 7 hingga 13 Februari lalu.

“Sebagai pelajar program seni bina, curahan idea yang ditonjolkan pada setiap aras di 2HK memberikan suatu inspirasi kepada saya. Saya dapat membayangkan masa depan bangunan di Malaysia yang bakal menerapkan elemen kenegaraan dalam binaannya.

“Dari ruang bumbung bangunan juga, saya dapat melihat tapak kampung bandar yang meriah dengan pengunjung. Keindahan binaan landskap, bunyi air pancut yang didengari sayup-sayup dan kehijauan pepohon membuatkan saya tidak sabar untuk menyertai mereka,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di aras bawah tanah 2HK yang menempatkan aktiviti Kehidupan Bandar Di Dalam Gelap oleh sebuah organisasi cacat penglihatan, Dialogue In the Dark Malaysia (DiD).

Meletakkan dirinya sebagai pelancong yang teruja dengan tarikan landskap desa di Medan Pasar, anak jati Kuching, Sarawak itu lantas terkenangkan pengalamannya bermain buaian sewaktu kecil dahulu sambil melihat beberapa rakan lain berlari berkejaran.

Cuma bezanya, kehidupan kampung itu kini diterjemahkan di persekitaran bandar.

Forum Bandar Sedunia merupakan persidangan utama dunia yang dikendalikan oleh Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi membincangkan isu-isu dalam bandar meliputi perbandaran yang pesat dan kesannya terhadap masyarakat, bandar, ekonomi, perubahan iklim serta dasar sesebuah negara.

Nikmat penglihatan

Salah seorang fasilitator aktiviti Kehidupan Bandar Di Dalam Gelap, Muhammad Fadzli Rahim, 23, memberitahu, aktiviti yang dibawakan itu sangat bertepatan dengan pengisian Kampung Bandar Sedunia, namun dalam penyampaian yang berbeza.

“Kami ingin memberi pengalaman secara langsung kepada pengunjung untuk menjalani kehidupan di bandar raya seperti berkunjung ke taman, pasar atau kafe, namun sebagai seorang yang hilang nikmat penglihatan.

“Sebaik memasuki bilik gelap yang direka khas dengan bau, deru angin, bunyi dan suhu seakan-akan situasi sebenar, pengunjung yang dibekalkan dengan sebatang tongkat akan dibimbing oleh seorang pemandu arah yang merupakan ahli DiD,” jelas anak kelahiran Kluang, Johor yang kehilangan penglihatan sejak berusia enam tahun itu.

Bangunan 2HK merupakan salah satu tarikan yang disediakan kepada orang ramai yang berkunjung ke Medan Pasar sepanjang tempoh Forum Bandar Sedunia berlangsung.

Dalam jarak 20 meter, orang ramai yang lalu-lalang menoleh buat kali kedua untuk melihat penampilan Medan Pasar yang berubah ketara seolah-olah berlaku transformasi landskap dalam masa semalaman.

Mereka pasti tidak melepaskan peluang untuk melihat secara lebih dekat dan dengan sekelip mata, bangku serta buaian di sekitar tapak kampung bandar telah terisi.

Di satu sudut yang lain, beberapa lelaki pertengahan usia kelihatan khusyuk membaca surat khabar di atas bangku bersebelahan air pancut. Ada juga yang sedang berbual-bual dan duduk menghadap alur pepohon hijau sambil membelakangkan jalan raya yang sibuk.

Idea Kampung Bandar Sedunia yang dibangunkan oleh penganjur Urbanice Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Think City itu merupakan konsep kampung bandar pertama yang diperkenalkan sempena WUF9.

Bertindak sebagai eksperimen sosial makmal kehidupan bandar masa hadapan, idea kampung bandar mengetengahkan agenda untuk memberi nafas baharu kepada bangunan dan tapak bersejarah di Medan Pasar yang pernah menjadi hab komersial utama di ibu kota lebih lapan dekad lalu.

Bagi menghidupkan suasana kampung dalam persekitaran bandar, tapak Medan Pasar telah bertukar wajah seakan-akan landskap kampung yang hijau dan tenang ditemani deruan air pancut.

Landskap berkonsep kejiranan yang dikongsi bersama itu menempatkan dua unit rumah mikro bersaiz kompak, beberapa buaian, bangku kayu serta kolam buatan yang lengkap bersama pokok.

Menurut pereka rumah mikro itu, Wong Wei Ping, idea untuk memasang dua buah rumah kompak bersaiz 24.5 meter persegi tersebut dibuat berdasarkan inisiatif untuk memakmurkan kembali bangunan yang sebelum ini sekadar menjadi titik pertemuan pejalan kaki di kawasan sekitar Masjid Jamek.

“Jika dilihat, keluasan rumah mikro sama seperti dua petak parkir kereta sahaja. Walaupun ruang dalamannya kecil, ia mempunyai ciri utama selayaknya sebuah rumah dan berfungsi sepenuhnya.

“Memandangkan kejiranan yang dikongsi bersama merupakan sebuah projek eksperimen sosial, kami membayangkan sebuah kejiranan kampung bandar yang kompak dan jiran tetangga yang saling berhubung antara satu sama lain,” terangnya.

Produktif

Tambah Wei Ping, rumah mikro tanpa dinding konkrit itu menggunakan warna cerah dan bertenaga bagi menghasilkan ilusi ruang lebih besar.

Jelasnya, keseluruhan proses mengambil masa selama 12 minggu untuk disiapkan.

Sementara itu, ketua projek Kampung Bandar Sedunia, Joanne Mun memberitahu, realiti hidup di Kuala Lumpur ialah kemeriahan hanya dirasai pada waktu siang dan beransur-ansur lumpuh menjelang malam disebabkan tidak banyak penempatan di dalam bandar.

“Kami di Think City percaya bahawa ibu kota yang maju perlu sentiasa produktif pada waktu siang dan malam seperti di Amsterdam, Belanda.

“Apabila tiada ‘jiwa’ di dalam bandar, ia bukan sahaja menimbulkan isu keselamatan bahkan turut merencatkan pembangunan ekonomi.

“Justeru, sekiranya kita boleh membangunkan kejiranan di sini, secara tidak langsung komuniti yang menjaga Kuala Lumpur juga dapat diwujudkan,” ulasnya.

Tambah Joanne, sejajar dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang menekankan idea untuk membawa masuk lebih ramai orang muda ke dalam bandar bagi membangunkan perniagaan dan menghidupkan suasana, pihaknya mengambil inisiatif memperkenalkan konsep kejiranan yang boleh dikongsi bersama.

Idea kampung bandar diketengahkan untuk memberi nafas baharu kepada bangunan dan tapak bersejarah di Medan Pasar, Kuala Lumpur yang pernah menjadi hab komersial utama di ibu kota lebih lapan dekad lalu.