Dia yang berasal daripada negara Iran lebih selesa menghayati koleksi pameran di setiap muzium dalam suasana dingin malam.

Limpahan cahaya lampu membangkitkan suasana yang cukup berbeza berbanding kebiasaan ketika Mitia mengunjunginya pada waktu siang.

Program Denai Malam di Muzium-Alami Detik Malam Yang Menakjubkan memberi peluang kepada Mitia menelaah pemandangan di sekitar bandar raya sebelum sampai ke destinasi.

“Melawat muzium pada waktu malam amat menarik kerana dihiasi lampu-lampu berwarna warni.

“Pada waktu malam juga keadaan cuaca lebih sejuk untuk mengembara dari satu muzium ke muzium selain dapat pemandangan bandar raya yang cantik,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada program tersebut baru-baru ini.

Tambah Mitra, program tersebut turut memberi pendedahan adat resam dan budaya Malaysia.

Program anjuran Jabatan Muzium Malaysia itu memberi peluang kepada peserta untuk meneroka dunia muzium pada waktu malam dengan dikenakan bayaran sebanyak RM70 seorang.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, idea penganjuran muzium malam itu adalah susulan kejayaan program Bermalam di Muzium anjuran Jabatan Muzium Malaysia yang diadakan pada tahun 2005.

Menurutnya, seramai 72 orang pelancong dari pelbagai negara menyertai program yang pertama kali diadakan itu antaranya Iran, Jepun, Taiwan, New Zealand, Vietnam dan Mongolia.

“Pelancongan dibawa menaiki bas dari Muzium Negara dan mengembara ke tiga buah muzium bermula Muzium Tekstil, Muzium Diraja dan kembali semula ke Muzium Negara.

“Muzium Tekstil menjadi lokasi pertama persinggahan dengan melawat galeri-galeri terpilih merangkumi sejarah perkembangan tekstil kaum Melayu, Cina dan India serta pakaian etnik di Sabah dan Sarawak.

“Aktiviti yang diadakan ialah pelancong diberi peluang memakai kostum tradisional iaitu kain batik dan pelekat sambil menari tarian joget lambak.

“Mereka ternyata seronok apabila mengenakan pakaian itu dan berjoget dengan alunan muzium tradisional,” jelasnya.

 

Sambutan baik

Disebabkan sambutan baik daripada pelancong, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program berkenaan, namun hanya bermula November tahun ini.

Malah, katanya, ia akan dibuat pada setiap Sabtu minggu pertama dan ketiga.

Program berkenaan akan dibuka kepada orang tempatan dan pelancong asing.

Jelasnya, di Muzium Tekstil pelancong mengambil masa dalam 30 minit sebelum meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja.

Di Muzium Diraja, Kamarul Baharin berkata, pada waktu malam suasananya lebih mempesona dengan cahaya-cahaya lampu menerangi pekarangan muzium serta kelengkapan dalaman yang serba kekuningan selain dapat merasakan kehidupan di istana serta mempelajari sejarah Raja-Raja Melayu.

Pengunjung juga berpeluang mempelajari cara pemakaian songket dan tengkolok Yang di-Pertuan Agong yang diberi nama Dendam Tak Sudah.

Jelasnya lagi, pengunjung juga dapat menikmati juadah makanan tradisi iaitu nasi lemak dan teh tarik berserta puding raja.

Seterusnya, pengunjung akan dibawa ke Balai Rong Seri, tempat diadakan segala upacara adat dan acara rasmi istana.

Kembara malam itu diteruskan dengan kembali ke Muzium Negara untuk melihat koleksi peninggalan sejarah kerajaan Melayu Nusantara.

 

Pengalaman berbeza

Dalam pada itu, salah seorang pelancong Todd Lewis, 35, dari New Zealand berkata, biarpun sudah hampir tiga kali melancong di Malaysia tetapi dia tidak pernah berkunjung ke Muzium Negara.

Program ini memberi pengalaman berbeza kepadanya untuk mengenali lebih dekat tentang budaya dan warisan di Malaysia.

“Pada mulanya saya agak pelik kerana lawatan ini dibuat pada waktu malam dan risau sekiranya membosankan.

“Tetapi apabila sampai sahaja ke Muzium Negara saya rasa sangat teruja dengan khazanah yang dipamerkan. Suasana malam membangkitkan lagi aksesori dan patung-patung di situ seakan-akan hidup.

“Biarpun suasana gelap tetapi masih boleh mendapatkan gambar yang menarik kerana cahaya lampu yang dipasang sudah memadai,” ujarnya.

Tambahnya, dia rasa amat bertuah kerana berpeluang mengikuti program tersebut dan paling seronok adalah dapat mencuba koleksi pakaian perkahwinan kaum-kaum yang terdapat di Malaysia.

Pakaian tersebut menarik perhatiannya kerana dilengkapi aksesori antik yang membuatkan penampilan pemakai lagi terserlah.

“Sebelum ini saya pernah melihat pakaian seperti ini di internet tetapi tidak sangka malam ini dapat memakainya,” jelasnya.

Selain itu, Lewis berkata, dia juga teruja dengan aktiviti pada akhir program kerana terdapat persembahan kebudayaan iaitu joget lambak dan demonstrasi penyediaan makanan tradisi seperti memakan sirih pinang.

 

Meriah

Ia turut diakui oleh Kazuko, seorang warganegara Jepun yang telah menetap di Malaysia hampir enam tahun.

Pada mulanya, dia tidak berapa minat untuk mengikuti lawatan muzium itu kerana sudah menjadi kebiasaannya melawat muzium.

Namun, dia mengubah fikiran apabila lawatan tersebut dibuat pada waktu malam dan ingin melihat kelainannya.

“Saya pernah datang beberapa kali ke Muzium Negara ini tetapi pada waktu siang.

“Bezanya, pada program ini pelbagai aktiviti sampingan dianjurkan berbanding sebelum ini sekadar melawat bahan pameran. Pastinya kali ini, lebih meriah dan seronok.

“Inisiatif program muzium malam ini berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke muzium apabila ia dibuka di luar waktu operasinya,” ujar Kazuko, 35, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Program Denai Malam di Muzium-Alami Detik Malam Yang Menakjubkan memberi peluang kepada 72 orang pelancong asing melawat di tiga muzium di ibu negara dalam suasana limpahan cahaya lampu.