Pada pagi itu, Muhammad Akhyat ingin menikmati sarapan pagi berjuadahkan nasi kandar.

Tanpa melengahkan masa dia sekeluarga bergerak ke Kompleks Peruda yang terletak di Alor Setar, Kedah untuk menikmati Nasi Lan Peruda.

Sebaik sampai Muhammad Akhyat yang bekerja dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di Sintok beratur hampir lima minit sebelum mendapatkan juadah yang dikehendakinya.

“Gerai ini menjadi pilihan saya seisi keluarga terutamanya untuk bersarapan pagi. Ini kerana, lauk-pauk yang ditawarkan di sini menepati cita rasa kami.

“Nasi berwarna kuning dengan campuran kuah yang seimbang bersama seketul ayam goreng sudah mampu membangkit selera kami sekeluarga,” jelasnya.

Tambahnya, harga yang ditawarkan juga berpatutan, maka tidak hairanlah gerai tersebut selalu dipenuhi pelanggan.

Bagi kebanyakan penduduk di Alor Setar, Nasi Lan Peruda bukanlah satu nama yang asing bagi mereka.

Telah beroperasi lebih 35 tahun, gerai makan yang berada di kali lima Kompleks Peruda itu menjadi pilihan penduduk setempat dan luar untuk bersarapan dan makan tengah hari.

Bagi seorang lagi pelanggan Nadzirah Fahaza Ghazali, 29, menjelaskan, gerai tersebut menjadi lokasi untuknya bersama rakan-rakan menikmati sarapan pagi sekiranya pulang ke Alor Setar.

Nadzirah Fahaza yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur menjelaskan, dia mengetahui kewujudan gerai tersebut beberapa tahun lalu selepas dibawa oleh rakannya.

“Saya begitu menggemari juadah sambal sotong. Rasanya enak dan lembut,” jelasnya.

Dalam pada itu, pemilik gerai Nasi Lan Peruda, Mohd. Azlan Jamal, 58, berkata, gerainya itu menawarkan juadah nasi kandar Melayu telah beroperasi sejak tahun 1983.

“Rutin harian saya bermula seawal pukul 5 pagi dengan proses memasak. Setelah selesai menu-menu ini akan dibawa ke gerai yang dibuka pada pukul 7 pagi.

“Seawal pukul 7.30 pagi gerai mula dipenuhi oleh pelanggan untuk bersarapan. Selain untuk bersarapan ada juga pelanggan yang datang ke gerai ini untuk menikmati makan tengah hari.

“Ini kerana gerai ini dibuka sehingga pukul 2.30 petang setiap hari. Cuma hari Jumaat kita beroperasi sehingga pukul 1 tengah hari,” katanya.

Mohd. Azlan berkata, dia mengusahakan gerai tersebut berikutan keluarga sebelah isterinya iaitu Zarina Ariffin, 59, kebanyakan berniaga dan ia menimbulkan minatnya untuk melakukan perkara yang sama.

“Pengetahuan memasak yang saya kuasai hari ini adalah tunjuk ajar daripada keluarga mertua,” katanya.

Kebiasaannya, lauk-pauk yang dihidangkan kepada para pelanggan adalah sekitar 17 hingga 20 hidangan.

Antara lauk yang menjadi pilihan pelanggan ialah ayam madu, sotong kembang, daging masak hitam, ayam goreng dan telur sotong.

Mohd. Azlan berkata, sotong kembang masak sambal adalah juadah istimewa gerainya.

Jelasnya, resipi untuk sotong kembang itu adalah turun-temurun daripada keluarga isterinya.

“Untuk menyediakan menu ini, sotong kering perlu direndam dengan air abu selama dua hingga tiga hari.

“Setelah direndam sotong akan kembang dan strukturnya lembut dan kemudiannya dimasak bersama sambal,” jelasnya.

Segar

Selain itu, daging masak hitam juga antara menu pilihan pengunjung.

“Kesemua bahan mentah yang digunakan adalah segar belaka. Untuk juadah daging masak hitam misalnya proses untuk memasaknya mengambil masa yang sedikit lama untuk memberi rasa lembut bila dikunyah,” jelas Mohd. Azlan.

Lebih istimewa, lauk itu dihidangkan bersama nasi minyak kuning dan sehari dia menggunakan sekitar 30 hingga 40 kilogram beras.

Jelas Mohd. Azlan, nasi minyak kuning itu dimasak bersama campuran rempah khas untuk memberi rasa yang lain daripada lain.

“Selain nasi dan lauk-pauk, campuran kuah yang pelbagai juga menjadi faktor utama yang memberi rasa istimewa kepada hidangan tersebut.

Harga

“Campuran kuah antara pedas dan manis perlu seimbang untuk memberi rasa yang sempurna. Rasa nasi tetap sama dari dahulu kerana pekerja yang bertanggungjawab untuk meletakkan lauk-pauk dan kuah adalah orang yang sama yang telah bekerja dengan saya lebih 30 tahun,” kata Mohd. Azlan yang merupakan ayah kepada lima cahaya mata itu.

Harga untuk lauk-pauk yang ditawarkan juga amat berpatutan.

Untuk seketul daging adalah sekitar RM3 dan untuk seketul ayam goreng RM4.50.

Manakala harga untuk sepiring sotong kembang adalah RM4.

Cawangan

Dalam pada itu, Mohd. Azlan berkata, pelanggan yang mengunjungi gerainya bukan hanya penduduk tempatan sekitar Alor Setar sahaja malahan ada juga yang datang dari luar seperti Pulau Pinang dan Perlis.

Dalam pada itu, pelanggan sekitar Alor Setar yang mengunjungi gerainya adalah mereka daripada generasi kedua yang dahulunya dibawa oleh ayah dan emak.

“Kini, mereka pula yang menjadi pelanggan setia kami dan turut membawa anak-anak kecil untuk menikmati juadah di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Azlan menjelaskan, dia juga mendapat permintaan oleh pelanggannya agar dibuka cawangan di luar dari negeri Kedah.

“Memang saya mendapat permintaan agar Nasi Lan Peruda ini dibuka di lain-lain negeri seperti Kuala Lumpur dan Johor, tetapi saya rasa sukar untuk melakukannya terutamanya untuk memberi rasa yang sama seperti di sini.

“Bagi saya jika bertukar tukang masak rasa pasti akan berbeza dan atas sebab itu dia memikirkan untuk tidak melakukan sistem francais,” katanya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang tinggal di Shah Alam, Selangor dan Putrajaya masih boleh merasa keenakan Nasi Lan Peruda.

Ini kerana, anak-anaknya telah membuka kedai tersebut di sana.

Kedua-dua buah restoran di Shah Alam dan Putrajaya dikenali sebagai Nasi Lan Kedah.

“Anak-anak saya yang membuka kedai di Shah Alam dan Putrajaya ini boleh memasak dan saya sendiri yang mengajar mereka untuk menyediakan menu-menu tersebut.

“Mereka membesar dengan menolong saya berniaga dan ilmu memasak ini saya turunkan kepada mereka sedikit demi sedikit,” jelasnya.