Selain memancing ikan, udang juga antara buruan utama kaki pancing.

Begitu juga Mohammad Izwan Ramlan Abdullah, 24, yang tidak lengkap aktiviti hariannya jika tidak memancing.

Begitupun, dia memilih untuk memancing udang galah di kolam persendirian selepas pulang dari tempat kerja pada pukul 6 petang.

“Kaki-kaki pancing udang galah lazimnya menganggap lubuk terbaik untuk mendapatkan udang adalah sungai.

“Bagaimanapun, ia kadangkala memakan masa beberapa hari dan memerlukan kos yang agak besar. Tambahan pula, saya bekerja di Kuala Lumpur dan susah hendak mencari sungai yang sesuai,” ujarnya yang tinggal di Kajang, Selangor itu.

Justeru, Izwan yang merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu memilih lokasi memancing udang di Kolam Pancing Udang Galah Riinfa Hulu Langat (KPUGRHL).

Lokasi memancing itu juga hanya 20 minit dari rumahnya.

Pemuda yang berasal dari Melaka itu, biasanya memulakan aktiviti kegemarannya selepas solat Maghrib.

Sebaik sahaja sampai dia terus mendaftarkan diri di kaunter sebelum dibekalkan joran, mata kail dan umpan oleh penjaga kolam berkenaan.

Mula dibuka pada Jun 2016, kolam tersebut menawarkan kepada kaki pancing peluang memancing dan membawa pulang udang galah.

Udang galah atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii merupakan sejenis udang air tawar. Ia boleh didapati di sungai-sungai utama di seluruh negara.

Izwan yang berkulit sawo matang itu berkata, memancing udang galah sangat mudah dan tidak memerlukan kemahiran mengendalikan joran yang tinggi.

Sabar

“Apa yang penting adalah pemancing hanya perlu memasang umpan berupa umpun-umpun pada mata kail sebelum melepaskannya ke dalam kolam.

“Sebelum datang ke sini saya tidak pandai memancing udang tetapi pekerja-pekerja di sini banyak mengajar cara yang betul.

“Pada pendapat saya, memancing udang galah ini jauh lebih mudah daripada ikan. Namun, pemancing perlu ada tahap kesabaran yang tinggi,” katanya yang merupakan pemenang udang terberat bulan ini di kolam tersebut.

Sementara itu, pemilik KPUGRHL, Muhamad Hafiz Sabari, 37, berkata, dia bersyukur kerana kolam udang galah miliknya mendapat sambutan menggalakkan daripada kaki pancing.

Katanya, walaupun tapak kolam itu berada jauh dari ibu kota, namun ia bukanlah satu masalah kepada kaki pancing untuk mengunjunginya.

“Setiap hari dianggarkan 15 hingga 20 orang akan berkunjung ke kolam ini. Jumlah itu akan meningkat pada hujung minggu dan cuti umum.

“Kebanyakan pengunjung terdiri daripada kaki pancing sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Ada juga yang datang dari Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya.

Jelas pesara pengedar buku teks di sekolah-sekolah itu berkata, kolam tersebut mampu memuatkan sehingga 20 orang pemancing pada satu-satu masa.

“Semakin ramai pemancing semakin banyak udang galah yang perlu diletakkan di dalam kolam. Langkah ini bagi memastikan kepuasan para pengunjung.

“Biasanya, saya akan menambah udang galah setiap satu jam ke dalam kolam. Berat udang yang ditambah bergantung kepada jumlah pemancing pada ketika itu,” terangnya.

Menariknya, pihaknya akan mengajar pemancing yang baru berjinak-jinak memancing udang sehingga mereka pandai.

“Bukan itu sahaja, kami juga akan memberikan udang untuk dibawa pulang sekiranya pemancing yang datang tidak dapat memancing udang atau kuantiti yang ditangkap terlalu sikit.

“Kami mementingkan pelanggan dan bagi saya kepuasan memancing itu penting dan biar berbaloi dengan harga yang dibayar,” jelas pemilik KPUGRHL yang mempunyai dua orang pekerja itu.

Menurut Hafiz, KPUGRHL beroperasi pada pukul 11 pagi hingga 5 pagi pada hari Isnin hingga Khamis, Jumaat (3 petang hingga 5 petang) dan hari minggu (9 pagi hingga 5 petang).

Ujar Hafiz, kolam yang ditawarkan adalah berukuran 50x20 meter persegi dengan kedalaman 1.5 meter dan memerlukan tiga hari untuk memenuhkan air ke dalam kolam.

“Setiap pagi pekerja atau saya sendiri akan menyelam ke dalam kolam untuk membersihkan dan mengeluarkan udang-udang yang mati.

“Jika dibiarkan, udang-udang lain tidak akan memakan joran pemancing kerana telah memakan udang-udang yang mati itu,” jelas Hafiz yang berasal dari Hulu Langat itu.

Tambahnya, kolam tersebut juga menyediakan umpan dengan harga serendah RM5 kepada pemancing. Pemancing juga boleh menambah umpan secara percuma sekiranya habis.

Selain itu, KPUGRHL turut dilengkapi kemudahan seperti parkir, kerusi, penimbang, joran, surau, ruang menonton televisyen dan kafe yang baru dibuka tahun ini.

Malah, pemancing yang berjaya mendapat udang yang ditanda dengan getah pada sepitnya akan ditawarkan hadiah cabutan bertuah.

Gred udang

Jelasnya lagi, udang galah yang diletakkan dalam kolam tersebut mempunyai gred A, B dan C.

“Bagi gred A berat udang adalah sekitar 150 gram (g) hingga 100g dan gred B adalah 80g hingga 100g manakala gred C iaitu 80g ke bawah.

“Stok udang yang baru sampai tidak akan diberi makan sekiranya hendak dimasukkan ke dalam kolam,” tuturnya.

Hafiz memberitahu, pembabitannya dalam bidang tersebut disebabkan minatnya dalam aktiviti memancing udang.

“Dulu kolam ini milik orang lain. Apabila pemilik tersebut melihat saya selalu menghabiskan masa memancing di sini, dia menawarkan kepada saya untuk mengambil alih perniagaan ini kerana sibuk dengan pekerjaan utamanya,” jelasnya yang memancing udang sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, situasi berkenaan memberi peluang kepadanya untuk mengambil alih kolam tersebut dan pemilik asal juga yakin dengan pengalamannya.

Bercerita lebih lanjut, Hafiz berkata, pengalaman pahit tidak pernah dilupakan adalah kerugian sebanyak 78 kilogram (kg) udang pada awal pembukaan kolam.

“Saya hampir putus asa pada masa itu, tetapi dengan semangat dan tunjuk ajar daripada pemilik kolam asal dan rakan-rakan saya meneruskan perniagaan ini.

“Alhamdulillah, kini kolam ini memberi pendapatan tinggi kepada saya dan dikenali ramai kaki pancing,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada lapan orang adik-beradik.

Dalam pada itu, Hafiz memaklumkan, biasanya stok yang diambil sebanyak 100kg daripada pembekal dari Teluk Intan, Perak.

“Bagaimanapun, jumlah stok tersebut tidak tetap dan bergantung kepada kehadiran pelanggan pada bulan itu,” terangnya sambil menunjuk stok udang galah di kolam simpanan.

Kolam Pancing Udang Galah Riinfa, Hulu Langat, Selangor menawarkan kolam memancing udang yang mampu memberi kepuasan kepada kaki pancing.