Antara aktiviti yang menjadi pilihan Loo Ling Hau dan rakan-rakannya ialah menonton wayang, mandi-manda di kolam dan keluar membeli barang keperluan.

Namun, bagi mencari kelainan, anak kelahiran Klang, Selangor itu bersama lima lagi sahabatnya memilih untuk merasai pengalaman mengembara di Hauntu, The LINC KL, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hauntu adalah sebuah permainan interaktif berbentuk penyiasatan kes jenayah fiksyen yang berlaku di sebuah hotel. Permainan tersebut harus disertai antara enam hingga 10 orang pemain.

Pelbagai pengalaman seram dan mendebarkan perlu dilalui oleh pengunjung di dalam hotel berkenaan bagi menyelesaikan misi yang diberikan.

“Ini kali pertama saya cuba permainan Hauntu. Ia sangat menarik kerana dapat mengembara bersama rakan-rakan dan dalam masa sama menyelesaikan misi jenayah yang berlaku.

“Permainan ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara kami. Ini memandangkan setiap masa kami perlu saling membantu bagi melepasi setiap halangan,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Misi

Mula dibuka pada Oktober tahun lalu, Hauntu dikendalikan oleh pemilik francais permainan interaktif terkemuka dunia iaitu Breakout.

Ling Hau yang juga seorang pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman berkata, Hauntu berbeza sama sekali dengan Breakout.

Jelasnya, Breakout bermatlamat menyelesaikan teka-teki bagi melepaskan diri, manakala Hauntu lebih kepada menyelesaikan misi.

Pengasas Bersama Hauntu, Cheah Ka Wai berkata, idea membuka permainan itu tercetus selepas melihat trend masyarakat negara itu terhadap pengalaman baharu yang unik berikutan peningkatan jumlah pengunjung ke Breakout di Bangsar yang mencatatkan penambahan dua digit setiap bulan.

“Kami sedar dan sedia maklum bahawa masyarakat terutamanya golongan muda sentiasa mempunyai keinginan tinggi terhadap aktiviti pengembaraan mendebarkan,” katanya.

Menurut Ka Wai, Hauntu merupakan satu-satunya tempat di negara ini yang mengetengahkan gabungan antara persembahan teater dan rumah hantu.

Jelasnya, matlamat utama pengunjung di Hauntu adalah memainkan watak tertentu dalam cerita bagi melakukan jenayah fiksyen atau menyelesaikan sesebuah misi.

“Setiap pengunjung perlu memainkan watak masing-masing dalam cerita diberikan. Mereka perlu berinteraksi dengan watak-watak lain yang dilakonkan oleh pelakon sebenar.

“Pada masa sama, pengunjung perlu membuat keputusan penting yang akan menentukan jalan cerita dan pengakhiran bagi pengembaraan tersebut,” terangnya.

Kostum

Bagi memaksimumkan rasa seram, setiap watak yang dilakonkan mengenakan kostum lengkap seperti pelayan, ahli sihir, pengemas bilik dan pengawal keselamatan.

Mereka yang gemar menonton drama dalam Netflix, Westworld akan lebih memahami konsep pengembaraan yang ditawarkan oleh Hauntu.

Jelas Ka Wai, pengembaraan tersebut digambarkan berlaku di Hotel Colle Eastern iaitu sebuah penginapan berkonsepkan kolonial British sewaktu menjajah Tanah Melayu.

“Ia dapat dilihat daripada aspek seni bina bangunan, kelengkapan dan perabot. Ini sekali gus membolehkan pengunjung merasai sendiri suasana ketika zaman sebelum kemerdekaan,” katanya.

Buat masa ini, Hauntu mempunyai tiga buah jalan cerita berbeza yang berlaku di dalam Hotel Colle Eastern yang dipenuhi dengan misteri.

Setiap cerita akan ditukar pada setiap tiga bulan memandangkan tiga kisah berkenaan adalah saling berkait antara satu sama lain.

“Pengunjung perlu mencuba ketiga-tiga jalan cerita ini bagi mengetahui kes sebenarnya. Ini merupakan strategi kami untuk menarik pengunjung,” jelasnya.

Salah seorang pengunjung, Afiqah Zulkefly, 26, berpendapat, Hauntu menawarkan penjelajahan yang sangat menyeramkan dan penuh tanda tanya.

Remaja berasal dari ibu negara itu menjelaskan, hal ini kerana sepanjang penjelajahan, dia tertanya-tanya pengakhiran cerita berkenaan.

“Ia satu penjelajahan yang sangat menarik. Saya dapat rasakan seperti seolah-olah berada dalam sebuah hotel penuh misteri.

“Watak-watak yang dilakonkan berserta kesan bunyi yang dimainkan, membuatkan suasana pengembaraan menjadi lebih menyeramkan,” tuturnya.