Suatu hari, Rabiatul Adawiyah Zakaria berpeluang singgah di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras untuk mengambil barang daripada rakan karibnya.

Setibanya di hadapan stesen tersebut, pandangannya terarah kepada sebuah karavan sepanjang 15 meter yang diubah suai menjadi tempat penyediaan makanan.

Karavan makanan yang tertera perkataan Hit & Eat itu berjaya membuka selera Rabiatul Adawiyah untuk mencuba hidangan di situ.

“Saya sangat tertarik dengan konsep yang diketengahkan oleh karavan makanan Hit & Eat. Ia kelihatan sangat cool dan rare.

“Ini kali pertama saya melihat dan menikmati sajian di karavan makanan. Ia berbeza dengan konsep trak makanan,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Hit & Eat merupakan karavan makanan yang menawarkan 18 menu kompilasi daripada resipi tempatan, Barat dan Asia Barat.

Pelanggan boleh menikmati sajian tersebut di meja makan yang disediakan atau bawa pulang ke rumah.

Rabiatul Adawiyah yang berasal dari Tanjung Tualang, Perak memberitahu, hidangan yang disediakan di Hit & Eat sangat bersih dan menyelerakan.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, saiz hidangannya yang besar sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan.

“Saya berpuas hati dengan makanan di sini. Rasanya seperti disediakan oleh tukang masak sebuah restoran terkemuka,” terang usahawan wanita itu.

Karavan makanan Hit & Eat merupakan adalah milik penuh syarikat usaha sama antara Malaysia dan Iran iaitu Hit & Eat Sdn. Bhd. (Hit & Eat).

Pengarah Urusannya, Mohd. Akbar Yasin berkata, pihaknya merupakan satu-satunya syarikat yang menyediakan karavan makanan di negara ini dan Asia Tenggara.

Jelasnya, karavan makanan yang diketengahkan oleh Hit & Eat adalah bersifat kekal dan tidak menggunakan enjin kenderaan untuk bergerak.

Ujarnya, ia bagi memastikan makanan yang disajikan bersih dan bebas daripada pencemaran terutamanya asap kenderaan.

Mudah, cepat

“Konsep karavan makanan ini diilhamkan dari negara Eropah. Di sana, karavan makanan sangat popular dalam kalangan masyarakat bagi mendapatkan sajian terbaik.

“Jadi, kami ingin membawa trend ini di Malaysia sekali gus membantu orang ramai mendapatkan pelbagai makanan dengan mudah dan cepat,” terangnya.

Sejak diperkenalkan pada awal tahun ini, Hit & Eat berjaya menempatkan lima karavan makanan di sekitar ibu kota iaitu di Solaris Dutamas, Jalan Changkat, Sri Petaling dan terbaharu di hadapan stesen MRT Taman Mutiara Cheras.

Menurut Mohd. Akbar, pihaknya mengetengahkan karavan makanan disebabkan gaya hidup masyarakat ibu kota yang serba pantas dan tidak suka menunggu lama.

Katanya, karavan makanan mampu menyediakan satu sajian dalam masa antara tiga hingga lima minit sahaja berbanding restoran dan kafe iaitu 15 hingga 30 minit.

“Karavan makanan sangat efektif. Setiap makanan dimasak di dapur dalam karavan oleh cef terbaik kami.

“Kami juga ingin mendidik masyarakat mengenai pengambilan makanan sihat khususnya ketika membeli di jalanan,” ceritanya.

Antara hidangan yang diketengahkan adalah nasi lemak, burger, pasta, hot dog, chicken tender, chicken wing dan nachos chips.

“Saya berani jamin, hidangan yang ditawarkan di karavan makanan ini sama taraf dengan hotel terkemuka dan harganya berpatutan,” ujarnya.

Ujar Mohd. Akbar, pihaknya yakin karavan makanan Hit & Eat mampu menjadi daya tarikan baharu di Kuala Lumpur khususnya kepada para pelancong.

Dia memberitahu, para pelancong terutamanya dari Asia Tenggara pastinya tertarik dengan karavan makanan disebabkan ia satu-satunya di rantau ini.

Ia diakui oleh salah seorang pelanggan Hit & Eat, Shahrul Ambri Samsuddin, 33, yang berasal dari Temerloh, Pahang apabila menganggap karavan makanan itu cukup unik.

“Saya tertarik dengan reka bentuk dan hiasan luaran karavan tersebut. Makanannya juga enak,” katanya.