Bapanya, Tengku Johari Tengku Zakaria, 41, terpaksa mengawal keterujaan anak-anaknya yang ingin mencuba laluan baharu Salleh Trail yang terletak di Hutan Simpan Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu.

“Sempena musim cuti sekolah ini, saya bawa anak-anak melakukan aktiviti berbasikal di laluan baharu ini.

“Saya rasa, laluan ini lebih jauh berbanding asal iaitu laluan Petaling yang selalu saya gunakan untuk aktiviti berbasikal.

“Jalan ini juga lebih mencabar kerana terdapat beberapa laluan menuruni bukit,” ujarnya yang terpaksa mengawal pergerakan anak-anaknya dengan lebih ketat kerana khuatir mereka terbabas dan terjatuh.

Menurut Tengku Johari, dia telah menetap di De Rozelle, Kota Damansara hampir enam tahun lalu iaitu berdekatan dengan lokasi aktiviti berbasikal berkenaan.

Katanya, setiap hari Sabtu dan Ahad, dia selalu ke kawasan sekitar tersebut untuk melakukan aktiviti berbasikal, namun mengetahui tentang pelancaran laluan tersebut melalui jirannya.

Salleh Trail terletak di dalam Hutan Simpan Kota Damansara yang berkeluasan 6,590 hektar itu mengambil masa perjalanan hanya 30 minit dari Kuala Lumpur dengan menaiki kereta.

Hutan Simpan Kota Damansara yang di bawah kendalian Jabatan Perhutanan Negeri Selangor itu juga mendapat kerjasama daripada penduduk setempat dan Persatuan Rimba Komuniti Kota Damansara untuk menjaga kebersihan di sekitar hutan berkenaan.

Dalam kawasan tersebut, terdapat tujuh laluan selain daripada Salleh Trail seperti Petaling, Scouts’, Temuan, Sahabat, Unity, Harmoni dan Tahan Sipew’s Garden.

Laluan baharu sepanjang satu kilometer itu diberi nama Salleh Trail adalah sempena sumbangan bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Tan Sri Salleh Mohd. Nor.

Beliau telah banyak menyumbang dalam pemuliharaan hutan semula jadi di Malaysia termasuklah Hutan Simpan Kota Damansara. Salleh Trail sesuai digunakan oleh semua lapisan umur dan masyarakat yang ingin menggunakannya untuk tujuan pelbagai aktiviti riadah.

Namun, untuk aktiviti berbasikal terdapat beberapa cabaran seperti menuruni bukit setelah melalui 200 meter perjalanan di laluan Salleh Trail.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Rimba Komuniti Kota Damansara, Justine Vaz memberitahu, selain menjadi lokasi aktiviti berbasikal, ia juga dapat mendekatkan masyarakat dengan alam sekitar sekali gus memupuk sikap memelihara dan memulihara hutan.

“Setiap bulan, kami akan menjalankan pendidikan perhutanan kepada kanak-kanak dengan kerjasama masyarakat Orang Asli Bukit Lanjan.

“Kanak-kanak dibawa melalui laluan Salleh Trail dan diberi penerangan berkenaan spesies dan hidupan yang berada di sekeliling mereka,” katanya.

Jelas Vaz lagi, tiada bayaran dikenakan atau kebenaran khas diperlukan untuk menggunakan laluan tersebut, malah sesiapa sahaja boleh menggunakannya.

“Namun, kami suka mengingatkan kepada para pengguna supaya sentiasa mengamalkan sikap berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika menggunakan laluan ini.

Kategori laluan

“Elak daripada menggunakan laluan ini pada lewat malam dan sentiasa berada dalam laluan yang betul. Pada masa sama, pengguna perlu menjaga kebersihan hutan dengan tidak meninggalkan sisa makanan dan minuman atau membuang sampah di merata-rata tempat,” ujarnya.

Tambah Vaz, uniknya tentang laluan itu terdapat laluan yang berbeza mengikut kategori pengguna iaitu laluan mendaki dan basikal lasak.

“Pengguna boleh melihat tanda, motif daun atau basikal pada pokok bagi menentukan laluan betul atau tidak. Hal ini kerana adalah untuk memastikan kelancaran laluan yang dilalui oleh para pengguna.

“Selain itu, pihak Yayasan Sime Derby juga ada menyediakan sebuah pondok dan dua tempat bangku duduk di tengah-tengah laluan ini untuk para pengguna bersantai atau berehat,” tuturnya yang turut memberitahu laluan tersebut adalah selamat untuk pengguna yang baru berjinak-jinak dalam sukan berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Pengasas Doowaroda, Siti Hajar Abu Bakar, kedatangannya ke Hutan Simpan Kota Damansara itu adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan penggemar sukan basikal mengenai cara tunggangan yang selamat.

Katanya, mereka mesti dididik supaya memahami bahawa berbasikal tidak sekadar mengayuh sebaliknya memerlukan teknik dan cara yang betul.

“Ada orang beranggapan tidak perlu belajar cara berbasikal kalau sekadar untuk tujuan suka-suka atau beriadah. Tanggapan ini sebenarnya salah kerana bukan orang yang hendak menyertai pertandingan sahaja perlu ada ilmu.

Ilmu

“Sebaliknya setiap orang yang mahu membabitkan diri dengan aktiviti ini perlu ada ilmu, sekurang-kurang asas. Tanpa ilmu, mereka berdepan dengan pelbagai risiko yang membahayakan diri malah mungkin boleh meragut nyawa,” katanya.

Tambah Siti Hajar, kerana kecetekan ilmu atau sikap tidak mahu belajar, kebanyakan penggemar sukan basikal membuat kesilapan walaupun ia hanya perkara asas.

“Contohnya, dalam bab membeli basikal, ramai yang membuat kesilapan dengan mengutamakan jenama, bentuk fizikal serta aksesori basikal itu berbanding kesesuaiannya dengan diri mereka.

“Perkara asas yang perlu dilihat sewaktu membeli basikal bukan berdasarkan sedap mata memandang tetapi ia perlu bersesuaian dengan tubuh kita. Kaedahnya sama seperti kita memilih pakaian, sama ada saiz S, M atau L, ia perlu disesuaikan dengan saiz dan bentuk badan kita,” ujarnya.

Jelasnya lagi, setiap penggemar sukan basikal perlu ada ilmu asas berbasikal kerana kalau sekadar boleh berkayuh, ia belum melayakkan mereka untuk menyertai aktiviti berbasikal.

“Setiap kayuhan itu mempunyai teknik tersendiri. Contohnya, cara kayuhan di jalan mendatar dengan jalan berbelok adalah berbeza. Begitu juga bila mendaki atau menuruni bukit, kombinasi teknik kayuhan, keseimbangan badan serta kawalan basikal memainkan peranan.

“Jika teknik kayuhan serta posisi badan tidak betul, ia boleh mengakibatkan penunggang jatuh dan mengalami kecederaan. Banyak perkara asas yang perlu dipelajari jika seseorang itu mementingkan keselamatan,” kata Siti Hajar.

Laluan trek berbasikal sejauh satu kilometer itu memberi manfaat kepada para peminat sukan lasak serta pengunjung 
dari luar dan dalam negara untuk bersama-sama melakukan aktiviti riadah.