Program amal anjuran Exco Sukan Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan sesi 2017/2018 UUM itu berjaya menarik penyertaan seramai 380 orang dari serata negeri termasuk Perlis.

Penganjuran larian amal itu juga adalah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah serta Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU) Kedah.

Sebelum larian amal bermula, peserta yang mengenakan baju-T berwarna biru muda berhimpun di kawasan padang untuk aktiviti pemanas badan.

Usai memanaskan badan, mereka mula mengambil tempat masing-masing sebelum dilepaskan mengikut tiga kategori larian yang dipertandingkan.

Kumpulan pertama peserta yang dilepaskan adalah daripada kategori A Terbuka Lelaki untuk larian sejauh 8 kilometer (km) diikuti kategori B Terbuka Perempuan 8km dan seterusnya kategori Keluarga serta Rakan sejauh 3km iaitu laluan larian hanya dalam kawasan universiti.

Pengarah program, Adam Aiman Muhammad Razlan berkata, selain penuntut dan pensyarah UUM, larian amal itu juga mendapat penyertaan daripada penuntut Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Mara dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah di Kulim, Kedah.

“Objektif utama program amal ini adalah untuk mengutip dana buat Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) Cawangan Alor Setar.

“Sebanyak RM5 daripada jumlah yuran yang dikenakan kepada setiap peserta akan disumbangkan kepada Nasom,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perasmian program amal tersebut di Kubang Pasu, Kedah baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Dr. Abdul Malek Abdul Karim turut merasmikan majlis tersebut.

Hulur bantuan

Beliau berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar dan masyarakat untuk menghulurkan bantuan bagi golongan memerlukan dalam bentuk yang lebih menarik.

“Selain itu, program seperti ini juga dapat melahirkan pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya bersyukur kerana dapat mengumpul dana hampir RM2,000 untuk disumbangkan kepada Nasom.

Sementara itu, Penyelaras Nasom Cawangan Alor Setar, Siti Maherah Awang berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihaknya amat memerlukan sumbangan daripada orang ramai untuk menampung kos operasi persatuan.

“Program amal yang bertujuan untuk mengutip dana bagi golongan kurang bernasib baik seperti ini sangat bagus kerana ia membantu NGO terutamanya Nasom untuk terus memberikan khidmat kepada penghidap autisme.

“Kos operasi yang terpaksa ditanggung persatuan semakin meningkat dan Nasom juga terpaksa buat program sendiri untuk mencari dana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada penganjur larian amal yang terdiri daripada penuntut UUM kerana prihatin dengan nasib penghidap autisme.

“Pejabat Nasom Cawangan Alor Setar terletak di Taman PKNK dan terdapat seramai 26 penghidap autisme di bawah persatuan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, Tuan Zalizam Tuan Muda, 46, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menyertai larian amal tersebut dengan membawa isteri dan tiga anak termasuk dua penghidap autisme.

“Kami sekeluarga termasuk dua anak saya yang menghidap autisme sejak kecil iaitu Aneil, 16, dan Areif, 10, menyertai larian amal ini bagi kategori Keluarga dan Rakan sejauh 3km.

“Alhamdulillah, selain dapat bersukan dan mengeratkan hubungan antara keluarga serta warga universiti, kami juga boleh menderma kepada mereka yang senasib dengan anak kami,” katanya.

Tempat pertama bagi kategori Terbuka Lelaki dimenangi oleh G. Thinan, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Amanjaya, Sungai Petani sementara bagi Terbuka Perempuan dimenangi oleh Teoh Kim Chyi, 20, dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah yang masing-masing menerima RM300, pingat dan sijil penyertaan.

Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori itu masing-masing menerima RM200 dan RM100, pingat dan sijil penyertaan.

Seramai 100 peserta yang terawal tiba di garisan penamat bagi setiap kategori termasuk kategori Keluarga dan Rakan layak menerima pingat.