Jelas riak wajahnya menunjukkan keterujaan sebaik melihat pintu masuk muzium tersebut yang dihiasi dengan replika donat gergasi disalut krim berwarna merah jambu.

Dengan senyuman yang semakin melebar, dia terus menjengah ke dalam bilik-bilik swafoto yang dihiasi dengan tema berbeza diinspirasikan daripada manisan kegemaran rakyat Malaysia.

Dengan tema bilik yang dipenuhi dengan warna-warni serta hiasan yang cantik dan mempesonakan, sudah pasti tangannya secara automatik mengeluarkan telefon pintar bagi merakamkan kenangan di muzium tersebut.

Belumpun memasuki ruangan kedua, boleh dikatakan sudah berpuluh-puluh gambar dengan aksi berbeza dan menarik telah dirakamkannya di bilik pameran pertama itu.

“Sebagai seorang gadis remaja, saya sememangnya suka bergambar apatah lagi jika kawasan itu mempunyai latar belakang yang cantik dan menarik.

“Lokasi ini sememangnya menjadi pilihan yang sangat tepat kerana setiap bilik pameran yang ada dalam muzium ini telah dihiasi dengan replika makanan berbentuk gergasi seperti kek, donat dan aiskrim,” katanya yang berasal dari Johor.

Kelainan

Berkongsi mengenai bilik pameran yang menjadi pilihannya, Farahanum berkata, bilik pameran ketiga iaitu Fluffy Path adalah yang paling disukainya.

“Dengan hiasan gumpalan kapas yang digantung memenuhi bilik pameran, saya berasakan seperti berada di ruang angkasa sambil dikelilingi gumpalan awan yang lembut dan mengasyikkan.

“Turut menjadi perhatian saya ialah bilik yang diberi nama Rainbow Room. Ruangan bilik itu telah dihiasi dengan patung unicorn gergasi yang montel serta papan jongkang-jongket sambil dikelilingi corak berwarna-warni seakan-akan pelangi,” katanya ceria.

Luah Farahanum, jika disebut tentang muzium sudah tentu ramai yang membayangkan aktiviti berkunjung sambil melihat barang-barang bersejarah namun tidak sama sekali bagi muzium yang baru sahaja dikunjunginya itu.

Terletak di tengah-tengah pusat bandar raya, Muzium Swafoto tersebut pastinya menjanjikan sesuatu yang berbeza dan penuh dengan keriangan buat pengunjungnya.

Muzium Swafoto itu juga merupakan satu-satunya muzium di Malaysia yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan latar atau sudut terbaik bagi berswafoto.

Dibuka bermula 31 Ogos hingga 28 Februari akan datang, Muzium Swafoto yang berkeluasan 650 meter persegi itu mempunyai sembilan bilik pameran yang ditaja khas oleh syarikat-syarikat berbeza seperti Hotlink, Samsung, Pandora dan Senka.

Sebagai menunjukkan tanda penghargaan kepada penaja, bilik-bilik pameran itu turut menampilkan replika dan produk sebenar keluaran penaja.

Dalam pada itu, kakitangan muzium, Norfarhanah Fazira Rahim berkata, muzium tersebut telah diperkenalkan khas buat pencinta swafoto termasuklah juga bagi mereka yang segan untuk bergambar di tengah-tengah ribuan orang.

Menurutnya, dengan adanya lokasi yang menyediakan ruang khusus untuk berswafoto, setiap orang tidak perlu bersusah-payah mencari lokasi yang sesuai bagi merakamkan gambar kenangan.

“Di negara luar, muzium seperti ini adalah satu perkara yang biasa namun tidak di Malaysia. Disebabkan itu kami memutuskan untuk membawa kelainan ini agar orang ramai dapat mencuba sesuatu yang berbeza daripada biasa.

“Boleh dikatakan pengunjung yang datang ke muzium ini adalah untuk berswafoto. Jadi, sesiapa sahaja tidak perlu merasa malu untuk merakamkan gambar sendiri memandangkan kesemuanya datang dengan tujuan yang sama,” ujarnya.

Antara yang paling mencuri perhatian pengunjung ialah kek cawan gergasi berwarna-warni di bilik pameran The Giant Cakes dan kolam yang dipenuhi bebola kuning di bilik Super Happiness.

Selain itu, aktiviti yang lebih mengujakan ialah pengunjung bukan sahaja dapat berswafoto sepuas-puasnya dan bergembira bersama tersayang malah, mereka akan turut dihidangkan dengan makanan ringan secara percuma.

Sambil berjalan-jalan dan bergambar, pengunjung akan dihidangkan dengan snek ringan yang melazatkan seperti minuman tajaan Tealive, aiskrim Baskin Robbins, yogurt buah Llao Llao termasuklah kek cawan dan gula-gula kapas.

Memori

Di samping itu, setiap pengunjung juga akan diiringi kakitangan muzium yang bertugas bagi memberikan penerangan berhubung setiap bilik pameran.

Kakitangan yang mengiringi juga boleh membantu pengunjung yang ingin mengambil gambar secara beramai-ramai.

Tambah Norfarhanah, warna dan konsep yang diketengahkan bagi setiap bilik pameran itu sesuai untuk semua peringkat umur bergembira dan menggamit memori.

Jadi, mereka yang sudah sedikit berusia tidak perlu risau atau tidak yakin untuk berkunjung ke muzium tersebut kerana lokasi itu mampu mengembalikan memori zaman kanak-kanak setiap orang.

Bercakap tentang waktu operasi dan harga tiket, Norfarhanah memberitahu, muzium tersebut dibuka setiap hari termasuk cuti umum bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan harga tiket sebanyak RM45 bagi dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Pengunjung juga boleh mendapatkan potongan harga tiket sebanyak RM5 jika pembelian dilakukan menerusi laman web, www.selfie.com.my.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung dari Australia, Laura Malley, 25, berkata, dia pada mulanya datang ke Malaysia khususnya Kuala Lumpur adalah untuk urusan kerja.

“Ini merupakan kali pertama saya dan seorang lagi rakan datang ke sini. Disebabkan itu, rakan sekerja memberi cadangan agar kami berkunjung terlebih dahulu ke lokasi-lokasi menarik yang ada di sini.

“Kami menemui lokasi tarikan ini melalui carian di internet. Ternyata kunjungan kami ini sangat berbaloi memandangkan keunikan yang terdapat pada muzium tersebut,” katanya yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Walaupun hanya sempat berjalan-jalan selama satu hari di Kuala Lumpur, mereka sudah merasa cukup puas memandangkan tidak perlu ke tempat jauh bagi mendapatkan pengalaman melancong di negara ini.

“Kali ini kami cuma singgah sambil bekerja tetapi pada masa akan datang, kami akan kembali semula ke sini sebagai pelancong supaya dapat mengunjungi lebih banyak lokasi menarik yang ada,” ujarnya.