Aktiviti itu bukan saja memberi kepuasan kepada peminat tetapi dapat mendatangkan hasil yang lumayan.

Antara lokasi memancing yang sinonim dengan kaki pancing adalah tasik, kolam, sungai dan laut.

Biasanya, pemancing akan melakukan aktiviti kegemaran mereka itu secara berseorang atau bersama rakan-rakan.

Namun kini, penggemar aktiviti memancing boleh melakukan hobi mereka itu bersama insan tersayang mahupun ahli keluarga.

Terletak di Pulau Marina, Lumut, Perak, Rockbund Fishing Chalet (Rockbund), menawarkan kemudahan penginapan khusus buat kaki pancing.

Pemilik Rockbund, Timothy Ding Ju Ming berkata, calet itu mula dibuka kepada umum pada akhir tahun 2015.

Jelasnya, Rockbund dibina khusus buat para penggemar aktiviti memancing yang ingin bersantai bersama keluarga mahupun insan tersayang.

“Calet kami terletak betul-betul di hadapan laut. Jadi, ia amat sesuai buat mereka yang sukakan aktiviti memancing.

“Kami turut menyediakan 10 pelantar bagi memudahkan pengunjung memancing. Satu pelantar boleh memuatkan seramai lapan orang,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Ju Ming, Rockbund dilengkapi 21 buah calet berkonsepkan kabin yang dicat dengan warna-warna terang seperti merah, biru dan kuning.

Dia memberitahu, pihaknya membahagikan kabin tersebut kepada dua jenis penginapan iaitu Superior dan Standard.

“Kedua-dua bilik ini sama dari segi saiz dan kemudahan. Bezanya, Superior dilengkapi televisyen dan ruang depan yang besar.

“Ruang depan ini sesuai buat pengunjung yang ingin bersantai atau melakukan aktiviti barbeku pada waktu malam,” jelasnya.

Tukun tiruan

Memandangkan Rockbund terletak di bahagian teluk, maka kebanyakan ikan di situ adalah bernilai tinggi seperti kerapu, siakap, jenahak dan pari.

Kebanyakan hasil tangkapan yang diperoleh pengunjung adalah bersaiz kecil dan sederhana.

Ju Ming memaklumkan, pihaknya turut membina tukun tiruan di dasar laut berhampiran calet tersebut untuk menarik kedatangan ikan.

Menariknya, calet itu dilengkapi kafeteria, D’ Times Cafe yang dibuka pada pukul 4 petang hingga 1 pagi.

Kafeteria itu menawarkan pelbagai hidangan sama ada tempatan atau Barat.

Ia juga menerima permintaan pengunjung yang ingin memasak hasil tangkapan mereka.