Suasana riuh-rendah itu bukan bertujuan untuk berlumba tetapi menjayakan program Ranggi Mega Ride Temerloh 3.0 yang dianjurkan Kelab Permotoran Ranggi Lifestyle.

Lebih 2,000 buah motosikal pelbagai jenama dan kapasiti enjin menyertai konvoi sejauh kira-kira 130 kilometer dari ibu negara ke Temerloh, Pahang itu.

Salah seorang peserta, Mohd. Khaizam Kamisan, 39, berkata, pemandangan di stesen minyak itu sangat luar biasa dan di luar jangkaan.

“Sebelum ini, kalau kita dapat mengumpul sebanyak 100 buah motosikal untuk menjayakan sesuatu konvoi, ia sudah dianggap ramai.

“Namun, berbeza pada kali ini apabila kami berjaya mengumpul lebih 2,000 buah motosikal.

“Mereka tidak dibayar atau diberikan elaun sebaliknya mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mengikuti konvoi ini.

“Ini membuktikan bahawa penunggang motosikal juga boleh bersatu jika kena pada tujuan dan cara penganjurannya,” kata Setiausaha Kelab Motosikal Kamikaze itu.

Kesinambungan

Mohd. Khaizam memberitahu, konvoi itu cukup bermakna kerana ia disertai penunggang daripada pelbagai lapisan usia, latar belakang dan tempat tinggal.

Malah, ada peserta yang membawa ahli keluarga mereka terutamanya isteri dan anak-anak, sekali gus memberikan satu pemandangan yang cukup istimewa.

“Apa yang lebih penting ialah kami dapat bertemu kawan-kawan lama. Ada antara kami tidak bertemu sejak beberapa tahun lalu.

“Persahabatan dan silaturahim dalam kalangan peminat jentera dua roda akan berkekalan sampai bila-bila,” katanya.

Presiden Ranggi, Omar Abdul Hamid pula berkata, konvoi itu merupakan kesinambungan daripada Mega Ride Temerloh 1.0 dan 2.0 masing-masing pada tahun 2016 serta 2017.

“Pada awalnya, kami mahu membuat konvoi yang ‘biasa-biasa’ untuk ahli kelab sahaja.

“Namun, selepas diajukan soalan dan mendapat reaksi balas daripada rakan-rakan dalam 14 Brotherhood 32 Deligasi (14B32D) dan KamiMatMotorKL90/05, kami bersetuju untuk menganjurkan konvoi mega ini.

“Kami mengambil masa selama dua bulan untuk membuat persiapan seperti menyediakan kupon makan dan kain rentang bagi kemudahan peserta.

“Banyak lagi kerja terpaksa kami lakukan seperti berbincang bersama penduduk kampung untuk menyediakan tapak perhimpunan dan makanan peserta.

“Kami juga mendapatkan permit daripada polis trafik bagi memastikan konvoi ini berjalan lancar.

“Bagi saya, segala pengorbanan dan jerih perih ahli jawatankuasa terutamanya ahli-ahli kelab berbaloi kerana konvoi ini berjaya mencapai matlamatnya.

“Sasaran awal kami hanya 1,500 buah motosikal tetapi kehadiran di luar jangkaan apabila lebih 2,000 buah motosikal menyertai konvoi ini,” katanya.

Omar menambah, dia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Temerloh Bikers Club, Team Asama Motor dan rakan-rakan 14B32D yang bertungkus-lumus menjayakan konvoi ini.

Jana ekonomi

Sementara itu, Bendahari Ranggi, Haryanti Arfan berkata, selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta, konvoi itu juga menjana ekonomi peniaga-peniaga tempatan.

“Saya yakin, peniaga-peniaga meraih keuntungan pada hari tersebut. Setiap stesen minyak dan hentian rehat di sepanjang Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dipenuhi peserta.

“Begitu juga di sekitar Temerloh. Stesen minyak, kedai-kedai makan dan kedai runcit menerima kunjungan pelanggan yang luar biasa.

“Selama ini, penunggang-penunggang motosikal digambarkan sebagai individu yang tidak baik dan negatif.

“Namun menerusi program ini, kami berjaya membuktikan sebaliknya.

“Jadi, ini adalah satu program yang baik untuk diteruskan pada masa hadapan,” katanya.