Pendakian itu merupakan anjuran ABPM Wilayah Timur dengan kerjasama Summit Attack Resources (SAR) selaku penyelaras program.

Ia adalah kumpulan yang teramai mendaki dan menuruni Gunung Rajah dengan menggunakan kedua-dua laluan utama bermula dari Air Terjun Chamang, Pahang dan keluar melalui Kampung Peretak, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Komandan ABPM Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Md. Ali Ismail berkata, aktiviti itu merupakan sebahagian daripada latihan yang harus ditempuhi setiap pelatih yang sedang mengikuti Kursus Diploma Sains Kebombaan di akademi tersebut.

“Pendakian ini juga adalah sebagai satu simbolik sempena sambutan Hari Kebangsaan yang disambut baru-baru ini.

“Latihan pendakian ini bertujuan untuk menaikkan tahap kecergasan fizikal, stamina dan daya tahan mental pelatih di samping memberi pendedahan mengenai operasi mencari dan menyelamat di hutan atau gunung.

“Pelatih turut diuji dengan memikul bebanan yang berat sehingga 30 kilogram seperti peralatan menyelamat, pertolongan cemas dan makanan asas sepanjang pendakian.

“Ini bagi memastikan setiap pelatih sentiasa siap siaga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini sewaktu pendakian.

“Mereka dilatih untuk bergerak dalam kumpulan. Jika berlaku insiden yang tidak diingini, ahli dalam kumpulan itu bertanggungjawab untuk membantu serta menguruskan insiden tersebut secara pantas dan sebaik mungkin tanpa mengharapkan bantuan dari luar.

“Ini kerana ia mungkin akan tiba lewat atau mempunyai halangan-halangan lain seperti komunikasi mahupun akses untuk menyelamat,” tambah beliau.

Pendakian itu diketuai oleh Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa yang juga merupakan Pengarah SAR selaku jurupandu arah dan ketua jurulatih.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas membawa pendaki dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa di seluruh dunia amat bersyukur kerana pendakian tersebut berakhir tanpa sebarang masalah.

Bersemangat

“Untuk membawa kumpulan besar seramai 80 orang yang berlainan latar belakang, karektor dan tahap kecergasan dalam satu ekspedisi bukanlah suatu perkara mudah.

“Namun, segala perancangan berjalan dengan baik bermula daripada taklimat awal sebelum bermula pendakian, latihan kecergasan, persiapan dari segi peralatan sehinggalah ke hari pendakian.

“Kesemua pendaki berada dalam kondisi yang baik dan sentiasa bersemangat walaupun ada yang menghadapi masalah kesihatan serta kecederaan kecil. Namun, itu hanyalah perkara biasa dan merupakan asam garam dunia pendakian.

“Kerjasama sesama jurulatih dan pendaki awam yang dijemput untuk menjayakan pendakian ini juga merupakan tunjang utama di atas kejayaan program.

“Ini adalah rutin yang perlu dihadapi oleh setiap pelatih ataupun rekrut yang mengikuti kursus ini.

“Pendakian kami merupakan rentas Gunung Rajah kerana bermula di Bentong dan tamat di Kuala Kubu Bharu.

“Keseluruhan jarak perjalanan hampir 30km untuk naik dan turun melalui laluan rentas ke puncak setinggi 1,685 meter dari aras laut,” ujarnya.

Salah seorang peserta, Nur Habibah Umar berkata, pendakian pertama dalam satu kumpulan yang besar ini sukar untuk dilupakan.

“Saya selalu berpegang pada prinsip terus melangkah walau sebesar mana sekalipun cabaran yang datang. Dunia aktiviti luar ini tidak hanya memerlukan ketahanan fizikal tetapi mental juga penting,” katanya.

Mohamad Syahrul Hafizi Norisham pula berkata, dia amat teruja kerana dapat mengikuti aktiviti dalam modul kursus itu kerana sememangnya cintakan sukan pendakian.

“Ia bukan sekadar menghayati keindahan alam, tetapi menguji prestasi diri untuk mengharungi ujian di luar zon selesa,” katanya.