Masih terpelihara daripada aktiviti komersial, pulau itu menggamit ramai pelancong dari Malaysia serta kalangan pengunjung yang mahu mencari ketenangan dan menikmati makanan laut yang lazat.

Terletak di wilayah Satun, berhampiran sempadan Thailand-Malaysia, Koh Yao tidak disenaraikan sebagai destinasi pelancongan oleh pihak berkuasa Thailand. Pulau yang seluas 100 hektar itu hanya mempunyai 768 penduduk, kebanyakannya beragama Islam.

Koh Yao lebih dikenali sebagai Pulau Panjang (Koh Yao adalah Bahasa Thai yang bermaksud pulau panjang) dalam kalangan penduduk Perlis.

Memandangkan pulau itu berjiran dengan Perlis, ramai penduduk Koh Yao mempunyai saudara-mara yang tinggal di negeri yang terletak di utara Malaysia, jadi tidak hairanlah jika wujud hubungan baik antara masyarakat kedua-dua pihak selain faktor sejarah.

Ramai penduduk Koh Yao fasih berbahasa Melayu, jadi lebih mudah bagi rakyat Malaysia untuk berinteraksi apabila mengunjungi pulau itu.

Pada bulan Mac baru-baru ini, sekumpulan wartawan yang menjadi anggota Kelab Media Perlis (KEMPs) diundang oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menyertai program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) di Koh Yao.

Antara aktiviti USR adalah menyampaikan sumbangan kepada empat orang asnaf pulau itu dan gotong-royong mengecat pagar sekolah Ban Koh Yao.

Mereka juga menyumbangkan peralatan sukan kepada sekolah berkenaan selain mengadakan kelas bimbingan pendidikan untuk para pelajar di sini.

Rombongan universiti dan wartawan itu juga menganjurkan beberapa aktiviti menyeronokkan dengan penduduk tempatan antaranya merentas hutan, melawat telaga berusia 300 tahun, menanam pokok mangga spesies harum manis, menghadiri kenduri rakyat dan tentu memancing.

Hubungan akrab antara UniMAP yang terletak di Arau, Perlis, dengan penduduk Koh Yao bermula sejak universiti berkenaan mengadakan program USR di Pulau Panjang kira-kira lima tahun lepas.

Lokasi strategik

Pengarah Unit Komunikasi Korporat UniMAP, Mustaffa Ismail berkata, universiti itu memilih Koh Yao untuk menjalankan program tanggungjawab sosialnya kerana lokasinya yang strategik berhampiran Malaysia.

“Setiap tahun, program USR UniMAP adalah menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada golongan memerlukan di pulau itu.

“Ia juga membantu menganjurkan kenduri rakyat, sukaneka, pertandingan futsal, merentas hutan, memancing dan ekspedisi memancing,” katanya.

Perjalanan ke Koh Yao, bermula di Jeti Tammalang, Satun. Tammalang adalah pintu masuk utama ke pulau itu. Perkhidmatan bot disediakan oleh nelayan di jeti dan mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 minit untuk sampai ke pulau.

Pelancong juga boleh menaiki bot atau feri dari Kuala Perlis atau Langkawi ke Tammalang dan perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit, sebelum menuju ke Koh Yao dengan bot lain.

Ketua Kampung Koh Yao, Che At Khun Pitak, 62, yang lebih dikenali sebagai Pak Salim berkata, majoriti penduduk Pulau Panjang mengamalkan budaya kerja secara bergotong-royong.

“Jika ada pengunjung datang dan bermalam di sini, kami pasti akan meraikan mereka dengan mengadakan kenduri rakyat agar mereka dapat menikmati makanan terkenal masyarakat Thai,” jelasnya.

Tenang

Kebanyakan penduduk pulau itu terdiri daripada nelayan manakala sebilangan kecil mengusahakan tanah pertanian atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Kehidupan mereka mungkin sederhana namun masyarakat setempat sangat kaya dengan keramahan dan kemesraan.

“Kami menjalani kehidupan yang tenang di sini. Ramai rakyat Malaysia mengunjungi pulau ini pada hujung minggu dan musim cuti kerana mereka menyukai persekitaran damai di sini,” kata Pak Salim

Menurut Pak Salim, antara tarikan utama Koh Yao adalah perigi berusia 300 tahun yang menjadi sumber bekalan air untuk penduduk tempatan selama bertahun-tahun.

Beberapa tahun yang lepas, kerajaan Thai membina sistem bekalan air di pulau itu untuk menyediakan air bersih kepada rakyat.

“Jeti baharu juga dibina (di pulau) untuk kemudahan kami,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan juga membina sebuah sekolah rendah dan membuka klinik yang menyediakan perkhidmatan perubatan percuma kepada penduduk pulau itu.

Koh Yao juga mempunyai masjid yang dibina dengan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pernah berkenan menunaikan solat di masjid berkenaan yang terletak di bahagian tertinggi Pulau Panjang. –BERNAMA