Lokasi untuk berbulan madu biasanya sangat sukar untuk dipilih.

Kali ini, penulis mengajak anda untuk memadu asmara di Pulau Kandolhu, Maldives.

Pulau yang terletak 70 kilometer dari bandar Male itu sangat sesuai untuk individu yang mendambakan percutian penuh privasi dan intimasi kerana hanya terdapat 30 buah vila di atas pulau tersebut.

Jika dilihat dari pandangan atas, pulau itu kelihatan seolah-olah berbentuk hati yang dikelilingi oleh terumbu karang dan air laut berwarna biru firus.

Percaya atau tidak, anda boleh berenang serta bersnorkel mengelilingi pulau itu dan hanya mengambil masa kurang daripada satu jam untuk menamatkan satu pusingan.

Terdapat lima jenis vila yang disediakan merangkumi Jacuzzi Beach Villas, Pool Villas, Duplex Pool Villas, Ocean Villas dan Ocean Pool Villas.

Penulis amat bertuah kerana diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menginap di dua jenis vila yang berbeza.

Disebabkan penulis sudah menginap di Pulau Kuramathi terlebih dahulu, jadi perjalanan ke Pulau Kandolhu itu hanya mengambil masa selama lebih kurang 30 minit dengan menaiki bot laju.

Suasana di pulau itu agak sunyi kerana tidak ramai penghuni. Malah, saiz pulau juga sangat comel dan anda boleh berjalan mengelilingi pulau tersebut dalam masa 5 hingga 10 minit sahaja.

Matahari terbenam

Pada hari pertama, penulis diberi peluang untuk menginap di Ocean Villa iaitu vila atas air yang menghadap hamparan lautan yang luas terbentang.

Lebih mengasyikkan ialah vila itu betul-betul menghadap ke arah matahari terbenam.

Salah satu kelebihan yang ada di Pulau Kandolhu yang tidak terdapat di pulau-pulau lain di Maldives ialah setiap vila disediakan kamera Go-Pro untuk digunakan penginap sepanjang berada di pulau berkenaan.

Jadi, anda tidak perlu khuatir jika terlupa membawa kamera sendiri kerana setiap detik anda pasti akan dirakam dengan adanya kemudahan yang disediakan itu.

Selain itu, setiap bilik turut menyediakan iPad, peralatan untuk aktiviti pantai serta internet berkelajuan tinggi.

Dengan adanya iPad yang memuatkan segala maklumat mengenai pulau itu, amat mudah untuk anda melakukan segala aktiviti termasuklah melihat menu makanan di setiap restoran.

Untungnya, anda boleh membawa iPad itu ke mana-mana sahaja sewaktu berada di pulau tersebut.

Anda juga boleh terus turun dari beranda untuk menikmati pengalaman bersnorkel yang menakjubkan.

Jika bernasib baik, anda akan melihat penyu yang singgah di hadapan vila sepertimana yang penulis alami.

Penulis menggunakan peluang menatap matahari terbenam dari ruangan bilik sendiri dan berasa puas menikmati keindahan langit senja yang perlahan-lahan bertukar warna sehingga matahari tenggelam sepenuhnya di dasar lautan luas terbentang.

Malam menjelma, perut juga sudah mula berkeroncong. Masa untuk menikmati makan malam adalah antara detik yang paling dinanti-nantikan.

Terdapat lima buah restoran di atas pulau kecil itu antaranya The Market, Olive, Sea Grill, Banzai dan Ata Ora.

Menariknya terdapat juga menu masakan Melayu seperti sate ikan, nasi goreng dan kari ayam.

Pada hari kedua, penulis diberi peluang untuk menginap di vila kedua iaitu di Jacuzzi Beach Villa.

Kunjungan penulis cukup bertuah kerana diberi peluang untuk bersnorkel. Lebih menyeronokkan apabila mereka tahu lokasi yang menarik untuk kami melihat hidupan marin unik dan cantik.

Penulis turut dibawa menyelusuri ke tempat istimewa penyu bermain. Penyu sangat jinak dan seakan-akan menerima kunjungan kami.

Sukan air

Terlampau asyik menikmati keindahan hidupan dalam air, penulis tidak terasa sudah hampir satu pulau dikelilingi.

Pelbagai jenis sukan air tidak bermotor ditawarkan di Pulau Kandolhu antaranya luncur angin, perahu dayung berdiri, pelayaran katamaran, bot belayar dan kayak.

Selepas puas bermain air, penulis diberi keistimewaan untuk memanjakan diri di Spa Veru yang terletak di tengah-tengah pulau.

Pada waktu malam, jika bosan terperap di dalam vila, anda boleh melepak di tepi pantai atau di restoran sambil berhibur dengan alunan muzik yang romantik.

Sebelum berangkat pulang, penulis diberikan pemacu pena atau pendrive sebagai tanda penghargaan. Di dalamnya mereka memuatkan segala foto dan video yang dirakam menggunakan kamera Go-Pro yang disediakan.

Penulis memilih untuk pulang menggunakan pengangkutan udara iaitu seaplane untuk ke lapangan terbang kerana mahu menjimatkan masa.