Tujuan gadis yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu adalah untuk bermain permainan besbol di It’s A Hit Batting Cages yang terletak di tingkat atas berbumbung pusat beli-belah berkenaan.

“Saya tahu tempat ini pun melalui rakan-rakan, jadi saya telah rancang untuk datang ke sini bersama-sama ahli keluarga.

“Ternyata ia suatu permainan yang menyeronokkan kerana anda hanya perlu berada di dalam sebuah gelanggang seperti dalam sangkar sambil memegang sebatang kayu besbol, kemudian bersedia untuk memukul bola dari mesin balingan bola,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pusat beli-belah berkenaan baru-baru ini.

“Ini kali pertama saya mencuba permainan besbol ini, kalau di sekolah dulu saya hanya pernah bermain sofbol (bola lisut) atau lebih popular dengan nama raunders.

“Jadi saya tidak ada masalah untuk membuat beberapa pukulan kerana ia seperti mengimbau kembali nostalgia zaman kanak-kanak ketika bermain bola lisut dahulu,” ujarnya yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Sukan besbol merupakan sukan berpasukan yang tidak asing lagi khususnya di Amerika Syarikat, Jepun dan Cuba. Malah, Major League Baseball (MLB) menjadi liga profesional di Amerika Utara yang popular di dunia.

Sukan tersebut merupakan pukulan bola daripada kayu pemukul yang dimainkan oleh dua pasukan, berlari dengan mengelilingi keempat-empat tapak yang terletak di sudut-sudut segi empat padang dan markah tertinggi akan muncul sebagai pemenang.

Di Malaysia, sukan besbol tidak popular seperti bola sepak dan badminton, namun mempunyai peminatnya tersendiri.

Menurut Pengurus It’s A Hit Batting Cages, Yanto Hayon, sejak dibuka 2006, walaupun menjadi satu-satunya besbol dalam gelanggang yang masih popular, pihaknya tetap mengubah suai tempat tersebut seperti penambahan kaunter snek dan jus, penambahbaikan kedai cenderamata, permainan serta aktiviti karnival.

Taman tema

Katanya, gelanggang besbol itu juga merupakan yang pertama dibuka di Asia Tenggara dan kini ia berkembang menjadi taman tema besbol sepenuhnya.

“Orang ramai boleh merasai kepuasan bermain besbol di dalam gelanggang sangkar yang disediakan sama ada untuk tujuan riadah atau latihan.

“Permainan di dalam sangkar ini nampak mudah, namun ia agak sukar dan sama seperti bermain besbol di gelanggang sebenar yang memerlukan kecergasan fizikal ketika membuat pukulan. Di sini kami menawarkan dua jenis permainan iaitu besbol dan sofbol.

“Perbezaan antara besbol dan sofbol ialah dari segi kelajuan bola, cara pukulan dan balingan bola serta jarak. Oleh itu, pemain-pemain perlu berada dalam keadaan cergas untuk membuat pukulan terbaik,” ujarnya.

Jelas Yanto lagi, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan rata-rata pengunjung datang dari seluruh negeri termasuk luar negara.

“Jika ingin beriadah bersama-sama keluarga dan sahabat, boleh berkunjung ke sini,” katanya.

Token

Tambah Yanto, besbol antara lima sukan baharu yang akan dipertandingkan dalam Olimpik Tokyo 2020 selain papan luncur, luncur air, memanjat dan karate.

Katanya, keputusan tersebut diluluskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi menarik lebih ramai penonton golongan muda.

“Besbol adalah sukan nombor satu di Jepun dan ia sudah melahirkan pemain bintang seperti Ichiro Suzuki dan Hideki Matsui, siapa tahu mungkin suatu hari nanti di negara ini bakal melahirkan pemain seperti mereka,” tuturnya.

Berbicara soal harga, Yanto memberitahu, bagi dewasa untuk satu token, seseorang pemain hanya perlu membayar RM6. Bagi kanak-kanak pula, satu token berharga RM5.

“Mereka berpeluang memukul bola sebanyak 15 kali setiap satu token yang dimasukkan dalam sebuah mesin. Malah, seseorang pemain juga boleh memilih kelajuan bola yang ingin dipukul.

“Terdapat empat kategori kelajuan bagi besbol dan bola lisut. Bagi besbol, kelajuannya antara 40 hingga 70 meter sesaat, manakala bola lisut pula kelajuannya di antara 30 hingga 60 meter sesaat,” ujarnya.

Uji kecekapan

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Muhammad Absyar Murtadza, 25, berkata, membuat beberapa pukulan di gelanggang tersebut membantunya menghilangkan stres selepas penat bekerja.

“Kadang-kadang saya boleh menghabiskan sehingga 10 token dalam sehari hanya untuk membuat pukulan besbol atau bola lisut. Saya lebih gemar bermain bola lisut yang saiz bolanya lebih besar berbanding besbol.

“Malah, ia lebih senang dilihat dan dipukul. Permainan ini menguji kecekapan tangan dan ketajaman mata terutamanya ketika membuat pukulan,” katanya yang merupakan ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Tambah pemuda yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, aktiviti tersebut juga boleh dilakukan seorang diri tanpa perlu ditemani rakan-rakan yang lain.

“Hal ini kerana ia direka bagi permainan perseorangan, jadi mudah bagi saya untuk mencari masa bermain. Ia juga bukanlah sesuatu yang janggal jika anda hadir seorang diri ke sini.

“Tempat ini juga sesuai untuk bersosial atau merapatkan ikatan kekeluargaan kerana terdapat beberapa aktiviti sampingan lain. Antaranya, permainan sasaran, uji kelajuan balingan dan melempar bola secara lembut yang sesuai bagi kanak-kanak,” ujarnya.

Sejak dibuka pada tahun 2006, It’s A Hit Batting Cages menjadi lokasi tumpuan bagi peminat besbol dan sofbol bermain sukan yang popular dari Amerika Syarikat itu.