Kunjungan Maziah Idris pada hari itu bukanlah untuk membeli barang di kedai-kedai sekitar pekan berkenaan sebaliknya untuk memeriahkan Pesta Chenor 2019.

“Setiap tahun, saya tidak pernah ketinggalan untuk berkunjung ke pesta ini bersama keluarga dan penduduk kampung.

“Biasanya, kami datang ke sini untuk melawat gerai-gerai pameran agensi kerajaan dan berhibur dengan persembahan artis jemputan,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Maziah yang juga seorang suri rumah berkata, dia juga teruja dapat menyertai beberapa pertandingan sukan rakyat yang dianjurkan sempena Pesta Chenor 2019.

Jelasnya, penganjuran sukan berkenaan bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk tempatan malah memeriahkan suasana pesta berkenaan.

“Tahun ini, saya menyertai pertandingan tarik upih, berjalan menggunakan tempurung dan mewarna.

“Meskipun hadiahnya tidak seberapa, namun ia sangat seronok apabila dapat menyertainya bersama keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya yang juga penduduk asal Chenor.

Pesta Chenor dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan dikelolakan oleh JKKN Pahang dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, serta beberapa buah agensi kerajaan dan swasta.

Menurut Pengarah JKKN Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang, Pesta Chenor dianjurkan bagi mengetengahkan pelbagai aktiviti dan produk serta budaya masyarakat setempat yang semakin ditelan zaman.

Ujarnya, ia juga bertujuan untuk membantu masyarakat setempat khususnya orang Pahang membangunkan perniagaan mereka terutamanya berasaskan tradisi dan budaya.

Tumpuan

“Kami sangat berbangga dan bersyukur Pesta Chenor telah memasuki tahun kelapan penganjurannya. Pesta ini sentiasa menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat tempatan.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan jumlah pengunjung adalah seramai 70,000 orang sepanjang empat hari program berlangsung,” katanya.

Menurut Dayang Kartini, pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang Pesta Chenor 2019 berlangsung bagi menggamit kedatangan para pengunjung.

Dia memaklumkan, aktiviti yang menjadi tumpuan utama pengunjung ialah sukan air memandangkan ia diadakan di sekitar sungai Pahang.

“Aktiviti tersebut adalah perlumbaan bot laju serta pertandingan menangkap kijing dan etok-etok dengan mengetengahkan konsep tangkap dan lepas.

“Pertandingan ini sangat menarik kerana menangkap etok-etok dan kijing di sungai Pahang merupakan satu kesalahan disebabkan ia adalah makanan utama ikan patik dan temelian,” katanya.

Turut diketengahkan sepanjang pesta berkenaan adalah sukan rakyat seperti hencang buah keras, tuju selipar, musang berjanggut, tarik tali, tarik upih dan berjalan guna tempurung.

Dayang Kartini berkata, bagi pengisian bazar kampung, pihaknya memilih untuk mengetengahkan produk kraf tangan, kuih-muih dan makanan tradisi tempatan yang semakin sukar diperoleh.

Dia menambah, antara kuih yang terdapat pada Pesta Chenor 2019 ialah kuih pepena, apam Baghdad, kuih ganti tandan, dodol kukus, badak kubang dan kuih telipok.

“Kami juga menjemput beberapa pengusaha makanan tradisi yang menjual sajian seperti gulai asam rong, sambal kueng, laksa gebok dan patin tempoyak.

Aktiviti kesenian

“Tidak dilupakan produk-produk kraf tangan seperti tenun Pahang, tanjak, keris, lesung tangan, produk berasaskan rotan, batik dan ukiran kayu,” ujarnya.

Pada sebelah malam, ia diserikan dengan pelbagai aktiviti kesenian dengan beberapa program kerohanian seperti Chenor Berselawat, ceramah agama dan Malam Kerohanian.

Berapa aktiviti hiburan juga diadakan seperti konsert Anak Pahang, tayangan wayang pacak, pencarian bakat ‘Azura’ serta persembahan kesenian daerah di Pahang.

Salah seorang pengunjung, Kamil Awang, 39, berkata, kunjungannya adalah untuk menyertai pertandingan bot laju.

“Setiap tahun, saya pasti tidak ketinggalan untuk menyertai pertandingan bot laju yang sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada penonton,” ujarnya.

Dia yang berasal dari Temerloh juga tidak melepaskan peluang menikmati keenakan kuih-muih dan membeli barangan kraftangan.