Fazi Nahriq Sarpin boleh dianggap sebagai seorang ‘pemburu makanan’ di tempat makan yang popular dan menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat.

Justeru, tidak hairanlah dia sanggup memandu berpuluh kilometer dari Klang, Selangor ke [email protected] (Kantin SG), Gombak, Selangor semata-mata untuk merasai keenakan makanan di situ.

Di buka secara rasmi pada April lalu, Kantin SG merupakan sebuah tempat makan yang menawarkan pelbagai hidangan menyelerakan.

“Ini kali pertama saya datang ke sini selepas ia dibuka pada awal bulan lalu. Kunjungan saya adalah untuk merasai beberapa menu popular di sini,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Hidangan popular

Menariknya, kawasan seluas 2,314 meter persegi itu dilengkapi 18 buah gerai yang menawarkan pelbagai hidangan popular sama ada tempatan, Barat dan Nusantara.

Antara gerai yang terdapat di situ termasuklah Tiga Budak Gemok, Otak King, Mafiosi Shellaut, House of Nasi Kerabu, Riko Chesse Chicken Wing, John Satay, Air Gantung Special, Momsgril Western dan MR23 Bakso.

Fazi Nahriq yang juga seorang pekerja swasta di Shah Alam, Selangor memberitahu, rata-rata gerai di Kantin SG menawarkan sajian menyelerakan pada harga sangat berpatutan.

“Saya telah mencuba beberapa makanan di sini. Terbukti, rasanya sangat sedap. Saya yakin, Kantin SG akan menjadi tempat pilihan buat penduduk di sekitar Gombak,” katanya.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Kantin SG, Putera Al-Matin Mohd. Zain berkata, idea untuk membuka tempat makan di situ bermula sejak pertengahan tahun lalu.

Jelasnya, pihaknya berhabis sebanyak RM200,000 untuk mengubah suai kawasan tersebut menjadi sebuah tempat makan yang kondusif kepada peniaga dan pengunjung.

“Kami mengambil masa hampir setahun untuk mengubah suai tempat ini. Sebelum ini, ia merupakan medan selera biasa.

“Kami telah mengubah suai kawasan ini menjadi sebuah tempat makan berkonsepkan seisi keluarga dan sesuai untuk semua golongan termasuk kanak-kanak,” ujarnya.

Menurut Putera Al-Matin, pihaknya memilih Kantin SG disebabkan perkataan tersebut sinonim dengan tempat makan yang menawarkan harga makanan berpatutan.

Katanya, seiring dengan nama tersebut, konsep jualannya juga seperti kantin iaitu pembeli perlu membeli makanan di gerai sebelum menjamahnya di ruang makan disediakan.

“Kami sengaja memilih nama kantin untuk mengembalikan nostalgia sewaktu zaman persekolahan. Nama ini juga simbolik kepada tempat makan layan diri,” jelasnya.

Putera Al-Matin memaklumkan, kebanyakan gerai makanan di Kantin SG terdiri daripada para peniaga yang telah terbukti makanannya sedap pada harga yang berpatutan.

“Ada beberapa jenama di sini seperti Tiga Budak Gemok dan Otak King yang telah mempunyai beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang.

“Gerai-gerai ini sangat popular dan mempunyai penggemar tersendiri. Jadi, kami yakin ia mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung,” tambahnya.

Tempat makan yang dibuka setiap hari itu mampu memuatkan seramai 400 orang pada satu-satu masa.

Taman permainan

Para pengunjung boleh memilih untuk menikmati di ruang tertutup atau terbuka.

Kantin SG menawarkan pelbagai tarikan lain di sekitarnya seperti Gudang Lima dan Bazar Karat Special yang menawarkan pelbagai barangan klasik.

“Kami juga menyediakan taman permainan serta kemudahan menyewa motosikal serta kereta mainan untuk kanak-kanak.

“Pengunjung juga akan dihiburkan dengan alunan muzik dan nyanyian oleh kumpulan busker,” katanya yang menganggarkan jumlah pengunjung adalah sekitar 500 orang sehari.

Kemudahan lain yang di tawarkan di Kantin SG adalah surau, bilik menyusu, ruang merokok, tempat letak kenderaan, dan tandas.

Salah seorang pengunjung, Adam Mukhris Yusop, 24, berkata, Kantin SG menawarkan ruang makan yang cukup selesa buat mereka yang ingin bersantai bersama rakan-rakan dan keluarga.

Anak kelahiran Langkawi, Kedah itu memberitahu, tempat makanan berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan yang sangat diperlukan oleh para pelanggan.

“Saya suka dengan suasana tempat makan di sini yang santai dan sesuai untuk bersantai bersama rakan-rakan. Paling menarik, ia menyediakan tempat khusus untuk perokok,” katanya.

Adam Mukhris yang juga seorang pengkaji hartanah memaklumkan, kedudukan Kantin SG yang berdekatan Gudang Lima dan Bazar Karat Special memberi satu kelebihan pada tempat berkenaan.