Sekilas pandang, khemah yang disediakan itu tampak biasa sahaja seperti aktiviti-aktiviti berkhemah yang lain namun tanggapan itu terus hilang sebaik masuk ke dalamnya.

Selain saiznya yang jauh lebih besar kelengkapan di dalamnya turut berbeza. Lazimnya dalam sebuah khemah itu hanya dilengkapi dengan alas tidur dan bantal namun di LWOT, ia dilengkapi sebuah katil queen dan dua katil bujang, peti sejuk, kipas, pendingin hawa serta set mandian.

Tandas dan bilik mandi pula disediakan di kawasan luar khemah yang perlu dikongsi dengan pengunjung lain.

Ujar Ruzaidi yang berasal dari Kelantan itu, dia tidak pernah merancang untuk ke sana tetapi memutuskan untuk mencubanya selepas mendengar pengalaman salah seorang rakan.

“Ini adalah pengalaman kali pertama saya mencuba aktiviti glamping. Pada mulanya saya menyangkakan aktiviti ini sama sahaja seperti perkhemahan lain tetapi ia ternyata jauh berbeza.

“Meskipun berada dalam kawasan taman tema, lokasinya yang terletak agak jauh dari kawasan tumpuan pengunjung serta dikelilingi tasik dan batu kapur membuatkan suasana yang disajikan sungguh mendamaikan terutamanya pada waktu malam,” ujar kakitangan swasta tersebut.

Pilihan

Glamping kini menjadi trend percutian pilihan dalam kalangan pencinta alam semula jadi dengan pengalaman menginap atau bermalam dalam khemah tanpa mengetepikan keselesaan.

Dengan kombinasi gaya percutian glamor dan perkhemahan, glamping menjadi salah satu aktiviti untuk orang ramai khususnya warga kota yang ingin mencari ketenangan.

Pengurus Besar Kanan Taman Tema Sunway, Calvin Ho berkata, glamping merupakan salah satu kaedah percutian gaya mewah tetapi santai yang diperkenalkan di LWOT sejak tahun 2016.

Ujarnya, lebih menarik jika aktiviti itu dilakukan bersama keluarga atau rakan-rakan yang semestinya memberikan pengalaman unik serta kenangan manis.

“Pengenalan aktiviti glamping itu merupakan antara inisiatif LWOT bagi membawa pengalaman yang jarang sekali dapat dinikmati kepada tetamu sambil menikmati keseronokan di taman tema.

“Selepas seharian bermain air di taman tema, mencuba aktiviti lasak atau berkayak, tetamu boleh berehat di dalam khemah yang luas dan selesa,” katanya kepada Horizon baru-baru ini.

Bosan pada waktu malam? Ia tidak menjadi masalah kepada tetamu glamping kerana mereka boleh menikmati keseronokan lain yang disediakan pada waktu malam seperti berendam di dalam kolam air panas, melawat haiwan kecil di Zoo Binatang Peliharaan atau menikmati keindahan alam semula jadi yang berwarna-warni di Luminous Forest.

Bagi yang ingin menyemarakkan lagi suasana berkhemah, mereka boleh mencuba set hidangan barbeku yang menyelerakan dan serba lengkap. Pengunjung hanya perlu membakar sendiri kerana kelengkapan itu akan disediakan oleh para petugas.

Tambah Calvin, konsep glamping itu berupaya menzahirkan impian pencinta alam semula jadi yang inginkan percutian selesa ala perkhemahan.

“Suasana itu lebih meriah di LWOT kerana lokasinya dikelilingi hutan tropika yang rimbun, tasik yang terbentang luas serta batu kapur yang berusia lebih 400 juta tahun.

Santai

“Mereka yang sukakan aktiviti lasak, ini antara pilihan lebih baik. Buat yang baharu berjinak-jinak dengan aktiviti luar tentunya berasa lebih santai dan selesa dengan konsep penginapan lengkap berserta sajian makan serta minum,” katanya.

Calvin menambah, kemudahan itu ditawarkan pada harga RM588 untuk dua orang dewasa manakala bagi empat orang yang terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak pula ditawarkan pada harga RM788.

“Kemudahan itu juga mampu menampung tetamu tambahan dengan harga RM110 bagi kanak-kanak dan RM140 bagi dewasa,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Azhar Ahmad, 28, berkata, aktiviti berkhemah kini bukan sahaja boleh dinikmati oleh mereka yang meminati aktiviti lasak malah sesuai buat seisi keluarga.

“Bagi kanak-kanak kecil, suasana perkhemahan biasa mungkin membosankan bagi mereka namun dengan gaya perkhemahan glamping, ia tidak lagi menjadi masalah kepada mereka.

“Suasananya seperti berada di rumah. Aktiviti ini tambah menarik jika dilakukan beramai-ramai,” kata anak kelahiran Perlis itu.