Sebaliknya, ia adalah destinasi kepada mereka yang ingin mendekatkan diri dengan alam. Pernahkah anda terfikir bahawa di Thailand anda berpeluang menjamu mata dengan keindahan bunga-bungaan, kediaman Hobbit dan jalan-jalan bertema seolah-olah anda berada di Itali? 
Jika anda berpeluang meneroka Khao Yai yang terletak di sebelah utara ke daerah Nakhon Ratchasima, ia memberi satu perspektif baharu tentang Thailand.

Mengambil masa sekitar tiga jam perjalanan dari kota Bangkok, pengalaman mengembara ke daerah ini seolah-olah membawa pelancong berada di Eropah. Hamparan kawasan pergunungan dengan suhunya yang rendah anda mungkin terlupa bahawa anda sebenarnya berada di negara beriklim tropika.

Kepada mereka yang mencintai keindahan kehijauan hutan Khatulistiwa, Taman Negara Khao Yai yang meliputi empat wilayah adalah destinasinya. Diwartakan sebagai Taman Negara Thailand sejak tahun 1962, lokasi ini cukup popular dalam kalangan pelancong tempatan dan asing.

Lebih istimewa, salah satu air terjun yang terdapat di Taman Negara ini, Haew Suwat menjadi lokasi penggambaran filem The Beach yang dilakonkan oleh pelakon terkenal, Leonardo DiCaprio.
Salah satu latar yang terdapat dalam filem itu ialah kawasan pemuliharaan tertua di Thailand. DiCaprio yang berperanan sebagai Richard, melompat dari atas sebuah air terjun yang memukau.

Ladang

Sebahagian besar lokasi penggambarannya ialah di Phi Phi Island. Chokchai Farm seluas 3,237 hektar antara tarikan yang terdapat di Khao Yai. Ladang ternakan ini menempatkan pelbagai spesies haiwan seperti lembu, biri-biri, rusa, arnab, kuda, burung unta dan banyak lagi.

Terletak di Jalan Pak Chong, Nakhon Ratchasima, harga tiket masuk ialah 300 baht (RM37.20). Chokchai Farm juga mengeksport lembu ke banyak negara dan mereka menerima tiga anugerah Emas daripada Anugerah Pelancongan Thailand.

Mengikut ceritanya, ladang ini wujud pada tahun 1957 bermula sebagai sebuah kebun sayur-sayuran oleh seorang pemuda, Khun Chokchai Bulakul. Dia bercita-cita mahu menjadi seorang koboi.

Lapan tahun kemudian, Chockchai Bulakul cuba melibatkan diri dalam penternakan lembu daging sehingga berjaya menternak sebanyak 10,000 ekor lembu.

Kini, Chokchai Farm merupakan ladang ternakan lembu tenusu yang terkenal di Thailand dan terbesar Asia Tenggara. Selain lembu tenusu, ladang tersebut turut memberi fokus kepada penternakan lembu daging, agropelancongan dan perniagaan restoran stik.

Bagi memastikan kawasan tersebut terpelihara daripada sebarang bahan tercemar, pengunjung diwajibkan mencuci tangan dan pakaian dengan semburan khas.

Di Chokchai Farm, anda boleh menimba pengalaman memberi makan haiwan, melihat kakitangan melatih haiwan dan melakukan proses pembiakan baka lembu. Paling istimewa, pelancong boleh belajar cara-cara memerah susu lembu dengan tangan.

Selepas sesi taklimat dan demonstrasi, kami dibawa ke pertunjukan koboi atau rodeo.

Keindahan bunga-bungaan di The Bloom yang terletak di Pak Chong seolah-olah anda dibius dengan terapi semula jadi. Dengan bayaran tiket berharga 120 baht (RM14.90) pelancong ‘hanyut’ seketika dalam limpahan warna-warni dan aroma lebih 30 jenis spesies bunga di sini.

Antara spesies bunga yang terdapat di The Bloom seluas 100 hektar ini ialah mawar, lavender, bunga matahari, kosmos dan sebagainya.

Cuacanya yang dingin dan nyaman dengan latar belakang kawasan pergunungan memberi nilai tambah kepada lokasi ini.

Selain penternakan kambing biri-biri, ladang bunga mataharinya sudah cukup membuatkan hati pengunjung berbunga-bunga untuk merakamkan foto kenangan dengan bayaran 20 baht (RM2.50).

Eropah

Diilhamkan daripada Tuscany Village, Itali, Palio Piazza merupakan kawasan santai untuk melepaskan lelah dan membeli-belah yang menempatkan kira-kira 140 lot kedai, bar dan kafe. Berkonsepkan hiasan bunga-bungaan dan pokok yang menjalar di sekitar bangunan, landskapnya membawa pengunjung seperti berada di Eropah.

Sebuah lagi tempat dengan gaya Eropah dikelilingi bukit bukau dengan landskap yang mempesonakan ialah Primo Piazza. Apa yang menarik, anda boleh bermesra dan memberi makan kepada beberapa ekor haiwan jinak seperti kambing biri-biri dan alpaca yang diimport khas dari Australia.

Jangan lepaskan peluang ke Jim Thompson Farm. Ladang ini hanya dibuka kepada pengunjung setahun sekali iaitu pada Disember hingga Januari.

Pada musim bunga dan buah-buahan bayaran masuk ke ladang ini ialah 150 baht (RM18.60). Harga tiket ini berbeza jika anda datang pada hujung minggu.

Jim Thompson atau nama sebenarnya James Harrison Wilsom Thompson, merupakan anak kelahiran Greenville, Delaware, Amerika Syarikat pada 21 Mac 1906.

Beliau merupakan pedagang kain sutera yang terkenal di Thailand dan jutawan terkenal di Asia.