Ia memberikan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan kepada siapa sahaja yang berkunjung ke lokasi itu.

Hati penulis berasa lega apabila melihat pemandu pelancong yang memegang tanda nama saya sebaik sahaja kumpulan kami seramai lapan orang berjalan keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Namu Medan.

Oleh kerana kami tiba pada waktu malam, kami terus menuju ke hotel penginapan selepas menikmati juadah ayam penyet. Kota Medan masih hidup dan sesak dengan lalu lintas.

Pada keesokan paginya, setelah selesai sarapan pagi, kami menuju ke destinasi pertama iaitu Parapat yang menyajikan pemandangan sangat menarik kerana melalui bandar Permatang Siantar dan kawasan kampung.

Suasana nyaman dan sejuk di sepanjang perjalanan kerana di kiri kanan kami adalah sawah padi, ladang kelapa sawit serta ladang getah.

Namun, jalan semakin sempit dan berliku apabila mendekati Parapat dan kawasan Danau Toba.

Kami disajikan dengan pemandangan indah sebuah danau beberapa kilometer dari Parapat. Penulis terpegun melihat Pulau Samosir yang terbentang luas di tengah-tengah danau itu.

Pulau terbesar di Asia Tenggara ini berukuran 100 kilometer panjang, 30 kilometer lebar dan mempunyai kedalaman kira-kira 500 meter.

Menurut kajian, tasik gunung berapi itu terbentuk lebih 73,000 tahun yang lalu.

Setelah sampai Parabat, kami menuju Pulau Samosir dengan menaiki feri. Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke Tomok iaitu penempatan utama masyarakat Batak Toba di Pulau tersebut.

Kata azimat

Horas! iaitu kata-kata azimat yang bermaksud selamat. Untuk mendekati penduduk tempatan, ungkapan itu dipercayai menjadikan pengunjung lebih mesra dan akrab.

Sebaik tiba di jeti, kami melalui deretan kedai pakaian dan cenderamata. Perkara yang menarik adalah rumah tradisional suku Batak dan makam raja-raja Batak sejak zaman mereka menganut amalan anamisme sehinggalah raja yang memeluk agama Kristian.

Tempat terpencil seumpama itu telah didatangi oleh mubaligh Kristian berbangsa Jerman sejak tahun 1820-an lagi.

Sebagai tanda hormat, pengunjung dikehendaki memakai selendang yang disediakan yang dipanggil ulos ketika melawat makam raja-raja Batak itu.

Di sana, kami dapat menyaksikan tarian patung Sigale-gale yang diiringi muzik. Ia merupakan salah satu istiadat upacara kematian kaum tersebut.

Suasana malam yang hening dan damai sememangnya membuat hati penulis jatuh cinta. Rasa penat menempuh perjalanan berjam-jam siang tadi bagaikan terubat.

Selepas bersarapan pada keesokan harinya, kami bertolak ke Brastagi. Antara hentian yang kami singgah ialah Batu Lihi, Simarjarunjung dan Air Terjun Sipiso-piso.

Di kiri kanan jalan dipenuhi dengan pemandangan yang indah selain pelbagai tanaman seperti lada hitam, jagung, lobak merah, kobis dan limau yang menghiasi mata pengunjung.

Selepas makan tengah hari, kami singgah di Pasar Buah di Berastagi. Pelancong yang menggemari buah-buahan perlu singgah di lokasi itu kerana terdapat pelbagai buah ditawarkan antaranya buah salak, pisang kaki, strawberi, rasberi, markisa.

Cinta terlarang

Seterusnya, kami menuju ke Bukit Gundaling. Di lokasi itu, kami mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan berlatarbelakangkan Gunung Berapi Sinabung dan patung-patung yang terdapat di lokasi itu.

Menurut cerita penduduk tempatan, Gundaling mendapat namanya daripada Goodbye Darling yang diucapkan oleh seorang pemuda Eropah kepada kekasihnya gadis tempatan yang terpisah akibat cinta terlarang.

Kami juga berpeluang memetik buah strawberi di sebuah ladang dalam keadaan cuaca yang nyaman dan pemandangan lembah yang indah, ia sesuatu yang mengujakan.

Destinasi pada hari terakhir kami ialah mengunjungi Istana Maimun. Istana warisan Kesultanan Deli itu dibina oleh Sultan Mahmud Al Rasyid Sultan Deli Kesembilan.

Reka bentuknya menggabungkan unsur-unsur kebudayaan Melayu dan elemen seni bina Islam. Malah, ia mendapat sentuhan kepakaran arkitek dari Itali yang disiapkan sepenuhnya pada Mei 1891.

Disebabkan ramai pengunjung pada waktu penulis tiba, kami terpaksa menunggu giliran yang agak lama untuk menyewa dan mengenakan pakaian tradisi Kesultanan Melayu Deli.

Sesungguhnya keindahan alam semula jadi Danau Toba amatlah mengasyikkan. Terletak di kawasan terpencil yang menyajikan suasana nyaman, tenteram dan damai akan terlekat di hati pengunjung.

Kami juga mendapat pengalaman tentang tingginya sifat dan tahap bertoleransi pengguna jalan raya. Mereka sangat bertolak ansur dan mengutamakan sikap saling memberi laluan kepada pengguna lain.

Tidak dilupakan ialah kek lapis dan bika ambon yang dipesan melalui pemandu pelancong. Kami bawa pulang sebagai buah tangan dari kota Medan selain kacang tumbuk yang dibeli di Kedai Paten.