Perjalanan untuk sampai ke pusat beli-belah itu mengambil masa yang agak lama berikutan kesesakan lalu lintas. Namun, Nadia Aqilah perlu pastikan dia tiba sebelum pukul 8.30 malam.

Kunjungan ke MyTOWN pada hari itu adalah semata-mata mahu menonton persembahan silap mata The Magic Library: New Chapter yang dipersembahkan oleh sekumpulan ahli silap tempatan.

“Satu persembahan silap mata yang menakjubkan dan bertaraf dunia. Ia bukan sekadar persembahan biasa tetapi penuh dengan aksi.

“Saya rasa berbaloi membeli tiket untuk menonton persembahan silap mata ini,” katanya.

Nadia Aqilah memberitahu, dia suka menonton babak seorang ahli silap mata terapung di udara.

Baginya, persembahan itu bukan sekadar memberi hiburan semata-mata tetapi membuatkan penonton berfikir.

“Saya sendiri berfikir apa helah yang ahli silap mata lakukan untuk mengaburi mata penonton,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi seorang lagi penonton, Nur Fatin Najiha Kamarul Maifir, 18, berkata, dia rasa terhibur apabila menonton persembahan silap mata itu.

Jelasnya, itu merupakan kali pertama dia menonton persembahan silap mata secara langsung.

“Pelbagai aksi ahli silap mata dipersembahkan dan kesemuanya amat menarik sekali sehingga mampu membuatkan penonton ketawa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Perfect Illusion, Steven Tan Kok Hui berkata, The Magic Library: New Chapter merupakan satu persembahan silap mata bertaraf dunia yang dipersembahkan oleh ahli-ahli silap mata tempatan.

Jelasnya, seramai enam ahli silap mata iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan terlibat dalam persembahan tersebut.

“Persembahan silap mata ini melibatkan ahli-ahli silap mata tempatan yang mempunyai bakat dan kemahiran setanding ahli silap mata antarabangsa.

“Lebih 17 hingga 20 persembahan silap mata dipertontonkan dalam masa satu jam. Rata-rata penonton yang datang memberi maklum balas yang amat baik dan mereka sangat berpuas hati,” katanya.

Tambahnya, The Magic Library: New Chapter adalah satu siri jelajah silap mata yang akan menemui penonton di beberapa lokasi di seluruh Malaysia.

Sebelum ini, pertunjukan itu diadakan di Perak dan Melaka bermula 19 Julai hingga 26 Ogos lalu di pusat beli-belah MyTOWN, Cheras, Kuala Lumpur.

Selepas ini, siri jelajah silap mata itu akan berkunjung ke Pulau Pinang sebelum ke Johor pada pertengahan September depan.