Di sebalik cermin kaca di sebelah kanan pintu masuk SuperPark itu pula, kelihatan sekumpulan remaja sedang bermain luncur ais sambil melakukan pelbagai aksi.

Seorang pengunjung, Emirtaff Shahryir, 16, asyik memandang sekeliling. Ia sudah jelas menunjukkan dia tidak sabar untuk mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan di lokasi tersebut.

“Bagi saya, SuperPark ini merupakan sebuah tempat permainan yang cukup unik dan menarik kerana segala-galanya ada di sini,” ujar remaja yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu kepada Horizon di SuperPark baru-baru ini.

Emirtaff datang bersama 11 orang ahli keluarganya bagi menyambut majlis hari lahir adiknya sambil bermain permainan yang disediakan di SuperPark.

“Aktiviti kesukaan saya di sini ialah SuperBall iaitu permainan yang perlu dimainkan secara berkumpulan. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan, setiap kumpulan perlu melindungi papan mereka sambil melontar bola kepada papan pihak lawan untuk mendapatkan mata,” katanya.

Bagi mereka yang mencari lokasi menarik untuk melakukan pelbagai aktiviti di ibu kota, tarikan terbaharu di pusat beli-belah itu pastinya wajib dikunjungi.

Mula dibuka 8 Disember lalu, SuperPark merupakan taman aktiviti berkeluasan 371.6 meter persegi yang menawarkan pelbagai permainan untuk setiap peringkat umur.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran SuperPark Malaysia, Kristine Lim, taman aktiviti tersebut berasal dari Finland dan baru saja diperluaskan ke kawasan Asia bermula dari Hong Kong, Singapura dan terbaharu, Malaysia.

“Menariknya SuperPark ini adalah kerana aktiviti di sini tidak memfokuskan kepada satu pihak sahaja tetapi turut melibatkan seisi keluarga bermula daripada kanak-kanak sehingga ibu bapa.

“Kini ibu bapa bukan sahaja menemani anak-anak malah, boleh turut serta bermain bersama-sama di samping memeriahkan lagi suasana yang ada,” katanya.

Mempunyai lebih 20 permainan menyeronokkan, SuperPark dibahagikan kepada tiga seksyen utama yang merangkumi kawasan permainan Adventure Area, Game Arena dan Freestyle Hall.

Memanjat bongkah

Di Adventure Area misalnya, pengunjung boleh melakukan aktiviti gelongsor di Tube Slide yang sering menjadi pilihan, berayun di udara dengan Flying Fox serta menguji kecergasan anak-anak menempuh laluan berhalangan di Kid’s Adventure City.

Seterusnya, beralih pula ke seksyen Game Arena, bahagian ini akan menggalakkan orang ramai untuk lebih banyak bersukan seperti bermain besbol dan bola keranjang di samping menguji kemahiran menendang bola ke gawang gol di RoboKeeper.

Tarikan paling menarik di SuperPark pula sudah pastinya di seksyen Freestyle Hall. Bahagian ini memberi peluang kepada pengunjung untuk bermain sambil mempamerkan aksi tersendiri seperti di Trampoline Platform dan Skate and Scoot World.

Selain itu, SuperPark turut menyediakan beberapa aktiviti yang perlu dimainkan secara berkumpulan seperti bermain bola di Street Soccer Court dan aktiviti SuperBall.

Bagi mereka yang tidak takut pada ketinggian pula boleh mencuba permainan SuperClimb iaitu aktiviti memanjat bongkah yang disusun setinggi dua aras pusat beli-belah tersebut.

Jika dibandingkan dengan ketiga-tiga taman aktiviti SuperPark yang ada di seluruh Asia, SuperPark Malaysia merupakan yang paling istimewa kerana turut mempunyai ruang luncur ais.

Tarikan lain yang turut mendapat sambutan ialah FreeDrop iaitu melompat ke dalam timbunan kiub lembut tanpa rasa takut tercedera.

Tambah Kristine, di setiap bahagian terdapat kakitangan yang akan membantu untuk menjaga keselamatan dan memberikan panduan cara bermain yang betul kepada para pengunjung.

Katanya, selain bermain, SuperPark turut menawarkan perkhidmatan penyediaan ruang merai hari istimewa serta makanan seperti sambutan hari lahir di Party Room.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Raja Anis Kamilah Raja Badly, 31, berkata, SuperPark merupakan lokasi tepat bagi mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.

Katanya yang berasal dari Cheras, kebanyakan taman rekreasi yang ada di Malaysia hanya tertumpu kepada satu peringkat umur sahaja tetapi tidak di SuperPark kerana ibu bapa juga dapat turut serta bermain dengan anak-anak di samping bergelak tawa bersama.

“Misalnya di ruang permainan Pedal Car, saya dapat bermain kejar-kejar bersama anak kerana terdapat dua jenis kereta disediakan iaitu untuk kanak-kanak dan dewasa,” ujar kakitangan swasta tersebut.