Permainan tersebut merupakan kerjasama strategik antara penyedia hiburan VR iaitu VAR Live dengan GSC buat julung-julung di negara ini.

Ia akan menampilkan peranti VAR Box yang akan ditempatkan di cawangan-cawangan GSC terpilih sebagai cara untuk mencipta pengalaman baharu kepada para penonton di pawagam.

VAR Box adalah suatu peranti simulasi permainan berbayar yang direka bentuk khusus untuk membawa VR bagi meluaskan rangkaiannya kepada pelanggan dengan lebih dekat lagi.

Dikuasakan oleh teknologi Oculus VR, permainan yang dipaparkan dalam VAR Box menjanjikan pengalaman mendalam seperti kesan menembak sebenar daripada selaras raifal yang dipatenkan di samping mempunyai kesan bunyi dan cahaya yang realistik.

Ketua Pegawai Eksekutif VAR Live, Steve Ngu berkata, pengenalan VR di GSC adalah pengalaman baharu dalam hiburan visual dan hiburan.

“VAR Box adalah produk hiburan terbaharu oleh syarikat itu. Jika anda mencuba permainan VAR Box, anda tidak akan mengalami masalah sukar untuk bergerak, meskipun selepas bermain selama dua jam.

“Kita juga sedang merancang untuk menganjurkan kejohanan Dunia VAR 2019 yang bakal diadakan pada bulan Disember serta menghantar pasukan Malaysia untuk bersaing di Hong Kong,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancarannya di IPong, Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambahnya, syarikat itu juga dalam perancangan untuk mempunyai 500 peranti VAR Box di Malaysia pada tahun ini.

Ketika ini, VR mempunyai 24 cawangan VR atau taman tema seperti di Hong Kong, Taiwan, Malaysia, Korea, China, Filipina, dan Pakistan.

Justeru, kita menyasarkan untuk mempunyai 3,000 VAR Box di seluruh dunia menjelang hujung tahun ini.

Katanya, ia bakal menyaksikan pertumbuhan pasaran perniagaannya untuk mencapai sasaran pendapatan sebanyak RM270 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Perintis inovasi

“Kita juga akan mengembangkan lagi peranti VAR Box di pawagam, pusat beli-belah, e-sukan, bar dan tempat-tempat lain yang sesuai.

“Perkongsian dengan GSC akan membawa pengalaman VR ke tahap penglibatan baharu untuk para pelanggan dan VAR Box adalah cara baharu yang hebat untuk menikmati pengalaman permainan VR dan AR (realiti tambahan),” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, pihaknya komited untuk menjadi perintis inovasi perkhidmatan dan sentiasa berusaha untuk meningkat dengan menyediakan pengalaman baharu kepada pelanggan.

“Dengan adanya VR di pawagam, GSC akan memberikan peluang kepada rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk merasai sendiri pengalaman baharu dalam hiburan berbentuk visual dan aural,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Michelle Leong, 34, berkata, dia teruja melihat permainan VR pertama kalinya akan berada di GSC untuk orang ramai.

“Ia bukan hanya menarik minat remaja tetapi juga orang dewasa untuk sama-sama merasai pengalaman permainan maya secara realiti.

“Di samping itu, ia juga membolehkan pemain berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan pada hujung minggu,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman sama ialah Benjamin Khor Cheng Gie, 26 berkata, dia amat meminati permainan VR kerana didapati amat menarik bagi golongan belia sepertinya.

“Saya amat meminati sukan menembak dan dengan adanya permainan seumpama ini, ia mampu melatih saya menjadi lebih fokus dan pantas bertindak.

“Ia juga mencabar diri untuk menamatkan permainan dengan menembak zombi-zombi yang ada,” ujarnya yang merupakan juara acara menembak tahun 2018 dan pingat perak 2019 peringkat Asia.