Begitupun, ia bukanlah penghalang buat Effa Fazira Azmi, 25, untuk memandu ke situ bagi mencuba tarikan terbaharu di Resort World Genting (RWG).

Tarikan yang dimaksudkan ialah taman tema tertutup, Skytropolis Funland (Skytropolis) yang terletak di dalam First World Plaza.

Taman tema tersebut sebelum ini terpaksa ditutup selama setahun enam bulan bagi kerja-kerja pengubahsuaian sebelum dibuka kembali pada Disember lalu.

“Saya sangat teruja apabila melihat perubahan terhadap taman tema ini. Ia telah berubah menjadi sebuah taman tema yang bertaraf antarabangsa,” katanya ketika ditemui Horizon di taman tema itu baru-baru ini.

Buat permulaan, taman tema berkeluasan 121,920 meter persegi itu menawarkan 13 permainan termasuk tujuh keseronokan baharu. Antaranya, Power Surge, Discol, Sky Tower, Spin Crazy, Bumper Boss dan Boo Bump.

Menariknya, ia turut dilengkapi dengan skrin LED mega pada dinding dan siling (sepanjang 50 meter) bagi menerangi serta menambah keceriaan taman tema tersebut.

Bagi Effa Fazira, Skytropolis menawarkan pelbagai permainan hebat yang mencabar adrenalin dan penuh keriangan sekali gus meletakkan ia setaraf dengan taman tema lain di luar negara.

Gadis berasal dari Taiping, Perak itu berpendapat, kebanyakan permainan yang terdapat di Skytropolis sesuai dimainkan semua peringkat umur tanpa mengira dewasa atau kanak-kanak.

“Saya berasa sangat berpuas hati dengan permainan-permainan yang ditawarkan di sini,” kata pekerja swasta di ibu kota itu.

Pengubahsuaian

Naib Presiden Kanan Bahagian Taman Tema, RWG, Brian Machamer berkata, pihaknya melabur lebih daripada RM300 juta bagi mengubah suai taman tema berkenaan.

Jelasnya, pengubahsuaian itu bertujuan menambah keseronokan kepada pengunjung menerusi pengembaraan mendebarkan, permainan penuh adrenalin dan dunia serba baharu.

“Kami sentiasa berusaha mencari jalan membuatkan para pengunjung berasa teruja dan kagum dengan pengalaman berada di RWG.

“Menerusi pembukaan Skytropolis, kami berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung. Kami menjangkakan lebih 7,000 pengunjung hadir ke sini setiap hari,” ujarnya.

Taman tema berkenaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kanak-kanak, keluarga dan ekstrem yang menjanjikan pengalaman berbeza.

Ia turut dilengkapi dengan permainan-permainan realiti maya bertaraf dunia yang boleh dimainkan di The Void, Imaginatrix dan Big Top Games Park.

Machamer memberitahu, bagi melengkapkan tema sarkas, Skytropolis turut memperkenalkan Highlands Hero baharu pada tahun ini iaitu watak Joe (orang hutan). Tabby (harimau), Allie (gajah), Geno (dinasour), Bennie (beruang matahari) dan Callie (naga).

Katanya, watak-watak berkenaan akan menjadi wajah rasmi taman tema tersebut selain terlibat menyambut kedatangan pengunjung di pintu masuk dan memberi kegembiraan kepada kanak-kanak.

“Kami juga menyediakan beberapa buah kios di sekitar Skytropolis. Kios-kios ini menyediakan pelbagai makanan dan minuman untuk kemudahan pengunjung,” katanya.

Salah seorang pengunjung, Lim Viviana, 22, berkata, dia berkunjung ke taman tema berkenaan bagi merasai keseronokan bermain permainan realiti maya.

Gadis berasal dari Kuala Lumpur itu berpeluang mencuba permainan Ghostbusters di The Void.

“Ia satu permainan realiti menembak hantu yang perlu dicuba oleh setiap pengunjung di Skytropolis,” katanya.