Segala maklumat itu perlu difahamkan dengan teliti bagi membolehkan mereka mengetahui peraturan dan cara bermain di tempat permainan interaktif bersaiz besar itu.

Ketika mendengar penerangan itu, mata salah seorang peserta, Adrian Branganza, 22, leka memandang 20 permainan yang disediakan di lokasi tersebut.

“Bagi saya, Party Room ini merupakan sebuah tempat permainan interaktif yang cukup unik dan menarik kerana segala-galanya ada di sini.

“Semua permainan sesuai untuk pelbagai peringkat umur berdasarkan beberapa zon yang disediakan,” ujar pemuda kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu.

Adrian datang bersama tiga lagi rakannya untuk bermain di dalam ruang bilik Party Room itu.

Katanya, kebanyakan permainan bersifat berkumpulan, sekali gus mewujudkan sikap kerjasama dengan kawan-kawannya.

“Sebenarnya, Party Room merupakan sebuah tempat yang mampu mengisi masa lapang remaja-remaja di luar sana daripada terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah.

“Kami berasa sangat bertuah kerana dengan bayaran RM30 sejam, kami dapat bermain semua permainan yang ditawarkan seperti karaoke, pool, puzzle, permainan video, giant jenga dan raniy bike,” ujar anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu.

Party Room adalah sebuah tempat hiburan pertama di Malaysia yang menyediakan permainan interaktif merangkumi semua peringkat umur.

Dibuka sejak Julai lalu, Party Room yang berkeluasan 6,500 meter persegi itu boleh memuatkan seramai 250 orang pada satu-satu masa.

Pengurus Pemasaran, Jono Cheah berkata, Party Room mempunyai empat zon utama iaitu Zon Kanak-Kanak, Zon Sukan, Puzzle Zon dan Zon Masa Lapang.

“Pelanggan boleh bermain kesemua permainan di setiap zon tersebut dengan bayaran minimum RM30 seorang.

“Saya yakin, ia mampu memberikan kepuasan dan lebih keterujaan kepada pengunjung sama ada bersama ahli keluarga ataupun rakan-rakan,” ujarnya Jono.

Antara permainan yang mendapat tarikan pengunjung adalah rainy bike dan whack-a-mole.

Permainan rainy bike memerlukan tiga orang pemain bagi setiap kumpulan dan mereka perlu mengayuh basikal tersebut sehingga air jatuh di atas kepala pihak lawan yang mengayuh secara perlahan.

Kebiasaannya, permainan whack-a-mole memerlukan pemain yang mencuri barang diketuk oleh gergasi atau tukul komputer.

Namun, lain pula di sini, apabila pemain sendiri yang menjadi gergasi itu.

Harga tawaran

Antara permainan lain yang disediakan ialah lantai berwarna, arena bola sepak, tiup bola, 3D twister, bola pit, hoki udara, arcade, ballon over head, projektor baling bola, komik, L-shape pool, kbox dan panjat dinding.

Bercerita tentang harga, Jono berkata, Party Room menawarkan harga mengikut masa iaitu satu jam sebanyak RM30, dua jam (RM55) dan tiga jam (RM75).

Bagi setiap penambahan waktu, pelanggan hanya perlu membayar RM20 untuk satu jam.

Bagaimanapun, Juno memaklumkan, kini pihak Party Room memberikan tawaran hebat kepada pelanggan yang muat naik hastag ke laman Facebook serta Instagram.

“Setiap pelanggan yang datang ke sini dan memuat naik hashtag Party Room, mereka akan diberi masa tambahan percuma selama satu jam.

“Namun, tawaran ini hanya terhad kepada seorang dan sekali seumur hidup mereka,” jelasnya.

Jelasnya, harga akan bertambah RM5 untuk satu jam, RM10 (dua jam) dan RM15 (tiga jam) pada waktu puncak iaitu dari pukul 5 petang hingga 12 malam pada setiap hari.

Tawaran harga itu mendapat sambutan yang baik dan sejak dibuka, seramai 2,000 orang pelanggan sudah bermain di lokasi itu.

Dalam pada itu, Party Room turut menyediakan pakej bagi individu atau berkumpulan yang mahu melakukan aktiviti bagi satu tempoh masa yang lama.

Antara pakej yang ditawarkan ialah parti ulang tahun kelahiran, seminar, rakaman filem, hari keluarga dan acara korporat.

“Pakej ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan. Kehadiran pelanggan lebih memberangsangkan kerana kami turut menyediakan perkhidmatan ketering.

“Dalam tempoh satu bulan, kami menerima sekurang-kurangnya 10 permintaan daripada pelanggan yang mahu membuat sewaan,” ujarnya.

Namun, bagi peserta yang telah bermain kesemua permainan yang disediakan, mereka tetap berpeluang untuk merasai pengalaman pada bulan-bulan seterusnya.

“Ini kerana kami akan menukar permainan setiap bulan mengikut jika permainan yang ada kurang mendapat sambutan.

“Jadi, mereka berpeluang untuk merasai pengalaman baharu dengan tema yang berlainan,” tuturnya.

Jono menambah, idea asal konsep Party Room itu tercetus daripada pengasasnya, Datuk Jason Leung.

“Ia bertujuan untuk memberikan pengalaman baharu kepada rakyat Malaysia merasai permainan-permainan interaktif yang bersaiz besar.

“Malah, peralatan yang digunakan di ruang permainan ini terdiri daripada produk tempatan,” katanya.

Tempat itu juga dilengkapi dengan permainan berteknologi tinggi seperti menggunakan alat pengesan bunyi.

“Sistem pengubahsuaian keterangan cahaya, sistem bunyi dan kesan khas lampu-lampu bagi sesetengah permainan,” ujarnya sambil memberitahu, tempat itu turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Hafiy Ezat Ismail berkata, dia mendapat tahu tentang Party Room itu menerusi hashtag kawannya di Facebook.

Tidak melalaikan

Pada mulanya, Hafiy Ezat beranggapan ia seperti sebuah tempat hiburan yang melalaikan.

Namun, apabila membuat tinjauan di laman web rasmi Party Room, ia merupakan satu tempat hiburan secara sihat terutamanya bagi pelanggan berkeluarga.

“Ini merupakan kali pertama saya datang bersama ahli keluarga. Anak-anak saya seronok bermain sehingga tidak mahu pulang.

“Bagi saya, konsep yang disediakan cukup menarik kerana bukan sahaja anak yang dapat berhibur, saya turut bermain pool atau permainan video,” jelas pekerja sebuah syarikat swasta Nilai, Negeri Sembilan itu.

Tambah Hafiy Ezat, 29, paling mencuit hatinya ialah ketika para pelanggan digalakkan memakai pakaian maskot haiwan yang disediakan.

Perkara itu nampak lucu tetapi ia baik untuk menjadikan gambar-gambar yang diambil lebih menarik.

Berkunjung ke lokasi itu juga dapat menjimatkan wang selain tidak perlu berjalan ke tempat lain untuk menikmati permainan yang berbeza.

“Ia bagus untuk ahli keluarga menghabiskan masa bersama anak-anak dan saudara-mara yang lain,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Party Room di pusat beli-belah Astria, Damansara Jaya, Petaling Jaya, Selangor merupakan pusat hiburan pertama di Malaysia yang menyediakan permainan interaktif untuk semua peringkat umur.