Apatah lagi jika kawan-kawan di tadika atau sekolah bercerita mengenai lokasi yang baru sahaja dikunjungi mereka, pasti anak-anak itu juga mahu ke tempat yang sama.

Begitulah situasi yang dialami oleh Masdalina Azhari, 37, apabila anak kesayangannya merengek mahu melihat ikan jerung selepas rakannya bercerita tentang keseronokan menyaksikan haiwan tersebut.

Bagi memenuhi permintaan anak kesayangan, dia memutuskan untuk membawa anaknya itu ke Aquaria KLCC.

Menurut Masdalina, itu merupakan kunjungan kali pertama keluarganya.

Apabila masuk, anaknya yang teruja menyaksikan hidupan laut itu berlari ke sana sini, namun akhirnya berhenti di sebalik kumpulan orang ramai.

“Saya terus menuju ke arahnya, rupa-rupanya dia khusyuk menyaksikan seorang ahli silap mata melakukan persembahan di dalam akuarium.

“Saya difahamkan persembahan itu untuk pratonton media tetapi pengunjung lain juga dibenarkan menyaksikannya,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Tambah pegawai perubatan daripada Hospital Kajang itu, acara-acara seperti itu sememangnya sangat sesuai diadakan terutamanya pada musim cuti sekolah.

“Apatah lagi, persembahan silap mata dalam air ini kali pertama diadakan di Malaysia, sudah pasti akan menjadi penarik baharu kepada orang ramai,” katanya.

Terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur, Aquaria KLCC boleh dianggap sebagai satu lautan yang menampilkan kira-kira 5,000 spesies haiwan akuatik.

Lima aksi

Bersempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini, Aquaria KLCC akan membawakan satu acara yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia iaitu persembahan silap mata di dalam akuarium.

Ia akan dipertontonkan selama tiga hari sahaja iaitu pada 25, 29 dan 30 Disember ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aquaria KLCC, Datuk Simon Foong berkata, pihaknya akan membawakan kumpulan The Madgicians yang terdiri daripada dua orang ahli silap mata.

Katanya, pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan aksi silap mata di dalam air, malah berpeluang berinteraksi dengan ahli silap mata misteri tersebut.

“Salah seorang ahli silap mata akan berada di dalam akuarium sambil seorang lagi menceritakan apa yang dilakukan oleh rakannya itu.

“Kumpulan itu membuat persembahan selama 15 minit bermula pada pukul 3.30 petang,” katanya.

Sebanyak lima aksi silap mata akan dipersembahkan antaranya seni helah kad terup iaitu pengunjung memilih salah satu kad dan mencontengnya.

Kad itu kemudiannya akan disimpan oleh ahli silap mata yang berada di luar akuarium dan kemudiannya dikeluarkan semula oleh rakannya yang berada di dalam air tersebut.

Selain itu, aksi lain ialah helah menukar kedudukan botol dan gelas tanpa perlu menyentuhnya.

Ahli silap mata akan menggunakan bekas silinder untuk menutup objek itu dan apabila bekas tersebut diangkat, kedua-dua objek tersebut telah beralih tempat.

Menurut Simon, walaupun aksi itu tampak ringkas dan menyenangkan, hakikatnya ia tidak semudah yang disangka kerana pergerakan seseorang itu agak terbatas apabila berada di dalam air.

“Ditambah pula dengan set kelengkapan menyelam, sudah pasti pergerakannya akan menjadi sedikit perlahan namun helahnya tetap menjadi.

“Saya pasti pengunjung yang hadir akan kagum melihatnya nanti,” katanya.

Dengan kelainan yang ditampilkan itu, Aquaria KLCC telah menerima pengiktirafan buat kali keenam daripada Malaysia Book of Records selepas kali terakhir menerimanya pada tahun lalu.

Selain daripada persembahan di dalam air, kumpulan itu juga akan mengelilingi Aquaria KLCC selama setengah jam bermula pada pukul 1 tengah hari sambil mempersembahkan beberapa silap mata kepada pengunjung kanak-kanak.

Watak ikonik

Tambah Simon, memandangkan mendapat permintaan tinggi, pihaknya juga akan menampilkan watak ikonik mereka yang sering muncul pada hari istimewa tersebut iaitu Underwater Santa dan kawan-kawannya.

“Setiap tahun, Aquaria KLCC akan membawakan kelainan sebagai daya penarik kepada pengunjung terutamanya bagi mereka yang suka hidupan marin.

“Selain daripada persembahan silap mata, keseluruhan Aquaria KLCC juga akan dihiasi dengan perhiasan bertemakan Hari Krismas,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Azrein Shahrul Shuhaimi berkata, adalah tidak lengkap percutian di Kuala Lumpur jika tidak datang melawat ke Aquaria KLCC.

Katanya yang berasal dari Terengganu, sedang asyik berjalan-jalan sambil menyaksikan kawanan ikan berenang, dia berkesempatan melihat persembahan terakhir yang dilakukan oleh kumpulan ahli silap mata tersebut.

“Saya sempat menyaksikan ahli silap mata yang berada di dalam akuarium itu mengeluarkan bendera Jalur Gemilang dengan menggabungkan beberapa helai kain berwarna-warni yang digumpal.

“Ini adalah kali pertama saya menyaksikan persembahan silap mata di dalam air, ia cukup unik dan menarik,” ujarnya.