Tidak mengira dekat atau jauh, setiap percutian itu semestinya akan meninggalkan kenangan indah yang boleh dikenang sepanjang hayat.

Begitu juga dengan penulis dan rakan-rakan yang berkesempatan ke Jawa Timur, Indonesia pada September lalu.

Percutian kami selama tujuh hari itu bukan sekadar untuk berjalan-jalan sahaja tetapi matlamat sebenarnya adalah untuk menawan puncak Gunung Semeru yang berketinggian 3,676 meter serta beberapa lokasi pendakian lain yang ada di situ.

Gunung Semeru merupakan gunung yang tertinggi di pulau Jawa dan gunung berapi yang kedua tertinggi di Indonesia serta merupakan salah satu gunung berapi yang paling aktif.

Bagi mereka yang menyukai aktiviti lasak seperti mendaki gunung, sudah semestinya menjadi cita-cita mereka untuk mendaki gunung-gunung popular di seluruh dunia termasuklah Gunung Semeru.

Bagaimanapun, adalah merugikan jika sekadar pergi ke sana tanpa melawat tempat-tempat menarik yang ada memandangkan Jawa Timur juga terkenal sebagai tarikan pelancongan di seluruh dunia.

Memandangkan kami tiba di sana pada sebelah petang, kami memutuskan untuk melakukan aktiviti santai sahaja iaitu melawat ke Muzium Angkut atau dengan kata lainnya ialah muzium pengangkutan.

Muzium tersebut juga dikenali sebagai Movie Star Studio dan tercatat sebagai muzium pengangkutan pertama di Asia.

Di muzium tersebut, kami dapat melihat pameran pelbagai jenis koleksi kenderaan tradisional, klasik sehinggalah model terkini seperti yang ada di merata dunia.

Muzium itu terbahagi kepada beberapa zon yang dihiasi dengan landskap dan suasana berasaskan ciri-ciri Asia serta Eropah.

Bagi penulis, zon yang paling menarik ialah Gangster Town iaitu suasana koboi semasa era tahun 30-an. Di situ terdapat pelbagai miniatur bangunan dan kenderaan lama yang digunakan pada zaman tersebut.

Cabaran

Hari kedua bermulalah cabaran sebenar buat kami. Pendakian ke puncak Gunung Semeru tidak boleh diselesaikan dalam tempoh masa sehari sahaja tetapi memakan masa sekurang-kurangnya tiga hari.

Hal ini kerana setiap perhentian yang dilawati mempunyai keunikan yang tersendiri.

Kami kemudiannya terus memulakan pendakian yang bermula dari Ranu Pani ke Ranu Kumbolo. Pendakian itu mengambil masa kira-kira lima jam jika dilakukan secara santai.

Setibanya di sana, kami terus mendirikan khemah untuk berehat dan bermalam. Di lokasi tersebut terdapat sebuah danau dipenuhi dengan air jernih berwarna biru yang menyajikan pemandangan indah terutamanya pada waktu pagi.

Hari seterusnya kami memulakan perjalanan ke Kalimati yang mengambil masa empat jam pendakian sebelum bermalam di situ bagi meneruskan pendakian keesokan harinya.

Dalam pendakian itu, kami melalui sebuah bukit yang diberi nama Tanjakan Cinta.

Bukit tersebut diberi gelaran itu kerana terdapat mitos yang mengatakan sesiapa sahaja yang mendaki di situ sambil memikirkan tentang orang yang disukai dan tidak menoleh ke belakang akan berjaya mendapatkan cintanya itu.

Tepat pukul 12 tengah malam, kami pun memulakan pendakian ke puncak Gunung Semeru yang memakan masa antara lima hingga enam jam.

Tujuan kami bertolak pada tengah malam adalah untuk mengelakkan bahang panas tengah hari selain mahu menyaksikan pemandangan matahari terbit dari puncak gunung.

Pendakian ke puncak boleh dikatakan amat mencabar kerana bukan sekadar memerlukan kekuatan fizikal tetapi termasuklah persiapan mental memandangkan cuaca pada waktu itu sangat sejuk di samping trek yang berbahaya kerana dipenuhi pasir dan batu-batuan.

Kepuasan

Akhirnya, kami berjaya menjejakkan kaki ke puncak tersebut kira-kira pukul 6 pagi.

Bukan sahaja pemandangan yang cantik dan menawan, kami juga dapat melihat sebuah kawah secara dekat di puncak gunung tersebut.

Kawah yang diberi nama Jonggring Saloko itu meletus setiap 20 minit dengan mengeluarkan deruan asap serta abu berwarna hitam.

Selesai mendaki gunung tersebut, hari kelima kami di Jawa Timur diteruskan dengan melawat gunung berapi iaitu Gunung Bromo dan Gunung Batok.

Gunung Bromo ialah gunung berapi aktif yang menjadi salah satu tarikan alam di sana dan untuk sampai ke puncaknya, kami perlu memanjat 250 anak tangga.

Gunung Batok pula merupakan gunung berapi yang tidak lagi aktif dan terletak berdekatan Gunung Bromo.

Dalam bahasa Jawa, batok bererti tempurung kelapa. Penduduk di situ percaya bahawa gunung tersebut terbentuk daripada tempurung kelapa yang ditendang oleh Resi Bima iaitu makhluk raksasa sakti.

Dikatakan raksasa itu berbuat demikian kerana marah selepas gagal memperisterikan seorang dewi daripada suku yang menetap di situ iaitu Rara Anteng.

Lokasi kami yang seterusnya ialah Air Terjun Madakaripura iaitu air terjun tertinggi di Jawa dan kedua di Indonesia.

Bukan sahaja terkenal dengan keindahannya, air terjun itu sering digelar sebagai ‘air terjun abadi’ kerana airnya selalu melimpah dan tidak pernah berkurang.

Hari seterusnya kami ke Kawah Ijen yang terletak di puncak Gunung Ijen.

Untuk sampai ke sana, kami harus mendaki sejauh 8 kilometer yang memakan masa sekitar dua hingga tiga jam.

Kawah Ijen merupakan tasik yang mempunyai keasidan paling tinggi di dunia malah ia dikatakan mampu melarutkan pakaian serta tubuh manusia dengan pantas.

Terdapat juga satu fenomena menakjubkan di kawah itu yang dipanggil Blue Fire dan menjadi punca tarikan utama pelancong ke kawah tersebut.

Fenomena percikan api biru itu sebenarnya adalah hasil reaksi daripada gas bumi yang bertemu dengan oksigen pada suhu tertentu.

Fenomena itu hanya dapat disaksikan di dua lokasi di seluruh dunia iaitu di Kawah Ijen dan Iceland.

Pada hari terakhir kami di Jawa Timur, kami telah mengadakan lawatan ke Kampung Tridi iaitu satu perkampungan dengan ratusan rumah yang dihiasi dengan lukisan gambar mural tiga dimensi.

Atap rumah pula disembur dengan cat berwarna-warni dan lokasi itu sememangnya merupakan tempat yang sangat sesuai untuk merakamkan gambar kenangan.

Secara amnya, penulis sangat berpuas hati selepas berjaya melaksanakan percutian tersebut dan sudah pasti jika ada peluang lagi, penulis akan kembali berkunjung ke Jawa Timur pada masa akan datang.